Sunday, April 27, 2014

Obama di Malaysia


Saya masih ingat lagi ketika Obama dilantik menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke-44, beliau dikatakan bakal membawa perubahan dan pemulihan kepada hubungan Barat dan Negara-negara Islam. Namun, setelah masuk 5 tahun pemerintahannya, tiada tanda-tanda yang dikhabarkan tersebut.

Dan, hari ini dalam suratkhabar dan peti televisyen, kita meraikan beliau dengan begitu meriah sekali ibarat beliau adalah seorang hero.


Lebih menarik (atau malang?), ada pemimpin negara sempat berselfie bersama pemimpin nombor satu AS itu.

Thank you Lejen for Outstanding 3 Years!


Dalam hidup ini, ada datang dan pergi. Begitu jugalah dengan pengangkutan yang membawa saya ke segenap ceruk dalam Malaysia ini. Apabila tiba masa untuk saya ucapkan selamat tinggal kepadanya, rasa sedih yang amat menerpa dalam diri. Ia bukanlah tidak bagus, cuma saya perlu mencari yang lebih besar dan selesa memandangkan saya kerap berkelana ke sana sini. Dan dalam kelana itu, saya seringkali perlu membawa beberapa insan yang bersama menelusuri pengembaraan itu.


Apa yang boleh saya katakan, si merah ini atau saya panggil Lejen, sudah melakukan tugas yang teramat baik. Jarang memberi masalah dan tidak gagal membawa saya ke mana sahaja (sudah pastinya dengan izin Tuhan). Ke Terengganu sudah, ke Johor sudah, ke Melaka sudah, ke Perak sudah, ke Pahang sudah, ke serata ceruk Selangor sudah. Tempoh masa hampir 3 tahun itu telah mencatatkan pemanduan beratus ribu kilometer (100k) ke segenap tempat di dalam Malaysia. Dan Lejen sebuah mesin yang lasak. 


Saat-saat terakhir untuk diserahkan kepada tuan baharu.



Saya akan merinduikan Lejen dan berharap perkara yang sama kepadanya.

Saturday, April 05, 2014

Tragedi Benta-Lipis-Raub


Pagi 24 Mac 2014, aku pergi kerja macam biasa. Selesai membuat beberapa kerja dan mengirim email kepada client, aku pun minta diri untuk ke tapak projek di Kuala Lipis daripada bos jabatan aku. Tanpa berlengah, beliau memberi kebenaran sebaik sahaja aku tunjukkan surat mengenai lawatan tapak yang akan dihadiri oleh wakil pihak kerajaan.

Setelah siap-siap mengisi minyak di stesen minyak tepi MRR2 berdekatan Ampang, aku pun membaca doa meneruskan perjalanan panjang aku ke Kuala Lipis. Lawatan tersebut dijangka bermula pada pukul 2.30 petang, jadi, dalam perhitungan aku, bertolak seawal jam 11.30 pagi adalah okay memandangkan jarak perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Lipis lebih kurang 3 jam.



Pada pukul 2 petang, aku selamat sampai di Hentian Benta. Disebabkan ada beberapa kilometer sahaja lagi untuk sampai ke tapak projek di Kuala Lipis, aku pun bercadang menunaikan solat jamak qasar terlebih dahulu. Agak ramai juga orang di berada hentian ini memandangkan cuti persekolahan sudah pun bermula. Selesai solat, aku pun terus ke kereta kecil aku bagi meneruskan perjalanan ke tapak projek. Aku cuba hidupkan enjin namun gagal. Aku pulas kunci habis, namun ia tidak menghidupkan enjin. Setelah sekian lama mencuba, aku cuba tutup pintu kereta dan kuncikan kereta menggunakan alarm. Tak mahu juga. Ah sudah, getus hatiku. Ini tak lain tak bukan, bateri dah kong la ni. Nak kong taknak jauh pulak tu. Sampai ke Benta engkau kong ye. Aku bermonolog sendirian.

Aku cuba telefon wakil arkitek untuk minta jumper kalau-kalau ada. Tapi, panggilan tak berjawab. Agaknya tengah mengalu-alukan kehadiran wakil pihak kerajaan kot. Jadi, aku cuba call pihak kontraktor. Aku kenal mereka. Panggilan berjawab dan beliau sedia mencarikan jumper di tapak projek kalau ada. Lebih kurang 15 minit aku tunggu, pihak arkitek telefon semula dan dia sudah dimaklumkan tentang masalah yang aku hadapi dan dia meminta aku agar menunggu ketibaan wakil pihak kontraktor. Alhamdulillah, lega aku dengar.

Lebih kurang 30 minit jugalah menunggu, baru kontraktor datang bawa jumper. Dipendekkan cerita, enjin berjaya dihidupkan buat sementara waktu. Setelah mengucapkan terima kasih, aku pun menuju terus ke pekan Kuala Lipis untuk menukar bateri. Aku dipertemukan dengan bengkel milik seorang Cina atas takdir Allah. Setelah diuji bateri aku, pihak bengkel mengatakan bukan sahaja bateri aku kong, malah alternator kereta juga bermasalah. Ia tidak dapat mengecas bateri tersebut. Ini sungguh menyakitkan hati aku kerana sangkaanku hanya bateri saja bermasalah. Rupanya alternator pun nak kena ganti.


Tanpa buang masa, aku pun bersetuju walaupun sebenarnya aku agak ragu-ragu kerana kereta tersebut baru berusia 7 tahun. Takkanlah alternator dah problem? Bukannya kereta lama. Tapi benda macam ni tak boleh nak jangka hatta kereta baru sekalipun. Jadi, untuk menyingkatkan masa memandangkan aku belum melawat tapak lagi, aku setuju sajalah. Pakai jenis recond pun sudah mencecah RM450. Bateri pula tiada jenama cap ayam, cuma ada bateri kering berjenama Century. Jadi, harga pun mahal jugalah. Nak buat macamana, kenalah ganti juga. Tup-tup, aku kena sampai RM700 semua sekali.



 Aku pun pergi semula ke tapak projek walaupun sudah hampir sejam lewat. Nasib baik mereka tak bising sangat kerana mereka telah sedia maklum kondisi kereta aku ketika itu. Setelah melihat tapak lebih kurang, aku pun bertolak balik. Namun, nasib malang datang semula apabila kereta mula tersengguk-sengguk di Raub. Jadi, aku pun matikan enjin dengan hajat cuba untuk hidupkan semula namun gagal. Apalagi, aku telefon pomen workshop tadi dan suruh dia datang. Lebih kurang pukul 7 lebih barulah dia datang terhegeh-hegeh. Dia kata kena hantar balik Kuala Lipis sebab memang alternator diorang problem. Diorang pun tukar bateri aku dengan yang dah siap caj dan meminta izin untuk mengambil kereta aku pulang ke Lipis.





Aku pun mula hangin satu badan namun ku tahan jua. Takpe, aku pun ambil barang-barang aku dan melepaklah pekena teh o suam di hentian SFive yang jual buah-buahan sambil tunggu ayah aku datang dari KL. Aku nak je tidur Raub atau Kuala Lipis tapi duit tunai pulak tak cukup dan takde kenderaan. Dengan susah payah makbapak aku datang dari KL dan jemput aku lebih kurang pukul 10 malam. Keesokannya, aku beli tiket bas Pahang Lin Siong Motor untuk ke Kuala Lipis menjemput semula kereta aku. Lebih kurang 4.30 petang, aku dan ayah aku sampai di Kuala Lipis. Aku pun call pomen semalam untuk ambil aku dengan gaya otai. Terkedek-kedek pekerja dia datang ambil kami. Dah selesai bengkel tu ganti alternator baru, aku pun ambil semula kereta aku dan bawa pulang ke KL.

Kesimpulannya, kadang-kadang, manusia boleh bersatu dengan mesin. Segala apa yang kita ceritakan, luahkan, mesin ini akan mendengar. Ibarat mereka mempunyai roh, cuma kita sahaja yang tidak sedar.

Lagu Cinta


Masa aku kecik dulu, aku pernah tanya umi aku....

"Umi, kenapa lirik lagu kebanyakannya berkaitan cinta?"

Umi aku jawab,

"Entahlah, itu je benda yang orang minat sekarang..."

Genius jugak jawapan umi aku ni.
 
Google Analytics Alternative