Monday, December 29, 2008

To Be Continued...

Hari ini aku bakal pulang ke tempat pengajian untuk meneruskan baki pembelajaranku. Entah bagaimana bakal aku tempuhinya, aku sendiri tiada jawapan. Hanya satu perkataan perlu aku pahatkan. BERUSAHA!. Dan juga tawakal. Err,itu dah dua. Oklah, dua perkataan ini perlu aku sematkan erat-erat dalam sanubariku. Kenapa ayat aku hari ini sungguh menusuk jiwa? Maklumlah, meroyan akibat nak sambung pengajianlah ni.

Sepanjang pengajianku mungkin aku akan agak jarang menghabiskan masa berblogging. Mungkin ada entri sebulan sekali atau mungkin tiada langsung sepanjang 6 bulan. Itu yang kita tidak tahu. Jadi jangan sedih-sedih. Hidup mesti diteruskan. Sudahlah, aku semakin mengarut ni.

Apapun,belum terlambat untuk aku mengucapkan Selamat Menyambut Awal Muharram. Semoga diri aku dan kita semua berubah ke arah yang lebih baik dan diberkatiNya. Jumpa lagi.

Monday, December 22, 2008

Jalan Jalan Tengok Blog


Kredit Gambar-http://www.flickr.com/photos/widakso/1149674186/

Sepanjang pengrehatan(ayat Bahasa baru) aku dari alam pembelajaran dan segala macam kerenah kesibukan dunia, aku amat rajin menjengah blog-blog orang. Bukanlah amat rajin sebenarnya, tetapi lebih kepada 'stalk' blog orang. Macam blog-blog di senarai aku itu. Seperti suatu ketagihan apabila membacanya. Aku tidak tahu kenapa. Sudah seakan kemestian apabila aku membuka komputer setiap hari pasti aku akan menjengah blog mereka.

Ada macam-macam jenis blog yang aku jumpa, bukan sahaja di senarai aku itu. Ada juga yang lain seronok untuk dibaca. Ada blog yang nampak depresif sahaja. Dari entri-entri terdahulu sehinggalah sekarang. Tak pernahnya rasa gembira. Aku tidak tahulah kenapa. Mungkin juga tuan punya blog itu sering bermasalah tak kira peribadi ataupun keluarga. Tetapi kalau tulisan di blognya asyik tertekan sahaja,tidakkah engkau akan sama rasa tertekan apabila membacanya? Jadi, apabila banyak sangat rasa tertekan dalam setiap entri beliau, mungkin kita berasa mual dan muak membacanya. Aku tahu mereka berhak menulis isi hati mereka cuma aku risau kesan daripada penulisannya.

Sama juga ada blog yang marah orang itu,marah orang ini. Maksudnya, dia spesifik dalam menyampaikan kemarahannya pada orang itu cuma tidak tertulis nama orang yang dicacinya itu. Itu berbeza dengan kritikan. Kadang-kadang aku pun tidak faham mengapa mereka mesti menulis kemarahan atau depresif mereka di blog. Mereka mahu orang lain baca apabila mereka siarkan di laman awam iaitu blog namun apabila dikritik mereka menyatakan "ini blog aku,aku punya sukalah". Perlu diingatkan bahawa pembaca juga berhak ke atas penulisan setiap blogger. Maka blogger harus bertanggungjawab dalam penulisannya supaya blog tidak mudah dipergunakan sebagai medium melepaskan kemarahan atau mewujudkan rasa benci-membenci.

Maksud aku, kita bukanlah tidak boleh menulis mengenai seseorang yang kita tidak suka. Bukanlah kita tidak boleh mengenai kelemahan kerajaan atau apa. Cuma di sini,kita risau apabila jaringan sosial blogger dengan masyarakat akan terputus apabila kita asyik berblog. Tapi ada juga blog yang dapat mendekatkan kita dengan masyarakat. Itu aku tak nafi. Dan ada juga orang kata blogger ada sisi lain. Maknanya luar orangnya lain,dalam blog dia lain. Itu aku tak tahulah sebab aku rasa aku begitu juga kerana realitinya aku adalah pendiam.Haih.


Apapun masa untuk aku menulis akan kembali menjadi terhad sebaik saja aku mula menyambung pengajian minggu depan. Mungkin sempat curi-curi posting menggunakan komputer rakan sebab aku mana mampu ada komputer hatta laptop sekalipun. Maka,perlunya aku belajar seikhlas mungkin supaya dapat aku membeli barang ini.

Bercakap mengenai ikhlas, biarlah kita melakukan kerja seikhlas mungkin. Kalau kita ungkit balik apa yang kita buat, mana pahalanya di situ? Kadangkala, aku pernah berdepan situasi begini. Contohnya, mahu bersihkan rumah. Ini contohlah. Aku dah tentu jarang nak bersihkan rumah sewa tapi sebolehnya aku jagalah supaya tidak kotor. Alih-alh datang pula orang maki kau, " Kau ni malas betul nak sapu lantai ni. Cubalah buat kerja sikit. Ini tak, asyik aku aje yang nak bersihkan."

Itu yang aku cakap tadi. Aku tak kisahlah kalau dia nak maki aku pemalas ke apa tapi kalau dah ungkit kerja yang dia buat, baik tak payah buat kan. Demi menjaga hubungan silaturrahim terpaksalah aku berdiam diri dan buat seadanya. Aku cerita bukan apa, sebab benda ini dah terjadi banyak kali pada aku. Walaupun aku tidak serajin mana atau orang kadangkala terlepas pandang kerajinan aku(hehe), aku tidak mahu ungkit apa yang aku dah sumbangkan.

Jadi kesimpulan aku di sini, janganlah kita mengungkit apa yang sudah kita lakukan semata-mata orang itu tidak mengikut cara kita. Apa guna kau menyumbang sesuatu untuk kau ungkitkan balik malah ia akan hanya buat orang menyampah dengan tindakan kau kerana ia seumpama mahukan balasan dan pujian orang sekeliling.

P/S- Tengok, aku sudah menjadikan blog ini melepaskan kemarahan. Cakap tak serupa bikinlah aku ini.Takpe,kali ini dimaafkan,cuma berpesan-pesan. Haha.

Thursday, December 18, 2008

Kesibukan Itu Seronok



Entah apa yang aku rasa sekarang ini. Aku terasa bagai 'kehilangan'. Tapi aku tidak tahu apa yang aku hilangkan itu. Semuanya bercampur-baur. Aku harus akui cuti semester aku begitu kosong. Terasa kosong amat. Tidak terisi dengan sesuatu yang aku suka ataupun sesuatu yang berfaedah.

Tempoh selama hampir sebulan lebih ini bagai tidak bermakna apa-apa. Hanya ber'kiblat'kan komputer ataupun Playstation 2 saja. Jika tiada 2 benda ini selama cuti ini, aku tidak tahu apa yang akan terjadi pada aku. Mungkin aku sudah berada di Hospital Bahagia.

Aku lebih rela habiskan masa dengan menghadiri kuliah. Membonceng ke kampus setiap hari. Jika hari hujan, maka basahlah aku dan rakanku. Jika hari terik, maka merungutlah kami kepanasan. Jika hari baik , maka bernyanyilah aku di atas motor. Tambah-tambah lagi sewaktu perjalanan pulang. Entah kenapa. Bagai terasa gembira setelah segala beban hari itu terlepas.



Eh, kawan aku kata, aku nyanyi buatkan dia bersemangat bila bawa motor. Mana tidaknya, suara aku dekat sahaja dengan corong telinganya. Mungkin sebab itulah orang cipta radio dalam kereta. Maka, untuk motor, inilah sahaja 'radio' yang ada. Lalu, aku merasakan menunggang motor itu sesuatu yang sungguh menarik dan indah. Yang hanya dapat dirasai oleh mereka yang bergelar penunggang dan pembonceng.

Aku rindu suasana di kampus. Melihat gelagat rakan dan orang lain. Ada yang fokus. Ada yang bersembang sementelah pensyarah bersyarah di depan. Aku perhatikan saja. Kadangkala aku juga lari fokus dek asyik memerhati orang. Bukan kadangkala, aku rasa selalu. Tatkala musim peperiksaan akhir hampir menjelang, barulah gila-gila belajar. Itulah indahnya bergelar pelajar. Tengok wayang pun diskaun kan?

Walaupun seharian di kampus memang penat tetapi bagi aku itulah keseronokannya. Walaupun kadangkala aku merungut dan tertekan akibat banyak tugasan dan kerja yang perlu disiapkan, aku bersyukur. Aku bersyukur kerana aku sibuk. Sekurang-kurangnya kesibukan itulah yang membahagiakan kita. Melengkapi kita. Biarpun waktu itu, aku mengeluh dan menyumpah-nyumpah, tapi di kemudian hari aku harus akui itulah yang membuatkan kita menjadi manusia.

Jika tidak, aku hanya akan begini.
Kebosanan begini.
Menulis di blog saat ini.
Meluahkan apa yang terbuku.

"Hargailah apa yang ada"

Jadi, biarlah aku hargai baki cuti yang cuma tinggal 2 minggu saja lagi ini. Mengisinya dengan cara sendiri sebelum aku dibalut kesibukan di kampus semula.

Biarkan aku lena tidur sehingga jam 12 tengah hari nanti ya.

..................

Tuesday, December 16, 2008

Hujung Minggu Yang Lalu













Semasa berjalan-jalan di Jalan Masjid India, aku menyaksikan lautan manusia yang menerjah masuk ke ibukota dek gara-gara jualan hebat akhir tahun. Himpit sana. Himpit sini. Rimas dibuatnya. Padan muka siapa suruh pergi kan.

Bercerita tentang jualan murah ini(atau sales perkataan glamer), orang Malaysia memang suka. Tapi aku tengok harga tidaklah jauh beza berbanding dengan harga normal. Maksud aku sebelum adanya sales akhir tahun ini, harganya hampir sama setelah didiskaun bagai. Jadi, siapa kata jualan akhir tahun ini murah. Takde bezanya. Kalau adapun sikit ya amat.

Oh ya, kamu patut tonton The Day The Earth Stood Still. Sungguh menarik dan bermesej. Makhluk asing sudah memberikan kita peluang kedua. Jadi, ayuh hijaukan bumi.

Monday, December 15, 2008

Mari Kita Tabik Kepada Wartawan Ini

Sesuatu yang diperlukan bagi menunjukkan kezaliman seseoang itu.

Hail To This Man!!



Dan semoga beliau dibebaskan atas nama demokrasi dan keadilan!

Saturday, December 13, 2008

Bagaimana Rupa Negara Dalam 10 atau 20 Tahun Akan Datang?

Bahagian 1 - Filem Melayu yang tak berapa Melayu dah.

Jika kita lihat pada Aidilfitri lepas, stesen televisyen semuanya berlumba mahu menayangkan pelbagai filem-filem masakini. Akibatnya Aidilfitri dijadikan tempat lambakan-lambakan filem tidak kiralah samada ia menepati konsep Hari Raya atau sebaliknya.

Bukan itu yang saya mahu sentuh sebenarnya. Tapi saya berkesempatan menonton sebuah filem Melayu yang menggunakan judul Inggeris baru-baru ini. Apa yang saya terkejut ialah adegan bercium melibatkan dua remaja Melayu. Memanglah ia tidak dilakukan betul-betul tetapi apa yang saya takut ialah kesannya kepada masyarakat. Bagi mereka yang boleh menilai dengan akal mungkin boleh terima tetapi bagaimana kesannya nanti kepada yang masih kecil kerana saya pasti filem itu digemari bukan sahaja remaja tetapi juga kanak-kanak. Apakah yang cuba ditonjolkan pengarahnya? Mahu untung? Lupakan sajalah jadi pengarah jika tiada tanggungjawab sosial.

Apa yang saya lihat filem Melayu sekarang kurang berisi dan tidak memberi manfaat kepada jiwa dan akal kita. Segelintirnyalah. Baiklah, cuba kita bandingkan dengan Barat kerana merekalah yang memberi pengaruh besar kepada kita. Barat mungkin mempunyai filem hiburan ringan tetapi diseimbangkan dengan filem-filem yang mendidik. Sesetengah filem itu mungkin tidak sampai ke Malaysia kerana pengedar tidak berani memasarkannya. Contoh lain di Indonesia. Walaupun kebanyakan filem mereka hiburan semata tetapi ia diseimbangkan dengan filem kerohanian.

Jika kita lihat dalam negara, apa yang ada hanyalah hiburan kosong dan komedi basi mengarut. Alasan penerbit jika ditanya mengenai filem kerohanian, filem itu akan gagal di pawagam. Mereka hanya fikirkan untung tanpa memikirkan tanggungjawab sosial yang bagi saya amatlah penting dan diperlukan sekarang ini. Minda segelintir penonton Melayu itu sendiri juga tidak mahu berubah apabila mereka mudah menghadam cerita hiburan ringan berbanding cerita berat. Para penerbit filem juga harus memperbaiki teknik penggambaran mereka supaya lebih cantik apabila dipaparkan di skrin. Sinematografi filem negara masih lemah padahal negara jiran serantau jauh lebih baik. Apa yang saya lihat, pengarah Kabir Bhatia yang berkebolehan menyuntik elemen sinematografi dengan kemas dan indah.

Bahagian Kedua - Hedonisme

Saya berpendapat budaya hedonisme dalam negara sudah menjejaki tahap bahaya. Hedonisme adalah budaya sukakan hiburan melampau. Apa yang saya takut ialah kesannya kepada generasi akan datang. Jika sewaktu kecil pun ada ibubapa yang menggalakkan anaknya menyertai pertandingan nyanyian atau rancangan tv, pastinya nanti akan memberi kesan besar kepada tumbesaran otak anak-anak mereka. Lalu jangan salahkan jika mereka membesar tidak tentu hala kerana pokok pangkalnya ibubapa berperanan besar dalam mendidik.

Saya pasti jika anda mempunyai stesen televisyen satelit anda dapat menonton sebuah rancangan kanak-kanak yang dikendalikan oleh pengacara nombor satu negara. Apa yang difahamkan, rancangan itu sangat diminati ramai dan mempunyai pengikut yang ramai di kalangan kanak-kanak. Buktinya ketika Aidiladha lalu, berebut sepupu saya yang ratanya di bawah umur 7 tahun membuka saluran itu. Semuanya mahu menonton rancangan itu. Saya akui dahulu saya juga menyukai rancangan tersebut tetapi apabila melihatkan pengisiannya sudah lari dan melalut, saya angkat kaki. Saya 'terlihat' rancangan tersebut kembali baru-baru ini memaparkan sekumpulan kanak-kanak bermain muzik dengan penyanyinya menyarungkan rantai di leher. Apakah yang terdapat di dalam benak fikiran penerbit tersebut? Tidakkah mereka memantau dahulu perkara ini?

Saya tegaskan sekali lagi, apakah kesannya nanti kepada anak-anak kecil yang bilangannya berjuta itu apabila melihatnya? Ada di kalangan mereka pastinya berhajat meniru rakan sebaya mereka dengan menari dan bergelek di atas pentas dengan pakaian tidak senonoh. Inilah yang saya katakan, pentingnya tanggungjawab sosial. Penerbit tersebut seharusnya memikirkan kesan tontonan kepada kanak-kanak kerana saya bimbang unsur hedonisme mudah menyerap masuk melalui pemikiran sedari umur begini. Jika ia tidak dikawal sebaiknya, bersedialah melihat kemusnahan generasi pelapis negara masa akan datang.

"Bagus apa rancangan itu. Mendidik kanak-kanak"

Saya pasti sebilangan besar ibubapa mempertahankan rancangan tersebut dan sedaya upaya mengucapkan ayat di atas. Memanglah jika kita lihat dari sudut lainnya, rancangan itu mampu medidik kanak-kanak unsur yakin diri, kemampuan bercakap di hadapan orang ramai dan sebagainya. Tetapi sedarkah kita, bahawa banyak kesan buruk sebenarnya dalam rancangan itu. Apabila setiap hari kanak-kanak hanya asyik menonton rancangan tersebut tambahan pula cuti sekolah sekarang, tidakkah ia melalaikan? Yang paling penting, bagaimana pengaruhnya kepada jiwa kudus kanak-kanak ini? Pada umur beginilah mereka berhadapan dengan pelbagai pengaruh samada baik mahupun buruk. Pastinya pengaruh buruk lebih terkesan di jiwa mereka contohnya pemakaian rantai leher dan keasyikan nyanyian rakan sebaya mereka. Mereka masih belum mampu menilai yang mana betul dan mana salah lantas semuanya terpulang pada ibubapa sendiri untuk bertindak.

Alah, banyak lagi saluran lain. Apa nak kecoh!

Ya, jika tidak kecoh sekarang, kecohlah nanti apabila kedengaran anak anda menjadi rempit. Ditangkap berkhalwat. Rasuah sana-sini.
Seandainya ada alternatif yang lebih menghiburkan masakan mereka mahu menonton rancangan Mari Mengaji, Mari Bertaranum dan lain-lain yang lebih ke arah kerohanian. Anda boleh mengatakan yang ia perlu diseimbangkan dengan hiburan. Takkan asyik nak serius saja. Tetapi, pada umur begini teramatlah bahaya kerana anda sudah menerapkan unsur hedonisme pada mereka ketika fikiran masih mentah. Inilah bahayanya. Jadi, sebolehnya, jangan dibukakan langsung pintu ke arah hedonisme dalam umur sebegini.

Saya tidak mahu bercerita tentang remaja-remaja sekarang yang sudah ke arah hedonisme kerana sepatutnya mereka sudah pandai menilai tetapi yang penting adalah ketika mereka masih kecil. Pada masa inilah, ibubapa menerapkan nilai kerohanian dalam diri anak-anak kecil mereka.

Bukannya membiarkan anak-anak saban hari asyik menonton rancangan tersebut.
Bukannya menunaikan hasrat anak-anak yang mahu menghadiri ujibakat rancangan tersebut atau pertandingan nyanyian realiti.
Bukannya berlumba-lumba berbangga anak mereka masuk tv menyanyi.

Berbanggalah apabila anak anda melakukan 'sesuatu' untuk memajukan negara.

Sewajarnya, rancangan tersebut boleh dikekalkan tetapi diolah semula pengisiannya agar beteraskan Islam. Didik mereka mengenai Islam. Berbicara mengenai topik Islam. Sebagai contoh yang paling ringkas seperti solat, wuduk, puasa ataupun kisah sirah nabi-nabi terdahulu. Itu yang paling baik. Buangkan jauh-jauh unsur hedonisme di dalamnya.

Wallahualam.

Thursday, December 11, 2008

Shirt On, F*ck Off



Alahai, Sathia berkata target beliau adalah AFF Suzuki Cup ketika muncul naib juara Pestabola Merdeka lalu. Tetapi, apa yang terjadi sekarang? Gagal melepasi peringkat kumpulan pula. Kali terakhir gagal layak ke pusingan seterusnya adalah semasa Hatem Soussi jurulatih. Tahun bila? Korang carilah sendiri.

Maka, sia-sia sahaja pelaburan Nike merekabentuk jersi baru skuad negara dengan tagline 'Shirt On Fear Off' tetapi gagal layak ke semi langsung. Harapan nak ke final konon.

Apa yang tidak kenanya?

Thailand nyata lebih tenang dalam menangani asakan kelam-kabut Malaysia semalam. Harapan Sathia supaya mencari gol awal gagal apabila barisan serangan dan tengah tidak berfungsi langsung terutamanya jentera tengah. Apa kejadahnya tidak memasukkan Hardi Jaafar di awal permainan? Tiada build-up play yang baik daripada Malaysia apabila mereka hanya melambungkan bola dari bawah ke atas yang nyata mudah dipatahkan lawan.

Thailand tidak hanya bergantung kepada counter attack yang pantas tetapi build-up play mereka juga bagus dengan bola dihantar kemas dan pantas. Sesuatu yang perlu dipelajari pemain-pemain negara. Penjaga gol juga dua kali lima seperti Helmi apabila menepis gol pertama Thai ke dalam gawang sendiri. Ternyata jurulatih penjaga gol, Mazlan Wahid perlu ditukar. Beliau menerapkan unsur salah bolasepak moden dengan mengatakan penjaga gol moden lebih ke hadapan. Tetapi beliau terapkah bagaimana positioning dan respon dengan cepat?


Jika anda diberi peluang dan kuasa untuk mengubah wajah bolasepak negara, apakah yang ingin anda ubah?

Cakap memanglah senang tetapi jika diberi peluang, inilah yang akan aku ubah:

1. Menukar pucuk pimpinan FAM dari yang di atas hinggalah ke akar umbi. Pilih mereka yang betul-betul berkelayakan dan berpengetahuan luas dalam bolasepak seperti bekas-bekas pemain dahulu. Ini penting supaya perubahan baru ini dapat dirasai semua, bukan hanya jurulatih dan pemain silih berganti tetapi diharap idea baru dapat dicambah dengan baik.

2. Menghapuskan atau mengurangkan penglibatan ahli politik dalam badan induk dan juga dalam persatuan negeri. Memang kita perlukan sumber kewangan tetapi sumber ini boleh dijana tanpa penglibatan mereka memegang tampuk pimpinan persatuan. Ini demi menghapuskan mentaliti anggota yang hanya mahukan pulangan kewangan daripada memikirkan nasib bolasepak itu sendiri.

3. Memilih jurulatih asing dan ahli-ahli panel kejurulatihan semuanya diimport. Mereka tahu apa yang diperlukan dalam sesebuah skuad terutamanya yang berpengalaman luas. Pastikan mereka diberi sedikit masa untuk membentuk pasukan selewat-lewatnya setahun.

4. Memilih pemain bersandarkan prestasi semasa bukan dengan nama-nama besar. Membuat pemilihan besar-besaran dan berperingkat dengan tempoh masa yang panjang agar mereka dapat peluang menonjolkan diri. Skop pemilihan kemudiannya akan dikecilkan dengan menilai prestasi semasa latihan dan dalam liga. Pemilihan juga dibuat meluas ke setiap ceruk pasukan dengan mengambil kira pandangan jurulatih pasukan tersebut.

5. Apabila pemain-pemain sudah dipilih, terapkan taktik dan corak latihan asas permainan. Ini penting kerana dapat dilihat masih ada pemain yang gagal menguasai teknik-teknik asas permainan. Tidak perlu berlatih sampai ke luar negara.

6. Ubah taktikal permainan yang sudah sebati dari dahulu. Terapkan teknik dan taktik control ball dan jangan gunakan hantaran jauh dalam permainan. Pemain perlu dididik skil asas menguasai bola kerana kemahiran ini penting dalam taktik ini. Build-up play atau susun atur permainan perlu diterapkan secara serius. Lihat saja perlawanan dengan Thailand di mana gerakan permainan semuanya berterabur.

7. Ubah mentaliti dan sistem pemakanan juga perlu dijaga. Inilah yang diterapkan dalam sistem bolasepak antarabangsa kerana mereka perlu mendapatkan pemakanan yang berkhasiat demi mengekalkan stamina dan tahap kecergasan. Ia perlu ditangani dengan keras. Kita boleh dapatkan pakar sains sukan dalam pasukan negara untuk menjaga mutu kecergasan. Mentaliti perlu betul dan tepat yang patut ada pada pemain.

8. Dapatkan nasihat dan pandangan dari negara serantau. Tidak perlu jauh-jauh ke luar. Cukuplah hanya di rantau ini. Thailand, Singapura, Vietnam semuanya sudah jauh meninggalkan kita. Jangan ego. Observe cara mereka handle liga mereka dan pasukan kebangsaan mereka. Mana tahu, kita boleh belajar sesuatu dari sistem mereka.

Itu sajalah walaupun sebenarnya banyak lagi. Aku hanya mahu melihat pasukan negara mampu bersaing di antarabangsa.

Wednesday, December 10, 2008

Cara Hidup Kelas Pertama, Mentaliti Kelas Ketiga

Inilah yang dikatakan manusia yang tidak tahan diuji. Hari ini suratkhabar menyatakan yang penduduk Bukit Antarabangsa mahu menyaman pihak berkuasa tempatan atas apa yang telah berlaku kepada diri dan tempat tinggal mereka yang habis ranap.

Apa semua ini? Sebelum ini sana sini orang di tempat lain yang tidaklah setaraf dengan penduduk Bukit Antarabangsa yang mewah-mewah belaka itu ghairah hendak menyaman pihak berkuasa. Tiba pula giliran mereka di bukit itu ditimpa musibah, mulalah kelam-kabut hendak menyaman sana sini. Bagi mereka, duitlah segalanya. Dengan menyaman juga mereka dapatlah juga duit walaupun tidak sebanyak mana.

Salah seorang penduduk berkata," Bukan kami yang bina perumahan ini, bagaimana pihak berkuasa boleh meluluskan projek ini".

Alahai, kenapalah bengap sangat mamat ni. Kita diberi akal untuk memilih mana yang baik, mana yang elok. So, pilihan adalah di tangan kau brader. Kau yang memilih hidup di lereng bukit maka kau terimalah hakikat bahawa alam tak selamanya statik di situ. Aku masa kecil pun takut tengok rumah-rumah di lereng bukit apatah lagi nak duduk dalam itu.

Jelas, mentaliti segelintir penduduk mewah ini tidak boleh menerima hakikat yang hidup ini tidak selamanya di atas. Dan apabila mereka gagal memenuhi hakikat yang telah ditentukan maka mereka 'melolong' akibat ujian alam ini.

Aidil Adha Tanpa Korban

Disebabkan aku pulang ke kampung,maka tiadalah dapat mengorbankan lembu. Sebagai galang gantinya, beras pulutlah yang terpaksa dikorbankan untuk dibuat lemang. Happening jugakla.







Thursday, December 04, 2008

Aku Dan Sayur





Korang minat makan sayur? Kalau ditanya kat aku soalan yang serupa, jawapan aku ialah TIDAK. Aku pun hairan dalam usia yang sudah melebihi 20 tahun ini aku masih kurang makan sayur. Bukanlah tak pernah makan tapi memang aku cukup tak suka. Kalau dibawa ke restoran mana-mana, mak bapak aku bertanya. Begitu juga dengan kawan-kawanku yang lain. Namun sekarang mereka dah faham jika laukku tiada langsung bahan berasaskan sayur.

Aku pun tiada jawapan mengapa aku tidak sukakan cik sayur. Aku masih ingat lagi ketika di tadika, cikgu menyediakan sayur kacang panjang. Sayur yang paling aku anti. Sudahlah besar, keras pula tu. Oleh kerana cikgu memaksa aku makan ditambah pula ingin mengelakkan rasa malu di hadapan kawan-kawan, aku telankan juga. Selepas peristiwa itu, aku tak sihat beberapa hari. Bayangkanlah efek sayur ni kepada aku.

Sayur rasanya pahit. Aku hairan macamana korang boleh telan. Sayuran seperti lobak dan timun juga aku cuba elakkan melainkan jika dalam keadaan lapar ya amat. Pada masa itulah, korang berpeluang lihat aku makan sayur. Tapi jika aku dalam kondisi normal, minta maaflah wahai sayur-sayuran. Cuma sayur bayam saja yang aku berminat sedikit. Sedikitlah.



Orang kata makan sayur cepat besar dan boleh pandai. Aku rasa teori itu perlu dikaji semula kerana aku boleh membesar juga apa. Dan kalau nak pandai tak semestinya dengan bantuan sayur. Ya, mungkin ada vitamin-vitamin dalam sayur yang buat otak lebih aktif tapi bagi aku takdelah sangat. Aku pernah juga seorang kawan yang juga kurang minat makan sayur. Dia juga membesar secara sihat juga. Jadi, tidak adillah mengatakan sayur perlu dimakan untuk cepat besar atau membesar dengan sihat.

Aku tidak tahu sampai bila aku nak jadi begini. Maksud aku, tidak makan sayurlah. Mungkin sampai bila-bila? Tapi apa pula orang kata kerana aku letih mendengar soalan " Kenapa kau tak makan sayur beb? Kau cacat dowh!". Apapun senanglah bini aku nanti tidak perlu membeli sayuran untuk aku, cukuplah hanya untuk dirinya.

Monday, December 01, 2008

Ayat Mengguris Hati

Datuk Seri Shafie Apdal berkata penduduk di Sabah dan Sarawak bukannya bodoh untuk melihat kepincangan kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat di lima negeri terutama di Selangor yang tidak membawa pembangunan menyeluruh.

Beliau berkata, penduduk di Sabah dan Sarawak tidak boleh digula-gulakan dengan kata-kata manis PKR kerana rakyat di negeri itu hendak melihat pembangunan yang membawa manfaat kepada masyarakat keseluruhannya.



Apakah di 5 buah negeri yang lain penduduknya bodoh?
Apakah di 5 buah negeri yang lain penduduknya mudah digula-gulakan?

Mungkin beliau tertekan kerana terlepas 5 negeri.
 
Google Analytics Alternative