Thursday, November 27, 2008

Hari Indah Yang Penat



Hari Selasa lepas adalah hari yang penat bagi aku kerana seharian suntuk aku terpaksa menghadiri konvokesyen diplomaku. Ya,terpaksa. Bukan aku tidak sukakan konvokesyen yang pertama dalam hidup aku tetapi hari itu sememangnya penat. Apapun segala penat lelah itu aku rasa berbaloi sepertimana berbaloinya aku belajar selama 3 tahun untuk menerima diploma aku di pentas. Berbaloi juga hari itu kerana majlis konvokesyen itu berlangsung dalam keadaan yang terbaik dan lancar. Bagi aku, majlis hari itu langsung tidak bosan dan setiap detik dalam dewan itu begitu bermakna. Ecehh, macam dalam iklan pulak.

Malam sebelum konvo itu aku sukar hendak lelapkan mata. Sama seperti yang aku alami apabila aku mendapat tawaran belajar di Pulau Pinang dahulu. Berdebar dan banyak yang aku fikirkan tapi apa yang aku fikirkan tidaklah aku ketahui. Agaknya sebab sebelum itu aku banyak sangat berposing dengan jubah konvo kut. Itu yang terbawa-bawa sampai susah nak tidur tu.

Pagi esoknya,hari konvokesyen aku bertolak pukul 9 ke Shah Alam dengan keluarga. Cuma ibubapa aku sahaja yang turut serta. Iyalah, hanya 2 tetamu sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam dewan. Kalau yang bawak satu bas tu,alamatnya duduk luar dewan tengok skrin besar sahajalah. Sedih juga apabila mendengarkan cerita opah aku yang kepingin pergi ke konvo aku tetapi ada urusan lain di kampung yang tak dapat dielakkan. Iyalah, aku adalah cucunya yang pertama memperolehi diploma. Mestilah rasa nak tengok bukan? Hehe.

Akibat terlalu awal aku sampai ke kampus, akhirnya aku melangutlah selama lebih 2 jam di situ menunggu bilanya pendaftaran graduan hendak dibuat. Nasib baiklah ada member yang datang awal sekali. Boleh jugak sembang-sembang. Dalam pukul 12.30 tengahari, semua sudah kena berbaris untuk berarak ke dalam dewan. Masing-masing diberi nombor.




Sebelum menanti kehadiran Pro Canselor dan Naib Canselor, graduan dan para ibubapa dihidangkan dengan tayangan video mengenai UiTM. Perjuangan Melayu dan bumiputeralah. Apalagi. Juga ada video khas dokumentari mengenai alumni UiTM iaitu Tan Sri Jins Shamsudin.

Setelah hadirnya VIP-VIP tadi, konvo pun bermula. Semasa sidang aku ini, ada 3 fakulti yang terlibat. Fakulti Pengurusan Hartanah(betul ke?), Fakulti Mekanikal dan Fakulti Seni Persembahan dan Artistik. Fakulti artistik ini diketuai oleh dekan Hatta Azad Khan. Budak-budak dari fakulti ini jugalah yang paling bising bersorak dalam dewan jika ada apa-apa yang disebut mengenai fakulti mereka. Yelah, budak Hatta Azad Khan kan.

Majlis anugerah diselangi dengan persembahan band dari fakulti artistik tadi. Graduan dari fakulti ini diberi ruang yang istimewa apabila semasa majlis penganugerahan graduan mereka, band inilah yang diberi peluang untuk bermain musik iringan ketika graduan fakulti lain termasuk fakulti aku hanya diiringi musik gamelan atau cak lempong. Betapa tidak adilnya dunia. Kawan aku yang mempunyai band juga panas hati dan telinga. Aku cuba sabarkannya dan menyuruhnya jangan membuat perkara bodoh. Manalah tahu.

Graduan dari fakulti artistik ini sekali lagi membuat 'havoc' dalam dewan apabila graduan-graduan dari cabang seni lakon membuat mimik muka dan aksi-aksi lelucon di atas pentas yang mengundang sorakan apabila keluar di layar skrin. Sebaik sahaja selesai majlis yang sungguh happening itu, yelah happening sebab pro canselor selalu bantai buat lawak semasa menyampaikan ucapan penutup. Aku melihat ramai graduan-graduan yang gembira bersama yang tersayang sambil menerima hadiah bunga atau patung. Tetapi aku, siapa yang nak bagi. Takpelah.

Aku cuba mencari kawan-kawan untuk merakam foto bersama supaya kita boleh melompat kegirangan tetapi hampa apabila masing-masing sibuk dengan hal mereka dan ada juga yang sudah pulang terus. Aku sedikit hampa kerana pada hari yang jarang dapat kita lalui selalu aku tidak berkesempatan melakukan perkara yang ingin aku lakukan.

Kita tutup saja buku lama dan buka buku yang baru. Perjalanan masih panjang. Masih banyak duri dan onak di ranjau yang perlu ditempuhi. Pengembaraan baru saja bermula.

No comments:

 
Google Analytics Alternative