Tuesday, May 29, 2012

Ketibaan Zaman Teknologi


Sebenarnya zaman 90-an adalah suatu zaman yang hebat. Jikalau ada timeline bagi zaman tersebut, nescaya kita semua akan terpegun dan kaku melihat betapa pesatnya teknologi yang berkembang dalam jangka masa tersebut. Namun begitu, walaupun ia sebuah zaman yang hebat, tidak dinafikan ia adalah antara zaman yang cukup sukar bagi sebuah keluarga untuk membesarkan anak-anak mereka.

Saya tidak menafikan bahawa pada masa kini juga adalah sukar bagi ibubapa untuk membesarkan anak mereka namun percayalah bahawa saya berani kerat kuku bahawa untuk ibubapa menangkis ketibaan era teknologi pada zaman 90-an adalah suatu cabaran besar daripada melihat anak yang berkurung di dalam bilik bermain facebook.

Insyaallah akan saya kupas nanti.

Friday, May 18, 2012

Bunch of Idiots


Kita harus bersyukur kerana di dalam negara kita ini, kita bukan sahaja dihidangkan dengan lawak berbayar daripada stesen televisyen satelit malah lebih daripada itu. Kita senantiasa mendapat hiburan percuma daripada golongan 'pelawak' ini yang tidak jemu-jemu menghiburkan kita. Syukur!!







See?

Saturday, May 12, 2012

Jurnal Kembara 8: Pulau Lagenda


Jurnal kembara kali ni meneruskan perjalanan jauh nun ke utara tanah air iaitu di Pulau Langkawi. Yes, sekian lama aku mengimpikan peluang menjejakkan kaki ke bumi lagenda Mahsuri ini, akhirnya peluang itu tiba dengan rezeki limpahan dari-Nya mengikuti rombongan syarikat. Perjalanan 3 hari 4 malam ini sesungguhnya amat berbaloi. Tanpa membuang masa lagi, mari kita berkembara bersama.

Perjalanan dimulakan dari Kuala Lumpur kira-kira pada pukul 10 malam dengan menaiki bas bersama ahli-ahli rombongan yang lain. Perjalanan ini sebenarnya diketuai oleh ejen yang dilantik oleh syarikat aku. Perjalanan ke Kuala Perlis mengambil masa lebih kurang 8 jam. Kami sampai ke jeti Kuala Perlis lebih kurang pada pukul 9 pagi kerana tayar bas pancit ketika berhenti rehat di Gurun, Kedah. Syukur kerana ia terjadi ketika bas sedang berhenti.

Sesampainya di Kuala Perlis, kami terpaksa menunggu lebih kurang 45 minit untuk menaiki feri ke Langkawi. Keadaan di jeti tersebut memang agak sesak kerana sebahagian kawasan di situ ditutup kerana pembinaan dijalankan. Dipendekkan cerita, kami sampai di jeti Kuah, Langkawi setelah sejam lebih menaiki feri. Keadaan di dalam feri bukan main sejuk lagi kerana aku berada betul-betul di hadapan air-cond.


Kuat sungguh bau diesel feri ni


Di Kuah, kami menaiki bas untuk ke Hotel Lanai di Pantai Tengah. Lebih kurang 20 minit perjalanan dari jeti tersebut, kami pun tiba di resort tiga bintang itu. Sesampai di resort itu, memang terasa penat sekali kerana melalui perjalanan melebihi 12 jam sebelumnya. Namun, sebelum badan menghempas katil, kami menikmati dulu makan tengahari yang disediakan pihak hotel khas buat rombongan kami.

Seterusnya, apalagi, aktiviti bersantai di dalam biliklah. Kerana kepenatan aku hampir-hampir saja terlepas sukaneka pada pukul 4.30 petang di pantai. Aku rasa sudah lama aku tidak bersukaneka dan ini satu pengalaman yang amat menarik ditambah pula dapat bersukaneka bersama bos-bos dan staf lain. Selesai sukaneka, aku mengambil masa untuk menikmati pemandangan matahari terbenam di Pantai Tengah ni. 


 Pemandangan dari Pantai Tengah. Macam Ombak Rindu pulak


Sebelah malamnya pula, kami mengadakan 'annual dinner' dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan. Malam itu memang tidur dengan nyenyak kerana kepenatan sehari suntuk. Dan esok aku akan memulakan pengembaraan yang lebih menarik.

Pagi Ahad dimulakan dengan lawatan ke kedai menjual dan membuat gamat yang dikenali dengan nama Saujana Enterprise. Apa yang menariknya, sebelum kami membeli gamat di situ, kami akan diberi penerangan terlebih dahulu dari tuan penjual (aku lupa nama dia). Borong sakan jugak aku di sini kerana ada orang pesan dari Kuala Lumpur. Kemudian, perjalanan ke kedai batik dari Jawa menjadi persinggahan kedua. Banyak betul kain batik makcik-makcik ni borong!


 Kedai gamat yang popular di Langkawi


Seterusnya, kami ke Kota Mahsuri bagi melihat makam Mahsuri dan tempat peninggalan beliau. Aku suka ke tempat sebegini kerana ia menjadi satu bentuk panduan bagaimana corak kehidupan orang dahulu yang memberi kesan ke atas pulau ini. Dikatakan Langkawi maju hari ini kerana sumpah 7 keturunan Mahsuri telah tamat pun ada benarnya walaupun agak tak logik. Terpulang untuk kita percaya atau tidak kerana jika tidak ada bukti purba, mana mungkin cerita begini akan keluar.


 Kota Mahsuri penuh lagenda


Kilim Geoforest Park menjadi destinasi kami seterusnya. Bagi aku, tempat inilah paling menarik sepanjang berada di Langkawi ni. Kami bermula dengan menaiki bot ke gua kelawar. Ini kali pertama aku merasai pengalaman memasuki gua yang penuh dengan kelawar. Di sini, kami tidak boleh bising kerana ia akan menganggu habitat mereka. Kawasan ini dipenuhi dengan hutan paya bakau dan terdapat spesis ketam unik di sini di mana ia mempunyai satu sepit. 


 Jeti Kilim Geoforest Park


 Hutan paya bakau



Perjalanan diteruskan ke kawasan yang menjadi tumpuan helang makan. Masyaallah, banyak sungguh helang berterbangan di kawasan ini mencari makan di dalam air. Walaupun enjin bot berbunyi kuat, namun helang-helang ini langsung tidak mempedulikan kehadiran kami dan buat macam biasa saja. Bagi mengisi perut yang lapar setelah melihat helang mengisi perut, kami ke Restoran Hole In The Wall yang berdekatan di situ. Menariknya, restoran ini terapung di atas air dan semua makanan disediakan segar. Persekitaran yang diapit oleh bukit-bukit berbatu di sekelilingnya menambahkan suasana alam malar hijau. 


Komuniti helang sibuk mencari makan tanpa mempedulikan kami


 Muka Red Indian di batuan bukit


Kami menamatkan kunjungan di Kilim Geoforest Park ini dengan melihat batuan yang telah hidup beribu tahun di sini dan ada sesetengahnya menyerupai muka 'red indian'. Indahnya ciptaan Allah. Selesai sudah kembara melihat alam ciptaanNya, kami terus ke pekan Baron. Tidak lengkap rasanya jika kunjungan ke Langkawi tidak diselitkan dengan membeli coklat dan pinggan mangkuk. Banyak betul aku borong coklat-coklat di sini, maklumlah semuanya murah-murah belaka. Ah, ini semua nafsu!


 Syurga coklat!


Lagi satu, kedai yang terkenal di sini adalah Haji Ismail Group yang cawangannya terletak merata-rata. Semuanya bebas cukai dan tak mustahillah kita akan rambang mata melihat set pinggan mangkuk dan coklat-coklat di sini. Nasihat aku, sediakanlah duit yang banyak sikit sebab bukan senang nak beli barang murah kat sini kalau jarang datang. 


 Empayar Haji Ismail Group bersepah di Langkawi


Kunjungan kami ditamatkan dengan melawati Langkawi Underwater World. Sepatutnya kami menaiki kereta kabel tetapi ia ditutup pulak. Apapun, di sini pun tidak kurang menarik juga cuma kami tidak dapat lama di sini atas faktor masa. Semuanya dipadatkan untuk satu hari ini dan kami harus menggunakan masa sebaik-baiknya. Jadi, aktiviti malam?


 Penguin comel di Underwater World



Underwater view


Kami ke Pantai Chenang kerana ia sama seperti pekan uptown di ibukota. Walaubagaimanapun, tidak banyak pilihan di sini kerana setiap barang cenderahati lebih kurang sama je di setiap kedai. Dalam tidak banyak pilihan itu pun, sempat juga aku sambar beberapa helai t-shirt bagi dijadikan hadiah untuk orang di rumah. Malam itu, sekali lagi tidur dengan nyenyak kerana kepenatan. Walaupun penat tapi memang seronok gila. 

Suasana 'uptown' di pantai Chenang


Keesokannya, kami bertolak pulang ke jeti Kuala Perlis. Dan sebelum pulang, kami singgah ke Padang Besar buat menikmati hiburan terakhir dan mengosongkan lagi dompet. Di sini, aku tidak berpeluang untuk membeli belah lama kerana keadaannya yang agak panas. Ia sekaligus mematikan selera aku. Apapun, aku sempat untuk menyambar sebuah beg kamera. Kami bertolak dari Padang Besar pada kira-kira pukul 5 petang. Sampai di KL pula lebih kurang 5 pagi Hari Pekerja. Lambat tu bukan apa. Ia disebabkan sebuah bas terbalik dan melintang di tengah lebuhraya. Sungguh sadis aku melihat keadaan mangsa-mangsa bas terbabit kerana ketika kami sampai, ia baru terjadi dan kebanyakkan mangsa sedang diselamatkan oleh orang sekeliling. Alhamdulillah kami semua selamat.


Pemandangan indah sawah padi Perlis


Banyak lagi tempat yang tak sempat diteroka lagi di Pulau Langkawi ni sebenarnya. Contohnya, Pulau Dayang Bunting, Gunung Mat Chincang dan banyak lagi. Kalau 3 hari pun belum tentu dapat rasa semua. Tapi, aku sangat menyarankan kepada korang kalau nak ke Langkawi, pastikan ke Kilim Geoforest Park yang sungguh indah. Insyaallah, jika ada peluang, akan aku kembali lagi di sini untuk menikmati keindahan alam yang diciptakanNya untuk kita teroka dan berfikir. Sekian untuk kali ini.


P/S - All pictures are copyright reserved. Any use without permission will consider as copyright infringement. Thank you.

Tuesday, May 08, 2012

Proton dan Kelangsungannya




 
Mungkin jika anda perasan dalam entri-entri aku sebelum ni kebanyakannya akan mengkritik kereta nasional kebanggaan negara, Proton. Kritikan itu bukan bermaksud aku membenci Proton dan suku-sakatnya tetapi lebih kepada mahu melihat Proton lebih serius menghasilkan kereta yang berkualiti untuk rakyat tempatan. 

Kali ni aku tertarik untuk mengulas satu video yang memaparkan satu bentuk penerangan 'kenapa kereta kita mahal?'. Pastinya video ni adalah salah satu usaha untuk memaklumkan orang ramai mengenai Pelan Transformasi Ekonomi yang dilaksanakan kerajaan. Di atas sikap neutral dan saksama, marilah kita sama-sama melihat apakah benar kereta kita mahal?

Ya, jawapannya memang kereta kita mahal jika nak dibandingkan dengan negara Eropah dan negara luar. Contohnya, kereta Toyota Camry di negara luar boleh dibeli dalam harga sekitar RM50k, manakala di Malaysia, harganya hampir sekali ganda daripada harga tersebut. Dalam hal ini, memang cukai yang dikenakan serta permit import AP daripada kerajaan tinggi. 

Adakah kita sedar bahawa harga yang jauh melambung ini ditambah pula kita disabitkan dengan pembayaran cukai tahunan yang tinggi dikenakan pemerintah ini bersebab? Mungkin ramai yang tahu bahawa ini adalah untuk melindungi Proton supaya Proton dapat terus menjual kereta dengan harga murah. Di sebalik harga kenderaan yang tinggi itu, rakyat diberi kemudahan subsidi bagi petrol (yang kononnya murah), insurans kenderaan dan cukai jalan yang rendah. 

Aku tidak nafikan bahawa di dalam kes ini, kita sebenarnya mahu melindungi Proton selaku teras industri automotif negara. Tanyalah kebanyakan jurutera Proton dan Perodua, yang mana mempunyai kelebihan dalam research & development. Ternyata jawapannya adalah Proton kerana Perodua sehingga hari ini masih belum mempunyai keutuhan di dalam segmen penyelidikan dan pembangunan rekabentuk. 

Jadi, persoalan paling besar di sini adalah apa akan jadi jika kereta Proton tidak berjaya dijual? Mampukah kita melihat satu kilang nasional yang melahirkan dan menjadi tapak buat jurutera-jurutera tempatan ini tutup? Atau ada di kalangan kita yang bersorak riang melihat kejatuhan Proton?

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Aku bukanlah mahu memperjuangkan nasib Proton di sini kerana tanggungjawab itu sebenarnya adalah di bahu mereka sendiri dan juga kerajaan. Di sebalik caci maki yang kita lemparkan kepada Proton sebenarnya adalah umpama satu tusukan kepada mereka yang terlibat di dalam penghasilan kereta nasional ini. Jika suatu hari nanti Proton ditutup, tidak mustahil industri automotif negara akan menuju zaman gelap kerana 'tapak' atau 'tiang' itu sudah runtuh. 

Proton pula perlu menyalahkan diri sendiri di atas kegagalan menghasilkan kereta yang berkualiti untuk rakyat tempatan. Siapa kata mereka tidak mampu? Mereka mampu menjual kereta dengan kuantiti yang banyak di negara luar. Tetapi 'anak di rumah'? Dibiarkan mati kelaparan hanya kerana mahu mengurangkan kos.

Sebagai penutup pidato aku malam ini, kita perlu memberi peluang kepada Proton. Jika tidak mahu beli sekalipun, janganlah kita memburuk-burukkannya kerana aku tidak mahu melihat rakan-rakan jurutera aku di sana menjadi penganggur. Dan aku harap Proton perlu membuat perubahan besar. Kurangkan lagi harga selagi boleh di samping terus menjaga kualiti setanding kereta luar.

Sunday, May 06, 2012

Kelebihan Konsultan


Antara kelebihan menjadi konsultan dalam sesebuah projek di mana tak ramai orang tahu adalah sentiasa murah rezeki. Masakan tidak, kerana apabila setiap kali berkunjung ke gerai makan bersama kontraktor, para kontraktorlah yang akan mengeluarkan duit belanja makan. Nak order mahal sekalipun takde hal.

Selain itu, konsultan tidak perlu bersusah payah membawa kenderaan sendiri ke tapak projek (site) kerana para kontraktor yang kebanyakkannya memiliki kereta pacuan 4 roda akan mempelawa konsultan bersama mereka. Ini satu kelebihan sebenarnya di mana konsultan tidak perlu membazirkan minyak mereka di samping dapat menjaga kereta mereka dari dilumuri kekotoran tanah.

Nampak, hebat bukan menjadi konsultan? Banyak lagi kelebihan lain sebenarnya tapi apakata aku kasi korang semua pikir sendiri, ok?
 
Google Analytics Alternative