Sunday, March 23, 2014

Jurnal Kembara 14 - Pulau Perhentan


Awal Mac lepas, aku dan rakan pejabat telah berkelana nun jauh ke Pantai Timur tanah air. Percutian dirancang yang boleh dikatakan agak tiba-tiba ini adalah satu percutian yang agak lama aku impikan dek kerana aku sendiri kurang bercuti dan sudah lama tidak merehatkan diri. Jadi, apabila rakan pejabatku menawarkan percutian ini, ternyata ia adalah peluang keemasan yang tidak patut aku lepaskan.

Satu faktor lagi yang membuatkan aku ingin menyertai percutian yang direncanakan mereka adalah kerana aku sendiri masih belum sampai dan menjejakkan kaki ke Pulau Perhentian yang terletak di dalam daerah Kuala Besut, Terengganu. Ya, Pulau Perhentian. Setelah sekian lama dipendamkan hajat ini sejak kecil, akhirnya tanggal 8 Mac 2014 menjadi tarikh bersejarah bagi aku dapat ke sana.

Ok, mari pendekkan cerita. Pada Jumaat tersebut, kami semua berkumpul di Hentian Putra untuk menaiki bas ekspres ke Kuala Besut. Dengan tambang berjumlah RM45 satu hala, kami menaiki bas Sani Ekspres dan bertolak dari hentian tersebut tepat jam 10.05 malam. Dapat duduk di 'single seat' membuatkan aku rasa selesa dan kebanyakkan masa di dalam bas aku habiskan dengan tidur. Ada beberapa kali bas berhenti dan yang aku ingat aku turun daripada bas adalah di Kuala Lipis. Ketika itu, jam 2.30 pagi dan kami dijangka sampai ke Kuala Besut pukul 6.00 pagi. Adakah bas ini mampu sampai ke sana dalam lebih kurang 3 jam setengah lagi dengan jarak perjalanan hampir 300km? Aku fikir tak boleh.


Bas pun berlepas dari Kuala Lipis selepas berhenti lebih kurang setengah jam dan apa yang kami dapat selepas itu adalah bas dipandu dengan begitu laju. Menaiki bas dua tingkat dan duduk di tingkat atas membuatkan aku rasa terhuyung-hayang yang amat sangat. Kali terakhir aku naik bas dua tingkat ni adalah semasa aku belajar di Pulau Pinang menaiki bas Durian Burung.

Setelah menempuh perjalanan yang mencabar, kami betul-betul sampai ke Kuala Besut pada pukul 6 pagi! Fuh, alhamdulillah saja mampu aku ucapkan. Jadi, kami pun mengambil sarapan pagi di T-Kafe berhampiran tempat Jeti Kuala Besut. Kami menunggu sehingga jam 10 pagi dek kerana bot yang diambil hanya berlepas pada pukul 11 pagi. Kami bertolak dari jeti pada lebih kurang pukul 11 lebih dan menaiki bot bersama beberapa pelancong luar. Bot yang kecil dan penuh orang itu tidak terlepas daripada hentaman ombak yang bertalu-talu menyebabkan aku sakit pinggang. Pening tu tak berapa sebab aku dah makan pil mabuk laut.



Perjalanan kami ke chalet di Perhentian Kecil mengambil masa lebih kurang satu jam setengah dan pemandangan di pulau ini sangat indah. Aku dapat lihat airnya yang biru dan mampu menembusi dasar laut sambil melihat ikan-ikan kecil berenang. Ada yang berkumpulan, ada yang solo dan penuh warna-warni. Tanpa membuang masa lagi, kami pun mendaftarkan diri di chalet bernama Senja Bay Resort. Kami dikenakan bayaran RM500 akibat seorang rakan kami menarik diri kerana beliau menghidap demam denggi pada saat akhir. Namun, pihak resort memberi diskaun sebanyak RM50 pada kami. Aku rasa okay jugalah memandangkan bayaran tersebut meliputi aktiviti snorkeling, pakej makan pagi, tengahari dan petang. Oh ya, di jeti Kuala Besut tadi, engkorang akan dikenakan bayaran sebanyak RM5 bagi melawat Taman Laut Malaysia di mana caj ini dikatakan untuk kos pemuliharaan hidupan laut.









Ok, setelah mendaftar, kami pun dapat sebuah bilik yang agak besar dan sempurna. Mempunyai 4 katil single dan 1 katil queen. Bilik air dua dan bilik mandi dua. Agak besar bukan? Apa lagi aktiviti selepas itu? Pastinya berehat dan tidur setelah penat berada di dalam bas dua tingkat yang terhuyung-hayang sebelumnya. Malam itu, setelah selesai makan di resort, kami pun berjalan kaki ke Long Beach yang terletak di bahagian sebelah pulau ini. Dari Long Beach, kami dapat melihat Perhentian Besar yang tidak kurang meriah dengan lampu sana sininya juga.



Apa yang mengecewakan aku, di Long Beach ini terdapat 'disko' kecil atau 'disko mini' yang dibangunkan oleh orang tempatan. Mereka menyediakan arak dan hiburan dengan mendirikan khemah sambil membuka muzik trance dan disko bagi pengunjung yang datang. Bukan jauh pun disko ini daripada pantai. Sekali air bah, semuanya tenggelam. Jadi, eloklah engkorang yang datang ke pulau ini supaya bersedia dengan segala kemungkinan dan jangan lupa diri bila tiba di sini. Kalau boleh, tarbiahlah penganjur disko mini ini supaya bertaubat dan berhenti buat perkara sia-sia ini kerana terdapat juga remaja Melayu yang mabuk menyertai joget disko ini.




Esoknya Sabtu, kami memulakan aktiviti kami yang ditunggu-tunggu dan wajib dilakukan bila tiba di sini iaitu snorkelling atau dalam bahasa kebangsaannya, menyelam sambil memakai penyedut air. Di sini, ada 5 point yang harus kami jelajahi. Point pertama adalah shark point. Misi kami mencari jerung kecil. Kawan aku jumpa katanya tapi aku tak pula jumpa. Banyak ikan kecil dan terumbu karang yang kadangkala menakutkan di sini. Ikan kecil ni macam tak takut manusia dan mereka selamba berenang hadapan aku. Aku pula terpaksa mengelak mereka. Di point ini juga, aku masih sedang membiasakan diri dengan alat snorkeling kerana beberapa kali juga aku tertelan air laut kerana alat tersebut tidak di'setting' betul-betul sebelum terjun.



Point kedua dipanggil Fish Point. Di sini juga banyak ikan-ikan kecil yang berenang selamba. Aku tidak dapat lama di sini kerana dengan mata yang agak rabun, aku tidak boleh jauh daripada bot yang menunggu di lingkaran sempadan. Nanti susah pula nak cari kerana banyak betul bot-bot lain yang turut sama membawa pengunjung. Namun, dapatlah tengok beberapa ikan kecil yang kadang-kadang menggigit aku. Kami terus kepada point ketiga iaitu Turtle Point. Di sini lebih menarik kerana khabarnya ada penyu di sini. Sekitar 15 minit pertama, aku gagal menjumpai penyu. Rakan aku pun sama. Takde katanya. Kami pun pulang ke bot kami.

 

Sesampai di bot, brader beach boy atas bot tanya, "Ada jumpa penyu tak?". Aku jawab takde. Brader tu pun jawab, " Eh, macamana boleh tak jumpa? Saya pelik bila orang snorkeling kat tempat ni kata diorang tak jumpa penyu!". Brader tu macam tak puas hati lalu mencapai alat snorkeling beliau dan siap-siap nak terjun ke dalam laut. Kami pun ikut sama brader tu disebabkan dia kata mesti akan jumpa juga penyu. Brader tu pusing-pusing kejap dalam laut dan dia panggil kami.

"Woi, ni ha penyu, cuba menyelam tengok bawah!"

Ya, memang ada penyu yang duduk diam di dasar laut. Kadang-kadang bergerak sedikit. Lebih kurang 3 meter dalam air tu dari permukaan air. Ada juga pelancong yang membawa kamera sendiri pergi menyelam dekat dengan penyu tersebut sambil ambil gambar. Akhirnya, dapat juga aku melihat sendiri penyu berenang di dalam laut dan ini adalah satu perkara yang amat menggembirakan dan momen berharga. Namun, rakan aku satu lagi, katanya dapat memegang belakang penyu tersebut kerana ia dikatakan timbul sekali sekala di permukaan air. Ah, tak guna betul!


Aktiviti snorkeling aku ditangguh sementara bagi memberi laluan kepada kami untuk mengambil makanan tengahari. Dengan kesejukan air laut dicampur dengan kepanasan suhu, memang betul berseleralah makan. Alhamdulillah. Dan kami pun menyambung semula aktiviti snorkeling setelah selesai melakukan solat jamak dengan pergi ke point keempat iaitu Lighthouse. Di sinilah point yang terbaik sekali bagi aku kerana di sini, kita tidak dapat melihat dasar laut langsung. Tetapi, terdapat banyak terumbu karang yang besar-besar dan kesemuanya cantik-cantik belaka. Ikan pula semuanya berwarna-warni dan berbagai-bagai saiz. Jika bernasib baik, kita akan berjumpa dengan ikan pari kecil. Biasanya, mat saleh yang akan jumpa kerana mereka menyelam tanpa jaket keselamatan dan bebas melakukan aktiviti menjelajah. Aku sebagai orang Melayu haruslah berasa malu kerana tidak pandai menyelam dan berenang pun hanya sekadar tahu sahaja.



Kami pun menghampiri point terakhir iaitu Romantic Beach. Di sini, selain pasir pantai yang putih, airnya juga jernih dan kita boleh melihat ikan-ikan kecil berenang. Dan air yang jernih tidak semestinya akan terjamin bersihnya jika ada pengunjung yang mengambil kesempatan membuang air di dalam laut. Jadi, elakkan perkara sedemikian. Aktiviti snorkeling akhirnya tamat dan kami dihantar pulang ke resort kami. Sebenarnya, point-point snorkeling aku bagitau tadi, tidaklah jauh antara satu sama lain tetapi dapat dilihat habitat penghuninya berbeza-beza setiap satu. Inilah keajaiban alam ciptaan Allah yang antara kita sebenarnya tahu tetapi masih tidak mahu mengakui kehebatan dan kebesaran-Nya.



Petang itu, kami minum petang dengan menikmati waffle bersama ais-krim beserta air 100 plus. Kesedapan hidangan tersebut ternyata amat berbaloi dengan harganya. Terima kasih kepada rakan aku yang membayar untuk hidangan kami tersebut. Kepenatan ber'snorkeling' dilepaskan dengan menikmati tidur yang secukupnya. Malam itu, kami menikmati hidangan BBQ yang disediakan pihak resort melalui pakej yang telah kami bayar. Bagi aku, ia tidak berapa sedap dan menarik. Portion yang diberi amat kecil dan ada rakanku mengadu ikan barracuda yang dipilih sebenarnya dua ketul tetapi bila dihidangkan menjadi satu ketul. Malas nak bising lebih, kami diamkan sahaja. Selesai makan, kami melepak di tepi pantai melepaskan penat dengan mendengar desiran ombak malam dan membiarkan bayu laut menampar muka. Masing-masing tak lepas tangan daripada telefon bimbit bagi menyemak berita mengenai kehilangan MH370.


Keesokkannya, hari Isnin 11 Mac 2014, kami pun berkemas untuk bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Bot daripada jeti pulau tersebut berlepas sekitar jam 12 tengahari. Dan kami sampai di jeti Kuala Besut lebih kurang sejam selepas itu. Pastinya tidak lengkap percutian jika tiada ole-ole dan buah tangan untuk keluarga tersayang di rumah. Aku beli beberapa key-chain, magnet peti sejuk dan sehelai t-shirt kenangan. Kami mengambil keputusan untuk makan tengahari di restoran yang sama kami makan ketika mula sampai iaitu di T-Kafe. Selesai makan, kami pun mencari teksi untuk ke Lapangan Terbang Kota Bharu. Tambang yang dikenakan kepada kami adalah sebanyak berapa entah aku pun tak ingat. Yang aku ingat seorang dalam RM8.50 rasanya. Jadi, engkorang darablah dengan 4 orang. Kalau nak dapat teksi berhawa dingin, tambahlah lagi RM10.




Dalam teksi, ramai yang tertidur dek kerana keletihan semestinya. Kami sampai di airport lebih kurang pukul 2 petang. Disebabkan pesawat hanya berlepas jam 5 petang, kami ambil masa untuk solat dan makan lebih kurang di KFC. Dipendekkan cerita, alhamdulillah kami selamat tiba di LCCT lebih kurang jam 6 petang. Aku dan tiga rakanku mengambil bas dari LCCT ke Salak Tinggi (tambang RM8) untuk menaiki KLIA Ekspres dari situ menuju ke Terminal Bersepadu Selatan di Bandar Tasik Selatan. Sampai situ, rakanku ajak makan Subway terlebih dahulu dan tanpa melengahkan masa engkorang, kami pun solat Maghrib di situ. 

Alhamdulillah, masing-masing selamat tiba di rumah masing-masing lebih kurang jam 9 malam. Bagi aku, aktiviti yang menarik di Perhentian pastinya aktiviti snorkeling kerana itu sahaja aktiviti yang betul-betul kami buat. Haha. Ada juga aktiviti lain yang boleh dibuat di sini seperti berkayak, menaiki bot ke Pulau Redang dan pulau-pulau lain. Dan jika musimnya kena, boleh mencandat sotong juga di sini. Jadi, boleh aku simpulkan kembara kali ini walaupun tidaklah berapa padat dengan aktiviti, ia sangat menyeronokkan kerana dapat merasai pengalaman baharu dan ini kali pertama aku ke sini. Insyallah, jika ada kesempatan, aku akan kembali ke Perhentian.

Saturday, March 15, 2014

Sains dan Tuhan


Sudah masuk hari ke-8 pesawat MH370 dilaporkan hilang. Soalan seperti "mana pesawat tu hilang?" seakan sudah tidak mampu dijawap oleh setiap orang, baik bahagian teknikal, aviasi ataupun pegawai kerajaan. Tiada jawapan untuk persoalan itu. Bagi saya, ini adalah antara kes terbesar yang pernah kita alami dalam dekad ini selain peristiwa liwat Saiful.

Tidak kurang ramai yang mengemukakan teori ataupun konspirasi sendiri sehinggakan kita rasa meluat dan nak muntah membaca kerana semuanya hanya berpaksikan kepada ilmu akal semata-mata. Namun, bagi aku, kesemua yang berlaku ini pokok pangkalnya berbalik kepada keimanan kita kepada Allah. Setinggi mana pun akal manusia dalam membina besi-besi yang mampu terbang di langit, dikawal dan dikesan melalui sistem radar yang canggih, dapat dinavigasi melalui lautan yang luas, ia tentu sahaja tidak mampu melawan kuasa Allah selaku pemilik mutlak alam ini.

Sehebat mana pun ciptaan sains manusia hari ini, namun apabila 'berlaku campurtangan' Tuhan, kita tidak mampu mengesan pesawat besar yang hilang di angkasa walaupun kita mendabik dada kita punyai sistem teknologi termaju sekali. Begitu hebat kekuasaan Allah. Dialah yang lebih Maha Mengetahui segala yang di langit dan di bumi (surah At-Taghabun - ayat 4).

Dalam pada itu, kita harus terus berdoa kepada Allah agar dipertemukan semula mangsa yang hilang dan dijauhkan kita semua daripada segala bencana yang kerap menimpa kita akhir-akhir ini.



 
Google Analytics Alternative