Mungkin jika anda perasan dalam entri-entri aku sebelum ni kebanyakannya akan mengkritik kereta nasional kebanggaan negara, Proton. Kritikan itu bukan bermaksud aku membenci Proton dan suku-sakatnya tetapi lebih kepada mahu melihat Proton lebih serius menghasilkan kereta yang berkualiti untuk rakyat tempatan.
Kali ni aku tertarik untuk mengulas satu video yang memaparkan satu bentuk penerangan 'kenapa kereta kita mahal?'. Pastinya video ni adalah salah satu usaha untuk memaklumkan orang ramai mengenai Pelan Transformasi Ekonomi yang dilaksanakan kerajaan. Di atas sikap neutral dan saksama, marilah kita sama-sama melihat apakah benar kereta kita mahal?
Ya, jawapannya memang kereta kita mahal jika nak dibandingkan dengan negara Eropah dan negara luar. Contohnya, kereta Toyota Camry di negara luar boleh dibeli dalam harga sekitar RM50k, manakala di Malaysia, harganya hampir sekali ganda daripada harga tersebut. Dalam hal ini, memang cukai yang dikenakan serta permit import AP daripada kerajaan tinggi.
Adakah kita sedar bahawa harga yang jauh melambung ini ditambah pula kita disabitkan dengan pembayaran cukai tahunan yang tinggi dikenakan pemerintah ini bersebab? Mungkin ramai yang tahu bahawa ini adalah untuk melindungi Proton supaya Proton dapat terus menjual kereta dengan harga murah. Di sebalik harga kenderaan yang tinggi itu, rakyat diberi kemudahan subsidi bagi petrol (yang kononnya murah), insurans kenderaan dan cukai jalan yang rendah.
Aku tidak nafikan bahawa di dalam kes ini, kita sebenarnya mahu melindungi Proton selaku teras industri automotif negara. Tanyalah kebanyakan jurutera Proton dan Perodua, yang mana mempunyai kelebihan dalam research & development. Ternyata jawapannya adalah Proton kerana Perodua sehingga hari ini masih belum mempunyai keutuhan di dalam segmen penyelidikan dan pembangunan rekabentuk.
Jadi, persoalan paling besar di sini adalah apa akan jadi jika kereta Proton tidak berjaya dijual? Mampukah kita melihat satu kilang nasional yang melahirkan dan menjadi tapak buat jurutera-jurutera tempatan ini tutup? Atau ada di kalangan kita yang bersorak riang melihat kejatuhan Proton?
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Aku bukanlah mahu memperjuangkan nasib Proton di sini kerana tanggungjawab itu sebenarnya adalah di bahu mereka sendiri dan juga kerajaan. Di sebalik caci maki yang kita lemparkan kepada Proton sebenarnya adalah umpama satu tusukan kepada mereka yang terlibat di dalam penghasilan kereta nasional ini. Jika suatu hari nanti Proton ditutup, tidak mustahil industri automotif negara akan menuju zaman gelap kerana 'tapak' atau 'tiang' itu sudah runtuh.
Proton pula perlu menyalahkan diri sendiri di atas kegagalan menghasilkan kereta yang berkualiti untuk rakyat tempatan. Siapa kata mereka tidak mampu? Mereka mampu menjual kereta dengan kuantiti yang banyak di negara luar. Tetapi 'anak di rumah'? Dibiarkan mati kelaparan hanya kerana mahu mengurangkan kos.
Sebagai penutup pidato aku malam ini, kita perlu memberi peluang kepada Proton. Jika tidak mahu beli sekalipun, janganlah kita memburuk-burukkannya kerana aku tidak mahu melihat rakan-rakan jurutera aku di sana menjadi penganggur. Dan aku harap Proton perlu membuat perubahan besar. Kurangkan lagi harga selagi boleh di samping terus menjaga kualiti setanding kereta luar.
No comments:
Post a Comment