Setelah usai mandi dan hendak bersiap pergi kerja macam biasa, aku dikejutkan dengan satu panggilan telefon. Nama yang terpapar di skrin menunjukkan pemanggil adalah rakan sekerja aku.
"Wei, kau ada pergi mana-mana hari ni?" soal rakan opisku.
"Takde kot, nape bang?" aku menyoal kembali.
"Ko tolong ganti aku pegi meeting kat Kemaman pukul 11 pagi ni, boleh? Anak aku demam la"
"Erkk...baiklah"
Biasalah kalau kerja di company kecik ni, kita harus bersedia dan on-call bila-bila masa. Nak tak nak, terpaksalah aku menggantikan opismate aku yang bagitau last minute tu. Tanpa melengahkan masa, pukul 8 pagi hari Rabu tersebut, aku bertolak ke Kemaman. Gila betul nak sampai sana dalam masa 3 jam.
Seperti diduga, aku terperangkap dalam kesesakan lalulintas yang sudah jadi 'makanan' orang Lembah Klang di Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua atau nama glamernya MRR2. Lebih kurang pukul 10 pagi barulah aku tiba di plaza tol Gombak.
Ini kerja gila, takkanlah dari Gombak ke Kemaman nak pakai 1 jam je? Jadi, aku ambil keputusan untuk bertenang dan buat macam biasa. Kalau sempat masuk meeting, baguslah. Kalau tidak sempat masuk meeting, pergi mampuslah. Jadi, dalam ketenangan aku tu, aku telah memandu dalam kelajuan yang tidak pernah aku bawa sebelum ini semata-mata untuk menjaga nama baik dan imej syarikat.
Tugas hadir ke mesyuarat ini bukan mudah. Antara faktor penting yang akan menjejaskan nama syarikat adalah punctuality atau ketepatan masa. Dalam ketidaksedaran aku mengenai peri pentingnya memandu mengikut had laju, aku telah di'tembak' dengan kamera polis. Sudahnya, aku ditahan ketika polis membuat roadblock di Lebuhraya Pantai Timur.
Agak janggal sebenarnya apabila polis mengadakan sekatan jalan tengah-tengah lebuhraya. Mungkin jika sistem brek atau mata tidak bagus boleh menyebabkan nyawa anggota polis tersebut boleh melayang. Maka, satu lagi drama bermula.
"Mintak lesen cik..," sapa polis itu setelah menahan kereta aku.
Dengan tenang, aku mengeluarkan lesen memandu dan aku hulurkan padanya.
"Cik bawak laju ni. Dekat 121 km sejam...," beritahu polis tersebut tanpa memandang ke arahku.
"Laju dekat mana ye?" aku terus tenang menyoal kembali.
"Dekat bawah jambatan tadi... Ni nak pergi mana?"
"Saya ada meeting kat Cherul cik. Tu yang laju tu."
"Oklah..Lain kali jangan buat lagi,"
Aku menarik nafas lega sambil mencium dompet. Ini bermakna aku selamat daripada mengeluarkan sebarang not kepada anggota polis tersebut. Aku ucapkan banyak-banyak terima kasih dan kemudian meneruskan pemanduan seterusnya pada kelajuan 110km/j sahaja. Di sini kita dapat lihat bahawa ketenangan kunci kejayaan. Dan jangan lupa tawakal kepada-Nya.
Akhirnya, aku selamat sampai di bilik mesyuarat lebih kurang pukul 12.50 tengahari. Nasibku baik kerana mereka tamat mesyuarat lebih kurang 1.15 tengahari. Dan, bila aku fikirkan kembali, aku memandu dari Gombak ke Kemaman dengan mengambil masa lebih kurang 2 jam 50 minit. Sesuatu yang tak pernah aku buat. Dan aku berharap takkan buat selepas ini. Aku tak sanggup tengok muka abang polis tu lagi.
2 comments:
kau lambat sejam lebih. konsultan lain tak hembur kau ke? kalo ak dah tak kasi kau masuk~
Aku bernasib baik mansur...nasib baik mereka baik...
Post a Comment