Thursday, November 27, 2008

Hari Indah Yang Penat



Hari Selasa lepas adalah hari yang penat bagi aku kerana seharian suntuk aku terpaksa menghadiri konvokesyen diplomaku. Ya,terpaksa. Bukan aku tidak sukakan konvokesyen yang pertama dalam hidup aku tetapi hari itu sememangnya penat. Apapun segala penat lelah itu aku rasa berbaloi sepertimana berbaloinya aku belajar selama 3 tahun untuk menerima diploma aku di pentas. Berbaloi juga hari itu kerana majlis konvokesyen itu berlangsung dalam keadaan yang terbaik dan lancar. Bagi aku, majlis hari itu langsung tidak bosan dan setiap detik dalam dewan itu begitu bermakna. Ecehh, macam dalam iklan pulak.

Malam sebelum konvo itu aku sukar hendak lelapkan mata. Sama seperti yang aku alami apabila aku mendapat tawaran belajar di Pulau Pinang dahulu. Berdebar dan banyak yang aku fikirkan tapi apa yang aku fikirkan tidaklah aku ketahui. Agaknya sebab sebelum itu aku banyak sangat berposing dengan jubah konvo kut. Itu yang terbawa-bawa sampai susah nak tidur tu.

Pagi esoknya,hari konvokesyen aku bertolak pukul 9 ke Shah Alam dengan keluarga. Cuma ibubapa aku sahaja yang turut serta. Iyalah, hanya 2 tetamu sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam dewan. Kalau yang bawak satu bas tu,alamatnya duduk luar dewan tengok skrin besar sahajalah. Sedih juga apabila mendengarkan cerita opah aku yang kepingin pergi ke konvo aku tetapi ada urusan lain di kampung yang tak dapat dielakkan. Iyalah, aku adalah cucunya yang pertama memperolehi diploma. Mestilah rasa nak tengok bukan? Hehe.

Akibat terlalu awal aku sampai ke kampus, akhirnya aku melangutlah selama lebih 2 jam di situ menunggu bilanya pendaftaran graduan hendak dibuat. Nasib baiklah ada member yang datang awal sekali. Boleh jugak sembang-sembang. Dalam pukul 12.30 tengahari, semua sudah kena berbaris untuk berarak ke dalam dewan. Masing-masing diberi nombor.




Sebelum menanti kehadiran Pro Canselor dan Naib Canselor, graduan dan para ibubapa dihidangkan dengan tayangan video mengenai UiTM. Perjuangan Melayu dan bumiputeralah. Apalagi. Juga ada video khas dokumentari mengenai alumni UiTM iaitu Tan Sri Jins Shamsudin.

Setelah hadirnya VIP-VIP tadi, konvo pun bermula. Semasa sidang aku ini, ada 3 fakulti yang terlibat. Fakulti Pengurusan Hartanah(betul ke?), Fakulti Mekanikal dan Fakulti Seni Persembahan dan Artistik. Fakulti artistik ini diketuai oleh dekan Hatta Azad Khan. Budak-budak dari fakulti ini jugalah yang paling bising bersorak dalam dewan jika ada apa-apa yang disebut mengenai fakulti mereka. Yelah, budak Hatta Azad Khan kan.

Majlis anugerah diselangi dengan persembahan band dari fakulti artistik tadi. Graduan dari fakulti ini diberi ruang yang istimewa apabila semasa majlis penganugerahan graduan mereka, band inilah yang diberi peluang untuk bermain musik iringan ketika graduan fakulti lain termasuk fakulti aku hanya diiringi musik gamelan atau cak lempong. Betapa tidak adilnya dunia. Kawan aku yang mempunyai band juga panas hati dan telinga. Aku cuba sabarkannya dan menyuruhnya jangan membuat perkara bodoh. Manalah tahu.

Graduan dari fakulti artistik ini sekali lagi membuat 'havoc' dalam dewan apabila graduan-graduan dari cabang seni lakon membuat mimik muka dan aksi-aksi lelucon di atas pentas yang mengundang sorakan apabila keluar di layar skrin. Sebaik sahaja selesai majlis yang sungguh happening itu, yelah happening sebab pro canselor selalu bantai buat lawak semasa menyampaikan ucapan penutup. Aku melihat ramai graduan-graduan yang gembira bersama yang tersayang sambil menerima hadiah bunga atau patung. Tetapi aku, siapa yang nak bagi. Takpelah.

Aku cuba mencari kawan-kawan untuk merakam foto bersama supaya kita boleh melompat kegirangan tetapi hampa apabila masing-masing sibuk dengan hal mereka dan ada juga yang sudah pulang terus. Aku sedikit hampa kerana pada hari yang jarang dapat kita lalui selalu aku tidak berkesempatan melakukan perkara yang ingin aku lakukan.

Kita tutup saja buku lama dan buka buku yang baru. Perjalanan masih panjang. Masih banyak duri dan onak di ranjau yang perlu ditempuhi. Pengembaraan baru saja bermula.

Wednesday, November 26, 2008

Rasionalkah Ia?



Baru-baru ini syarikat-syarikat telekomunikasi sudah melancarkan 'perang' menarik pelanggan bertukar ke pelan mereka tetapi dalam masa yang sama mengekalkan nombor mereka.

Cuba fikir. Kita guna 016. Kita dail kawan kita 016 jugak. Kita punyalah seronok fikir yang kawan kita itu juga dalam pelan yang sama. Jadi,cajnya samalah. Rupa-rupanya, check balik dia dah bertukar ke pelan Maxis ataupun Celcom. So, kat sinilah konflik timbul. Kita takkan dapat tahu apa jenis operator orang yang kita hubungi. Kita ingat caj murah bila nombor sama tetapi rupanya dah bertukar operator.

Apakah rasionalnya kaedah ini dan siapakah yang mencadangkannya? Sudah buat kaji selidik di kalangan orang ramaikah dia? Dalam hal ini, yang rugi adalah pengguna juga melainkan kadar caj untuk semua talian itu adalah sama.

Monday, November 24, 2008

Buah Hati Terbaru Aku


Lebih kurang inilah 'buah hati aku'.

Aku adalah seorang yang ketinggalan dalam mengejar arus permodenan. Orang lain sudah memiliki telefon bimbit berGPS dan macam-macam fungsi canggih manggih, aku pula baru saja memiliki handset berkamera 3.2 megapixel.

Sungguh lambat aku mengejar arus modenisasi kan?

Aku bukan suka gadget-gadget canggih yang kauorang semua ada. Ipod,nanopod atau benda-yang-ada-Bluetooth punya. Aku sebenarnya minimalis sahaja. Tapi terdetik juga dalam hati aku bahawa aku perlu ada juga telefon berfungsi kamera supaya memudahkan aku yang suka mengambil gambar(pemandangan saja) untuk snap bila-bila masa.

Minimalislah sangat.Huh

Saturday, November 22, 2008

' Sila Tunggu Tren Anda Mengikut Garisan Berwarna'



Jika anda pernah berkunjung ke KL Sentral terutama yang baru-baru pergi ini,pastinya anda akan perasan wujudnya garisan yang ada macam-macam warna di atas lantai menghala ke tren.

Hari tu, aku tukar tren kat situ. Dah 2 kali aku perasan cuma baru kali ni dapat aku luahkan dalam blog ni. Kewujudan garisan yang ada warna kuning, biru dan hijau tu sebenarnya adalah untuk menandakan tempat di mana anda perlu beratur sebelum masuk ke tren. KTM memperkenalkan sistem garisan ini untuk orang ramai beratur menunggu tren agar tak sesak bila nak naik tren. Konon.

Masalahnya di sini, garisan inilah! Sebab garisan ini telah menjadi pencetus kesesakan di platform-platform. Cuba anda bayangkan, ada pengumuman yang memberitahu bahawa ada tren yang akan sampai dalam masa 15 minit lagi. Ia juga memberitahu bahawa anda perlu beratur di garisan berwarna hijau. Lalu, berpusu-pusulah makhluk-makhluk yang ingin mengejar tren beratur dengan harapan dapat duduk di dalam tren kemudiannya. Walhal ada 15 minit lagi. Platform tu sudahlah tak berapa nak lebar dan anda sendiri bayangkan kalau terpaksa beratur sampai dah ke platform yang di sebelah. Pastinya annoying bukan?

Masalah bukan di situ sahaja. Orang ramai yang beratur ni tadi bukan sahaja mengganggu laluan orang lain dengan melintang kat tengah tu tapi membuat masalah pada orang yang tengah duduk dan hendak duduk kat bangku yang disediakan. Penglihatan dah jadi terhalang. Tak dapat nak tengok mana-mana melainkan melihat punggung-punggung orang yang beratur tadi. Rasionalkah?

Ada satu kes lagi yang aku perhati tentang sistem baru KTM yang mengarut ini ialah apabila makcik-makcik atau orang yang dah berusia nak menaiki tren. Mereka ni manalah mampu tercangak berdiri menunggu tren selama 15 minit jadi mereka pun duduklah di bangku disediakan itu. Setelah 15 minit tren dah sampai, barisan yang tadi ramai beratur tu pun menerjahlah masuk ke dalam tren ibarat esoknya dah tiada lagi. Orang-orang berumur ni tadi terkial-kiallah nak masuk tren tapi apakan daya bila tren dah pun penuh. Maka mereka ni pun terpaksalah menunggu tren yang seterusnya pula. Akibatnya sama juga. Bila ada pengumuman tren dah nak sampai, berpusu-pusu orang beratur di garisan yang dinyatakan.

Kesimpulannya, sistem beratur yang diperkenalkan KTM ini adalah tidak munasabah langsung kerana ia ibarat melangkah ke belakang. Aku list balik:

1: Barisan yang dibuat menyukarkan laluan pengguna lain.
2: Orang yang tidak beratur contohnya orang yang berusia dan kurang upaya sering terlepas tren sebab dah penuh.
3: Hilangnya peranan bangku yang disediakan kecuali kepada mereka yang mahu dan tahu menggunakannya contohnya aku.Huhu.

Sungguh tidak efisien dan rasionalnya tindakan mereka yang memperkenalkan sistem ini. Pastinya sesiapa yang sedang mencari kerja, bolehlah memohon di KTM ye.

Sunday, November 16, 2008

Penamat

Hari Sabtu aku semalam dimulakan dengan begitu nervous. Kerana petang itu aku menghadapi paper terakhir aku untuk semester ini. Lepas sahaja solat subuh, aku duduk mentelaah di meja segala rumus yang ada untuk exam petang nanti.

Jam berdetik pukul 8 pagi. Aku dah mula mengantuk. Mata dah mula nak tutup. Aku segera mendapatkan tilam aku untuk menyambung tidur aku yang tak cukup semalam. Belajar bagai nak gila sampai 4 pagi sebelumnya mana boleh tahan. Itu dah melampaui batas kemampuan manusia namanya. Jadi aku lelapkan mata agar aku tak terlelap terus dalam dewan peperiksaan nanti.

Bangkit-bangkit sudah pukul 9.30 pagi. Capai tuala dan terus pergi mandi biar segar sikit. Selesai, aku terus sambung menelaah. Cari balik rumus-rumus dan nota-nota kecil yang aku buat.

Kawan datang tanya soalan. Sambung balik. Kawan datang kacau. Sambung balik. Kawan datang pasang lagu kuat-kuat di komputer dalam bilik. Cuba fokus. Susahnya. Cuba tulis balik rumus-rumus. Ok. Cukuplah.

Aku pun pergilah ke dewan peperiksaan untuk last paper aku. Aku skiplah di sini. Cuma aku bengang apabila dalam barisan aku tu, pengawas tu boleh terlepas mengutip kertas jawapan aku. Ingat aku ni halimunan ke? Jenuh jugalah aku mengangkat tangan meminta kertas jawapan aku dikutip agar CGPA aku boleh dikeluarkan. Tak nampak pulak. Nasib ada pengawas lain lalu sebelah. Pheww. Tamat sudah.

Belum tamat untuk hari ini. Tamat periksa aku teman kawan pergi Plaza Alam Sentral. Nak beli game katanya. Ini mesti kes lepas geramlah ni. Nak main game sampai lebam. Belilah game Call of Duty: World At War baru. Boleh tumpang sekaki nanti.

Lepas Maghrib, kawan-kawan ajak pergi McD dekat dengan rumah. Aku pun pergi. Dapatlah melepas rindu pada McD. Haha.

Balik buat pulak assignment untuk supplementary. Tekanan tak boleh buat. Tup-tup dah pukul 11 malam. Bukak streaming bola kat internet. Arsenal lawan Aston Villa. Main macam haram. Sudahnya kalah 2-0.

Ketidakkonsistenan Arsenal buat aku meluat pada Arsene Wenger. Habis game, tengok Smallville musim ke 8 episod baru, lepas tu terus tidur! Penamat yang tidak sempurna untuk hari Sabtu yang tension.

Monday, November 10, 2008

Undang-undang di Tangan Sendiri



http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Nasional/20081110011128/Article/index_html

Apakah yang berlegar di benak fikiran anda apabila melihatkan berita hari ini apabila pemandu yang membuat kacau dan melakukan aksi drift dibelasah orang ramai. Yang kena belasah termasuklah penumpangnya sekali walhal bukan mereka di tempat pemandu. Wanita pula itu.

Masyarakat perlu berubah supaya tidak mengambil jalan sendiri apatah lagi ia melibatkan nyawa manusia. Bukan aku menyanjung pemandu yang membuat onar tersebut tetapi setiap tindakan haruslah berpaksikan kepada undang-undang melainkan jika undang-undang sedia ada tidak lagi boleh dipakai. Kita bukan lagi berada di zaman jahiliah dan seharusnya setiap tindakan harus berlandaskan iman jika beliau seorang muslim.

Sunday, November 02, 2008

Sebab Kenapa Lama Tiada Posting

Seperti semua sedia maklum semua universiti seluruh negara sedang menghadapi peperiksaan akhir. Jadi faham-faham sajalah kenapa blog ini berhabuk.

Jangan bimbang, sebaik saja tamat exam, aku akan posting sampai lebam. Haha
 
Google Analytics Alternative