Thursday, October 29, 2015

Pasca Bajet


Ada seorang Menteri umumkan melalui pembentangan Belanjawan 2016 baru-baru ini bahawa IPTA perlu mencari pembiayaannya sendiri kerana kerajaan tidak mampu menanggung kos mereka.

Ini satu langkah yang kurang bijak. Bahkan, ia seakan memastikan bahawa pendidikan percuma seakan-akan jauh panggang dari api.

Pagi ini pula terdengar bahawa PTPTN akan kurangkan pinjaman kerana terdapat beberapa peminjam yang tidak pernah membuat bayaran mencecah hampir billion ringgit.

Ini satu malapetaka yang amat dahsyat. Kerajaan tidak pandai menguruskan sumber kewangan, maka, rakyatlah yang dapat derita.

Pemanduan Mencerminkan Keperibadian.


Melewati lebuhraya MRR2 ketika pulang daripada pejabat, aku terpandang sebuah iklan nasihat daripada Astro Pencetus Ummah dengan mottonya 'Pemanduan Mencerminkan Keperibadian'. Hal ini memang tersangat benar kerana di jalanraya Malaysia inilah kita dapat melihat sisi lain seseorang itu samada buruk atau baik.

Aku juga tak terkecuali. Bukan aku meninggi diri tetapi apabila di jalanraya, aku seringkali mengamalkan sikap bertimbang rasa, bertolak ansur dan memberi peluang kepada orang lain. Cuma, bab membawa kereta dengan laju, itu hal lain. Akan tetapi, ada juga yang tidak menyenangi perbuatan yang sudah sebati dengan diri aku ni. Lebih-lebih lagi apabila orang tersebut (tidak perlulah aku maklumkan siapa) ada di sebelah kerusi pemandu yakni penumpang hadapan. Aku menjadi tidak keruan.

"Kenapa bagi kereta sebelah masuk line?"

"Kenapa tak hon kereta yang mencelah tu tadi?"

"Hey, kereta ni tak bagi signal. Honlah dia!!"

"Kereta depan ni biadap. Kejar dia, nak tengok macamana rupa orangnya.."

Inilah ayat-ayat yang sering aku terima ketika aku memandu. Ia sekaligus 'merosakkan' cara pemanduan bertolak ansur yang aku amalkan ketika aku memandu berseorangan atau tanpa orang-orang yang suka mengkritik dan memberi arahan di jalanan. Dalam usia sebegini, tidak perlu rasanya ada orang mengajar kau bagaimana cara memandu yang betul hatta sehingga kau hendak masuk simpang pun, akan ada terdengar,

"Bagi signal masuk kiri, nanti kereta belakang hentam..".

Aku rasa terkejut. Aku sudah memandu hampir 10 tahun dan aku mendapati cara pengajaran sebegini hanya sesuai dimaklumkan ketika engkau belum pun memperoleh lesen atau dalam proses belajar memandu dengan sekolah memandu. Aku bukan tidak menghargai pesanan itu namun, apabila setiap kali diucapkan, ia akan menyakitkan hati engkau dan seterusnya boleh mengubah emosi engkau daripada memandu secara berhemah menjadi secara beremosi dan tidak siuman. Lebih-lebih lagi jika, ayat-ayat contoh yang aku berikan seperti di atas itu. Ini semua boleh mengubah emosi dan perasaan engkau sekaligus membawa kepada reaksi yang tidak bagus di kemudiannya.

Dan, apabila emosi menguasai diri, tidak dinafikan, aku juga akan turut bereaksi atas apa yang terlontar dan tersebut. Jalanraya bukanlah tempat bermain dan berseronok. Kesannya amat dahsyat apabila engkau tidak lagi memandu mengikut kata hati, akal dan fikiran yang sebati dengan engkau, tambahan jika engkau memandu dengan aura positif dan berhemat cermat.

Seperti aku katakan, bukan manusia tidak boleh menerima kritikan, tetapi jika ia menjurus kepada arah yang tidak sekelumit pun menampakkan tanda positif, kesannya amat bahaya. Kerana ia pernah terjadi kepada aku apabila aku membahayakan nyawa penumpang lain di belakang akibat dirasuk 'emosi' dan sebagai reaksi tindakbalas.

Pesanan aku, memandulah dengan cara kamu yang positif dan jangan mempedulikan kata-kata orang tidak kira siapa pun dia. Jika perlu, memandulah dengan berseorangan atau dengan orang yang tidak cuba mengubah cara engkau memandu.

Pemanduan cerminan keperibadian.

Friday, October 23, 2015

Bajet 2016


Sekarang ni, apa-apa yang kerajaan buat, orang (genius) takkan percaya dah. Hatta, benda yang baik sekalipun, ia pasti akan ada mesej tersirat. Gila ke lebuhraya Borneo takkan dikenakan tol (rujuk Bajet 2016)? 5 tahun awal jela. Dan, macam biasa, BR1M jugak yang asyik naik. Kos sara hidup terus menurun. Apa yang dibentang dalam Bajet biasanya akan 'dirampas' balik dalam bentuk kenaikan tol (BR1M kurang jika tol tak naik), harga minyak naik, cukai sana-sini dan macam-macam lagilah perompak BN akan buat.

Oleh itu, layaklah kita gelar Bajet saban tahun hanyalah Bajet Sampah.

Saturday, October 17, 2015

BalasaN


Malaysia sudah sampai satu peringkat di mana semua nikmat yang Tuhan kurniakan ditarik satu persatu. Dan akhirnya akan musnahlah negara ini dengan peperangan saudara bakal terjadi dek kerana ideologi taksub politik dan bangsa. Pemimpin-pemimpin Islam yang hebat telah Allah cabutkan satu persatu. Ini semua adalah balasan kepada kita semua rakyat yang selama ini jauh daripada Islam.

Sunday, October 11, 2015

Di Atas Semua Kepayahan, Akan Terlahir Suatu Nikmat Abadi Di Penghujungnya


Sebenarnya terdapat kisah ketika aku hendak berhenti kerja di syarikat lama aku. Di mana Pengarah Eksekutif aku sedaya upaya ingin mengekalkan aku di dalam syarikat. Setelah aku bilang, lebih kurang 4 kali jugalah beliau memanggil aku supaya masuk ke biliknya untuk memujuk aku. Ketika bertemunya ini, beliau lebih banyak bercerita mengenai kesusahan hidup beliau yang dahulu bekerja sebagai kontraktor buat lebuhraya dan juga bekerja di pelantar minyak dalam industri minyak dan gas.

Terus-terang aku berasa seronok mendengar ceritanya. Aku dapat rasakan bahawa mungkin kepayahan hidup yang beliau tempuhi dahulu telah dapat memungkinkan beliau membuka sebuah firma konsultan sebagaimana hari ini. Pada dasarnya, cerita yang disampaikan kepada aku itu ibarat mahukan aku berfikir bahawa bekerja dengan syarikat kontraktor bukanlah tugas mudah dan tidak seindah yang aku bayangkan. Pada hemat beliau, aku pasti akan menarik balik keputusan aku untuk meletak jawatan sebagai jurutera mekanikal di firmanya. Sebaliknya, aku berasa lebih bersemangat kerana beliau berjaya pada hari ini kerana kesusahan pada masa lampau.

Jika beliau tidak mahu aku susah pada masa sekarang, nescaya aku akan berada di dalam zon selesa. Ah, mana mungkin aku berada di dalam zon selesa ketika ini sebagaimana pada hematnya. Banyak yang aku perlu buat dan hadapi sepanjang aku berada 4 tahun di firma tersebut. Semenjak pemergian Ketua Bahagian Mekanikal pada tahun lepas, aku jadi terkontang-kanting dan agak mendap kerana aku 'hilang kepala'. Tiada lagi tempat untuk aku buat rujukan dan bertanyakan soalan. Keadaan diburukkan lagi apabila bos-bos membuat keputusan untuk menghantar seorang senior Mekanikal ke tapak atau site. Alasan syarikat adalah untuk cut-cost. Ya, alasan yang seronok untuk didendangkan bagi menjimatkan perbelanjaan syarikat.

Lalu, tinggallah aku seorang terkontang-kanting menyudahkan kerja-kerja berkaitan mekanikal. Perginya ketua bahagian tidak berganti, di'buang' pula senior ke site. Adilkah ini untuk aku? Aku pernah bersuara kepada bos supaya mencarikan aku back-up untuk department Mekanikal disebabkan ketika itu sibuk dengan projek Mass Rapid Transit (MRT) di mana hampir saban hari pasti ada mesyuarat atau lawatan tapak. Pendek kata, aku hampir tidak boleh buat projek lain disebabkan client yang begitu mendesak walhal ketika itu aku handle hampir 13 projek seorang diri. Bos berjanji untuk mencarikan kemungkinan seorang budak fresh grad untuk membantuku tetapi setiap kali aku atau seorang lagi rakan staff aku daripada department Elektrikal bertanyakan tentang perlunya staff baru, alasan yang aku terima adalah...

"Susah sekarang nak cari budak baru. Banyak yang takde experience dan budak fresh grad pun takde apply. Company pun sekarang slow dalam dapat projek baru. Takkan tak boleh handle projek kot tanpa senior?", bos pandang aku. Aku senyum sahaja dan dia pun berlalu pergi.

Aku sudah dapat mengagak jawapan beliau. Sejak dari itu, aku bertekad untuk mencari syarikat lain untuk aku taburkan khidmat kerana tidak guna aku kekal ketika syarikat pun tidak mampu untuk bantu aku dan hargai kakitangannya. Hampir setiap hari aku balik lewat malam. Pukul 10 malam ke atas tu memang sudah jadi adat. Pernah sampai 6 pagi tu belum cerita lagi. Tidak ada hari yang aku betul-betul pulang tepat jam 5.30 petang. Siang mesyuarat sana sini. Malam pula barulah aku dapat buat kerja-kerja di ofis. Orang yang menyindir aku ketika aku hendak berhenti (rujuk posting lepas) hanya tahu pulang tepat pada masa. Masa itu, tiada siapa tahu (hanya kenalan rapat sahaja yang tahu) betapa sakitnya dan deritanya aku ibarat tiada kehidupan apabila pulang larut malam dan pada hujung minggu pula, boleh dikatakan samada Sabtu atau Ahad, aku pasti datang ke ofis kerana waktu bekerja 5 hari seminggu sudah tidak relevan bagi aku.

Ketika menyiapkan projek MRT (yang terlampau mendesak) inilah aku pernah menangis dan menjerit marah setiap kali terdapatnya isu-isu yang menyakitkan hati aku. Aku bekerja seorang diri menyiapkan rekabentuk Mekanikal. Kadang-kadang orang elektrikal pun meminta bantuan aku untuk melukis bagi mereka. Ada masa aku turutkan sahaja. Ada masa, aku menolak secara sinis. Aku seorang, manakala department elektrikal ada 3 orang. Mengapa aku yang seorang perlu buat lagi kerja department yang ada 3 orang di dalamnya? Terus-terang, aku memang tidak pandai menolak kerja pemberian orang. Samada aku seorang dungu tidak tahu membezakan mana satu skop kerja aku atau mereka yang kadang-kadang tidak pernah langsung memahami perasaan orang lain.



Aku putus asa ketika itu. Kehidupan tidak teratur sampai aku dituduh tidak ada life. Asyik fikir kerja dan macam-macam lagi tohmahan yang menambahkan kesedihan aku. Aku bertekad sekali lagi bahawa sebaik sahaja selesai projek MRT ini, aku akan 'terbang' ke tempat lain yang lebih baik. Aku akan habiskan apa yang aku mulakan dan bukan prinsip aku untuk meninggalkan sisa-sisa kerja kepada orang lain. Jadi, sebaik sahaja selesai menghantar lukisan tender ke bangunan MMC-Gamuda di Damansara Perdana, aku terus mencari rakan-rakan untuk bertanyakan kerja kosong. Alhamdulillah, aku dapat menghubungi semula bekas Ketua Bahagian Mekanikal yang berhenti itu dan dia telah menyarankan aku kepada bos di sebuah syarikat kontraktor di mana aku bekerja hari ini. 

Sebaik sahaja selesai projek MRT itu (selesai pada ketika itulah, aku dengar khabar bahawa terdapat perubahan rekabentuk lagi yang perlu diselesaikan oleh jurutera yang menggantikan aku kini), aku ditugaskan oleh bos-bos untuk ke Batu Kurau di Perak untuk satu kebarangkalian projek baru. Ketika aku ke sana (bersama bos-bos!), aku telah pun mendapat tawaran temuduga daripada syarikat kontraktor tersebut. Jadi, besar harapan aku bahawa orang baharulah nanti yang akan menguruskan hal berkaitan projek baru ini.

Setelah semua perkara ini, aku berfikir sejenak mengapa bos memanggil aku sampai 4 kali masuk ke biliknya demi untuk memujuk aku supaya stay. Dan juga, mengapa bos memilih aku di kalangan yang lain untuk mengikutnya sehingga ke Batu Kurau (dan juga, Pintu Geng di Kelantan) sedangkan ada beberapa skop kerja yang bukan di bawah skop mekanikal. Aku bukanlah mahu mendabik dada di sini atau cuba menunjukkan betapa bagusnya aku tetapi, dengan rasa rendah hati, jujur aku katakan bahawa aku bukanlah seorang yang terbaik di dalam syarikatnya. Ramai lagi yang lebih senior daripada aku yang pastinya lebih banyak ilmu dan pengalaman patut boleh dibawa bersama untuk ke mana-mana projek.

Aku dapat mengetahui daripada beberapa sumber bahawa ada 'sesuatu' yang dilihat di dalam diri aku daripada kaca mata bos yang aku sendiri tidak tahu dan bos sendiri tidak pernah zahirkan secara terus-terang tentang hasil kerja aku. Bos tidak suka bercerita tentang pekerjanya tetapi kebarangkalian pihak pentadbiran tahu mengenai perkara ini hasil mesyuarat bersama pihak lembaga pengarah. Jadi, selama ini mungkin bos tahu mengenai kerja aku tetapi aku masih tidak faham mengapa mereka sukar untuk memahami apa yang aku inginkan dalam syarikat.

Yang sudah biarlah berlalu. Perjalanan masih panjang. Ilmu masih terlalu luas ibarat lautan dalam untuk aku hadam. Aku harus congak nasib diri untuk masa depan pula. Aku hanya mampu berterima kasih pada bos yang mempercayai aku sepanjang aku bekerja di sana walaupun aku kadangkala berasa hampa dengan mereka yang tidak memahami staf mereka. Tetapi, jujurnya, aku tidak sekelumit pun menyimpan dendam pada syarikat dan bos-bos di situ sehinggakan aku pernah berasa terlalu sedih untuk meninggalkan syarikat yang menjadi tempat aku belajar dan mengaut pengalaman berharga sepanjang 4 tahun ini. Aku anggap bahawa aku hanya memberi sumbangan kecil sahaja pada syarikat jika hendak dibandingkan dengan mereka yang sudah bekerja puluhan tahun dengan syarikat tersebut. 

Kini, aku hanya memerhati dari kejauhan saja setelah jasad tiada lagi di sana. Namun, hati aku tetap tinggalkan di sana untuk 4 tahun memori dan kenangan yang indah. Walau kepahitan itu pasti ada, namun, yang manis itu terlebih dahulu dalam ingatan. Terima kasih bos dan staf semua!

Hadiah istimewa pen Parker berukir nama aku daripada kedua bos ketika hari meraikan pemergian aku.

 
Google Analytics Alternative