Saturday, December 13, 2008

Bagaimana Rupa Negara Dalam 10 atau 20 Tahun Akan Datang?

Bahagian 1 - Filem Melayu yang tak berapa Melayu dah.

Jika kita lihat pada Aidilfitri lepas, stesen televisyen semuanya berlumba mahu menayangkan pelbagai filem-filem masakini. Akibatnya Aidilfitri dijadikan tempat lambakan-lambakan filem tidak kiralah samada ia menepati konsep Hari Raya atau sebaliknya.

Bukan itu yang saya mahu sentuh sebenarnya. Tapi saya berkesempatan menonton sebuah filem Melayu yang menggunakan judul Inggeris baru-baru ini. Apa yang saya terkejut ialah adegan bercium melibatkan dua remaja Melayu. Memanglah ia tidak dilakukan betul-betul tetapi apa yang saya takut ialah kesannya kepada masyarakat. Bagi mereka yang boleh menilai dengan akal mungkin boleh terima tetapi bagaimana kesannya nanti kepada yang masih kecil kerana saya pasti filem itu digemari bukan sahaja remaja tetapi juga kanak-kanak. Apakah yang cuba ditonjolkan pengarahnya? Mahu untung? Lupakan sajalah jadi pengarah jika tiada tanggungjawab sosial.

Apa yang saya lihat filem Melayu sekarang kurang berisi dan tidak memberi manfaat kepada jiwa dan akal kita. Segelintirnyalah. Baiklah, cuba kita bandingkan dengan Barat kerana merekalah yang memberi pengaruh besar kepada kita. Barat mungkin mempunyai filem hiburan ringan tetapi diseimbangkan dengan filem-filem yang mendidik. Sesetengah filem itu mungkin tidak sampai ke Malaysia kerana pengedar tidak berani memasarkannya. Contoh lain di Indonesia. Walaupun kebanyakan filem mereka hiburan semata tetapi ia diseimbangkan dengan filem kerohanian.

Jika kita lihat dalam negara, apa yang ada hanyalah hiburan kosong dan komedi basi mengarut. Alasan penerbit jika ditanya mengenai filem kerohanian, filem itu akan gagal di pawagam. Mereka hanya fikirkan untung tanpa memikirkan tanggungjawab sosial yang bagi saya amatlah penting dan diperlukan sekarang ini. Minda segelintir penonton Melayu itu sendiri juga tidak mahu berubah apabila mereka mudah menghadam cerita hiburan ringan berbanding cerita berat. Para penerbit filem juga harus memperbaiki teknik penggambaran mereka supaya lebih cantik apabila dipaparkan di skrin. Sinematografi filem negara masih lemah padahal negara jiran serantau jauh lebih baik. Apa yang saya lihat, pengarah Kabir Bhatia yang berkebolehan menyuntik elemen sinematografi dengan kemas dan indah.

Bahagian Kedua - Hedonisme

Saya berpendapat budaya hedonisme dalam negara sudah menjejaki tahap bahaya. Hedonisme adalah budaya sukakan hiburan melampau. Apa yang saya takut ialah kesannya kepada generasi akan datang. Jika sewaktu kecil pun ada ibubapa yang menggalakkan anaknya menyertai pertandingan nyanyian atau rancangan tv, pastinya nanti akan memberi kesan besar kepada tumbesaran otak anak-anak mereka. Lalu jangan salahkan jika mereka membesar tidak tentu hala kerana pokok pangkalnya ibubapa berperanan besar dalam mendidik.

Saya pasti jika anda mempunyai stesen televisyen satelit anda dapat menonton sebuah rancangan kanak-kanak yang dikendalikan oleh pengacara nombor satu negara. Apa yang difahamkan, rancangan itu sangat diminati ramai dan mempunyai pengikut yang ramai di kalangan kanak-kanak. Buktinya ketika Aidiladha lalu, berebut sepupu saya yang ratanya di bawah umur 7 tahun membuka saluran itu. Semuanya mahu menonton rancangan itu. Saya akui dahulu saya juga menyukai rancangan tersebut tetapi apabila melihatkan pengisiannya sudah lari dan melalut, saya angkat kaki. Saya 'terlihat' rancangan tersebut kembali baru-baru ini memaparkan sekumpulan kanak-kanak bermain muzik dengan penyanyinya menyarungkan rantai di leher. Apakah yang terdapat di dalam benak fikiran penerbit tersebut? Tidakkah mereka memantau dahulu perkara ini?

Saya tegaskan sekali lagi, apakah kesannya nanti kepada anak-anak kecil yang bilangannya berjuta itu apabila melihatnya? Ada di kalangan mereka pastinya berhajat meniru rakan sebaya mereka dengan menari dan bergelek di atas pentas dengan pakaian tidak senonoh. Inilah yang saya katakan, pentingnya tanggungjawab sosial. Penerbit tersebut seharusnya memikirkan kesan tontonan kepada kanak-kanak kerana saya bimbang unsur hedonisme mudah menyerap masuk melalui pemikiran sedari umur begini. Jika ia tidak dikawal sebaiknya, bersedialah melihat kemusnahan generasi pelapis negara masa akan datang.

"Bagus apa rancangan itu. Mendidik kanak-kanak"

Saya pasti sebilangan besar ibubapa mempertahankan rancangan tersebut dan sedaya upaya mengucapkan ayat di atas. Memanglah jika kita lihat dari sudut lainnya, rancangan itu mampu medidik kanak-kanak unsur yakin diri, kemampuan bercakap di hadapan orang ramai dan sebagainya. Tetapi sedarkah kita, bahawa banyak kesan buruk sebenarnya dalam rancangan itu. Apabila setiap hari kanak-kanak hanya asyik menonton rancangan tersebut tambahan pula cuti sekolah sekarang, tidakkah ia melalaikan? Yang paling penting, bagaimana pengaruhnya kepada jiwa kudus kanak-kanak ini? Pada umur beginilah mereka berhadapan dengan pelbagai pengaruh samada baik mahupun buruk. Pastinya pengaruh buruk lebih terkesan di jiwa mereka contohnya pemakaian rantai leher dan keasyikan nyanyian rakan sebaya mereka. Mereka masih belum mampu menilai yang mana betul dan mana salah lantas semuanya terpulang pada ibubapa sendiri untuk bertindak.

Alah, banyak lagi saluran lain. Apa nak kecoh!

Ya, jika tidak kecoh sekarang, kecohlah nanti apabila kedengaran anak anda menjadi rempit. Ditangkap berkhalwat. Rasuah sana-sini.
Seandainya ada alternatif yang lebih menghiburkan masakan mereka mahu menonton rancangan Mari Mengaji, Mari Bertaranum dan lain-lain yang lebih ke arah kerohanian. Anda boleh mengatakan yang ia perlu diseimbangkan dengan hiburan. Takkan asyik nak serius saja. Tetapi, pada umur begini teramatlah bahaya kerana anda sudah menerapkan unsur hedonisme pada mereka ketika fikiran masih mentah. Inilah bahayanya. Jadi, sebolehnya, jangan dibukakan langsung pintu ke arah hedonisme dalam umur sebegini.

Saya tidak mahu bercerita tentang remaja-remaja sekarang yang sudah ke arah hedonisme kerana sepatutnya mereka sudah pandai menilai tetapi yang penting adalah ketika mereka masih kecil. Pada masa inilah, ibubapa menerapkan nilai kerohanian dalam diri anak-anak kecil mereka.

Bukannya membiarkan anak-anak saban hari asyik menonton rancangan tersebut.
Bukannya menunaikan hasrat anak-anak yang mahu menghadiri ujibakat rancangan tersebut atau pertandingan nyanyian realiti.
Bukannya berlumba-lumba berbangga anak mereka masuk tv menyanyi.

Berbanggalah apabila anak anda melakukan 'sesuatu' untuk memajukan negara.

Sewajarnya, rancangan tersebut boleh dikekalkan tetapi diolah semula pengisiannya agar beteraskan Islam. Didik mereka mengenai Islam. Berbicara mengenai topik Islam. Sebagai contoh yang paling ringkas seperti solat, wuduk, puasa ataupun kisah sirah nabi-nabi terdahulu. Itu yang paling baik. Buangkan jauh-jauh unsur hedonisme di dalamnya.

Wallahualam.

No comments:

 
Google Analytics Alternative