Pagi itu aku terbangun agak lambat. Sebenarnya hati masih ragu-ragu dan sangsi samada perlu ke aku hadir. Setelah fikir punya fikir, member pulak macam taknak pegi, aku rasa eloklah berehat di rumah. Namun, tiba-tiba aku mendapat satu panggilan telefon. Beliau bertanyakan adakah aku pergi ke Himpunan tersebut. Aku jawab, "tak tahu lagi". Dia terus menggalakkan aku dan menitipkan beberapa pesanan sebagai langkah berjaga-jaga.
Tiba-tiba, semangat aku menyala kembali. Aku terinspirasikan daripada kata-katanya. Dan bukan sekali dua beliau memberikan inspirasi. Masa nak ambil lesen motor dulu pun sama juga (Itu cerita lain). Apalagi, hampir jam 12 tengahari aku memulakan perjalanan seorang diri. Ya, seorang diri saja. Biasalah, hero kena sorang-sorang buat kerja.
Aku mengambil jalan di Shamelin dan melalui Taman Maluri. Sungguh pelik apabila jalanraya kelihatan lengang dan tak banyak kereta. Mungkin orang ramai kurang berminat keluar ke KL setelah mengetahui ada Himpunan di Stadium Merdeka. Aku sampai di depan Puduraya sekita jam 1 petang. Setelah melilau-lilau mencari parking motor, aku parking saja di depan Maybank berdekatan Kenanga Wholesale City. Ala, shopping complex tinggi tu.
Disebabkan hampir masuk Zuhur, aku pun bergegas ke surau tingkat 16 di kompleks Kenanga tu. Setelah selesai solat, aku pun bergerak ke kawasan Masjid Al-Bukhary. Ketika ini, orang ramai sudah bersesak-sesak dan pastinya kawasan masjid tersebut penuh dengan manusia yang ingin menunaikan kewajipan kepada Allah. Aku pun terus ke kawasan Stadium Merdeka. Lebih kurang pukul 2 lebih, orang dah mula membanjiri kawasan stadium. Ramai peniaga menjual barangan seperti makanan, t-shirt, cd Ustaz Azhar, kambing bakar dan macam-macam ibarat seperti pasar malam.
Nyata tanggapan aku meleset kerana aku sangkakan tidak ada ramai penjual berani membuka gerai. Polis pun tidak membuat kekacauan. Barangkali kerana Himpunan kali ini berlangsung di stadium yang menyebabkan ia mampu berlangsung dengan aman. Dan setelah sampai di pintu masuk stadium, kawasan teramatlah penuh dan sesak.
Ramai yang memanjat tembok dan bertenggek di atasnya bagi menyaksikan Himpunan kali ini. Manakala, kawasan padang pula dipenuhi ribuan manusia yang duduk bersila bagi mendengar amanat bakal PM. Ternyata, walaupun keadaan agak panas terik sekitar jam 3, mereka masih tidak berganjak walaupun ramai yang terpaksa berdiri. Dan di antara pemimpin yang memberi ucapan pada petang itu adalah Ambiga, Lim Guan Eng, Haji Hadi, Anwar dan lain-lain.
Sekitar jam 4.30 petang, Saifudin Nasution membaca deklarasi rakyat. Pada masa itu, ramai pengunjung mula pulang. Tanpa sempat menunggu doa daripada Tuan Guru Nik Aziz, aku terpaksa balik kerana aku mulai pening. Tak makan pagi agaknya. Jadi, dalam perjalanan mengambil motor, aku sempat membeli topeng Guy Fawkes.
Insyaallah, hari ini akan menjadi satu lipatan sejarah buat negara sebelum kedatangan PRU13. Semoga aku mampu memberitahu generasi akan datang bahawa aku pernah berdiri di stadium itu bagi menjadi saksi sebuah kebangkitan rakyat 12 Januari 2013. Insyaallah.
1 comment:
mendeka!
Post a Comment