Monday, August 13, 2012

Melentur Buluh Biarlah Dari Bunganya


Sewaktu kecil dahulu, aku punyai banyak teman bermain. Dan jika sebut tentang bermain, sudah tentulah ada macam-macam jenis permainan. Bolasepak, main basikal, gasing, layang-layang, karom dan macam-macam lagilah. Yang penting, tiada Ipad atau PS3 untuk dimainkan ketika itu. Mungkin Steve Jobs dan Ken Kutaragi masih tercari-cari sirkit diagram dan formula komponen tersebut.




Dan dalam pada bermain itu, aku bergaul dengan ramai orang (baca: lelaki). Mereka terdiri daripada kawan-kawan yang sebaya dan berumur bawah daripada aku. Dari situ, aku mula memerhatikan gerak-geri orang. Aku suka memerhati orang dan membuat interpretasi yang aku simpan sendiri. Bukan sengaja tapi entah mengapa aku suka membuat interpretasi terhadap orang.

Aku bagi contoh. Teman sepermainan aku, Zamri (bukan nama sebenar) adalah budak yang nakal. Dalam umur 11 atau 12 tahun, kenakalannya begitu terserlah. Dari lagak gayanya, cara bercakapnya, cara pergaulannya, semua aku perhatikan. Aku dapat mengagak yang Zamri jika dah besar nanti, pasti akan jadi sampah masyarakat yang tidak berguna. Walaupun aku tidak begitu rapat dengannya, aku sering bermain bolasepak dengan dia. Dan start dia masuk ke sekolah menengah, dia mula hisap rokok.

Aku yakin yang dia bakal 'rosak' melihatkan perangainya yang semakin hari semakin teruk. Dan, kini setelah berbelas tahun, aku terserempak dia semalam dengan berambut panjang kusut masai. Lebih memalukan, dia selamba memakai boxer di halaman rumah bersembang dengan rakan-rakan rempit beliau. Ini sekaligus membenarkan telahan aku berbelas tahun yang lalu. Bukan aku mendoakan tetapi aku percaya yang hidupnya tidak tentu arah sekarang. Namun, jika dia bahagia dengan kehidupannya sekarang, aku tidak mampu berkata apa.

Contoh lain pula yang berbeza ialah Kamarul (bukan nama sebenar) mempunyai perwatakan yang sederhana dan boleh dikatakan baik ketika aku berkawan dengannya sewaktu kecil. Dia sering tersenyum dan peramah. Dia tidaklah macam budak lain yang tak tentu arah tu. Boleh nampaklah macamana teraturnya hidup dia hatta ketika bersukan sekalipun. Dan kini, beliau bergelar seorang jurutera sistem elektrikal. 

Jadi, tuan-tuan sekalian, barang diingat bahawa ibubapalah pencorak anak-anak. Mereka harus ambil tahu dengan siapa mereka berkawan, ke mana mereka pergi dan sentiasa berdamping dengan mereka ketika kecil. Jadikan mereka seperti kawan kita kerana apabila mereka sudah menginjak dewasa, masa takkan dapat diputarkan lagi. Jika sampah yang dididik, maka sampahlah hasilnya.



Notakaki - Gambar dirembat tanpa izin. Mohon ampun dan maaf.

No comments:

 
Google Analytics Alternative