Thursday, February 26, 2009

Jangan Tipulah Kalau Kau Kata Geng Best!



Haih, pastinya ramai yang terkejut atau terkamjat melihatkan tajuk aku yang agak kontra dengan pandangan masa kini. Bukan apa,sudah lama tak menulis,itu yang jadi begini. Apapun,baca dulu sampai habis.

Seminggu selepas filem Geng & Upin dan Ipin ditayangkan barulah aku berkesempatan untuk menontonnya. Apa yang menarik ialah kebanyakan pawagam yang aku pergi semuanya full house. Pada mulanya aku ke Jusco Cheras Selatan dengan harapan di fikiran tak ramai sangat orang kalau di pinggir-pinggir bandar ini, tapi malangnya semua penuh pada petang itu. Aku malas nak tengok malamnya sebab ada Epl. Jadi,aku menghala ke The Mines. Walaupun penuh juga, aku terpaksa beli juga tiket dan duduk di barisan ke-3 dari depan.

Aku pasti ramai yang dah menonton filem Geng ini yang diberitahu jumlah kutipannya sudah melepasi RM2 juta. Kalau masih belum menonton, aku nasihatkan kau pergi beli DVD original Geng nanti. Kalau tidak, anda pastinya malu bergelar rakyat Malaysia jika tidak menontonnya. Kerana apa? Kerana ini adalah produk Malaysia hasil tangan anak tempatan. Jika kita menolak menontonnya maka pastilah ada sesuatu yang tidak kena di kotak pemikiran kita. Industri animasi boleh dikatakan agak baru, jadi apa salahnya kita berikan sokongan kepada mereka di industri ini agar mereka terdorong untuk menghasilkan yang lebih baik pada masa depan. Respon penonton penting dalam memotivasikan mereka.

Walaupun ada kelemahan dalam filem ini, ia masih mampu dibanggakan. Malah, lebih jauh boleh dibanggakan. Sesetengah pergerakan ada yang nampak kaku dan tidak lancar(smooth). Semasa insiden kemalangan bas itu juga nampak tidak sempurna. Tetapi, ini boleh dimaafkan kerana filem ini adalah hasil sulung mereka. Terdapat pelbagai lagi aspek lain yang boleh dinilai dengan merit tinggi. Les Copaque boleh menghasilkan suatu cerita yang mengajak penonton mengembara sekali bersama watak dalam filem tersebut. Dengan keindahan warna dan gerakan 'kamera' nya, ia sememangnya sebuah filem pengembaraan yang mendebarkan dan mengujakan. Apa yang pastinya, watak Upin dan Ipinlah yang menarik penonton ke pawagam setelah selama ini kita dihidangkan dengan kisah mereka di bulan puasa dan baru-baru ini, siri baru mereka di TV9.

Jika hendak bercerita mengenai filem animasi, sudah banyak sebenarnya pakar dari Malaysia menghasilkannya. Lihat saja di Youtube dan carilah filem-filem animasi 3D dari negara kita yang mana ada dihasilkan oleh individu ataupun syarikat. Contoh yang paling ketara ialah filem Saladin. Filem Saladin belum ditayangkan di Malaysia dan aku kurang pasti samada filem ini akan ditayangkan di sini atau tidak. Tetapi filem ini sudah menembusi pasaran luar dan menyertai pelbagai pertandingan.



Namun, aku merasakan jika Saladin ditayangkan di Malaysia terdahulu sebelum filem Geng, pastinya rakyat Malaysia akan terkejut seterusnya akan memberi kesan terhadap kutipan tiketnya. Seperti yang aku katakan, animasi pada sebilangan besar rakyat negara kita masih baru dan ada kalangan yang masih tidak tahu negara kita ada pakar animasi. Apabila Geng keluar, maka orang ramai seperti "oowh", "woww" dan macam-macam lagi ekspresi teruja yang lain. Atas kecekapan strategi yang dijanakan produksi Les Copaque yang menghasilkan Geng, mereka mengeluarkan dahulu siri tv Upin dan Ipin. Ini untuk melihat dahulu bagaimana sambutan penonton terhadap animasi 3D. Siri itu malah lebih didekatkan lagi dengan penonton terutamanya kanak-kanak dengan cerita yang berkaitan dengan kebudayaan Melayu sendiri contohnya rumah kampung bertiang,main labah-labah,main kapal kertas dan lain-lain. Atau lebih tepat lagi, siri itu bercirikan Malaysia.

Strategi ini cukup berjaya dalam menarik minat kanak-kanak malahan dewasa dengan telatah Upin dan Ipin. Dan orang kata, suara watak mereka itu yang membuatkannya comel. Ada kebenarannya juga. Jadi, cuba kita bayangkan Saladin dikeluarkan sebelum Geng, maka sudah pastinya sambutan diterima tidak sebaik filem Geng. Walaubagaimanapun, ini hanyalah pendapat aku, bukanlah sumber dari pihak yang menghasilkan Saladin.

Akhir kata, tajuk yang aku kemukakan di atas itu hanyalah kontra daripada apa yang orang kata. Aku tidak kata yang Geng tidak best. Malah, menonton Geng adalah pengalaman seronok buat aku. Saja je aku menulis berbeza dari apa orang lain cakapkan.Apapun,sokonglah industri animasi negara.

Trailer siri animasi Saladin. Filemnya masih tidak tahu bila dikeluarkan.

 
Google Analytics Alternative