Sunday, April 28, 2013

Jurnal Kembara 12 : Tanah Besar China


Tanggal 8 haribulan 2013 lalu, aku sekali lagi mendapat peluang dan nikmat Allah untuk terbang ke bumi China. Benarlah kata pujangga, tuntutlah ilmu sampai ke negeri China. Dan memang aku mencari ilmu di sana buat memantapkan diri dengan ilmu dunia yang bersifat sementara. Kembara aku bermula daripada KLIA seawal jam 7 pagi Isnin tersebut.

Disebabkan aku terlewat setengah jam dari waktu dijanjikan, kontraktor yang menjadi tour guide aku bising-bising. Dia cakap penerbangan antarabangsa tak boleh main-main. Ala, flight berlepas pukul 9 pagi. Aku sampai situ pukul 7.30 pagi je pun. Lagipun bukan salah aku. Haha. Dipendekkan cerita, aku dan dia sampai di Shanghai Pudong International Airport sekitar jam 3 petang. Yang menariknya, waktu tempatan di sini sama dengan waktu Malaysia. Jadi, tak perlulah nak setting jam ke apa ke.


Lapangan Terbang Shanghai


Isnin (8 April 2013)

Sebaik sampai di Pudong, kami disambut oleh kawan kontraktor tu dan dibawa ke pejabat mereka di Shanghai Industrial Park untuk menikmati teh daripada Taiwan. Dengan yakin, aku pun turut sama minum teh tersebut yang memang dibuat asli daripada daun teh tanpa sebarang perisa tambahan. Teh cina ni memang tawar habis sebab depa tak suka bubuh gula. Kemudiannya, kami bertolak ke hotel penginapan di Salvo Hotel di GuangDong Road. Bilik yang diperuntukkan memang besar dan selesa. Cuma arah kiblat saja yang takde. Dengan menggunakan keupayaan telefon pintar pasti tiada masalah mencari arah kiblat.


Hotel Salvo tempat penginapan kami


Malam tersebut, kami menuju ke Nanjing Road untuk makan di restoran halal. Restoran ini menyajikan makanan cara steamboat dan lebih menarik lagi, mereka juga menghidangkan arak walaupun tertera logo halal. Menarik ke? Mengucap panjang pembaca semua. Seperkara lagi, mereka makan menggunakan chopstick dan jarang menggunakan sudu. Jadi, pesanan aku jika korang berkunjung ke China, pastikan belajar cara makan menggunakan chopstick. 

Dah habis makan, kami berjalan di sekitar Nanjing Road di mana ia kelihatan seperti laluan pejalan kaki yang kiri kanannya dipenuhi kedai-kedai jual barang dan pakaian. Nak kata macam Petaling Street tak jugak sebab kedai di sini lebih standard daripada Jalan Petaling tu. Seterusnya, kami singgah di The Bund di mana kata orang, jika tidak ke sini, maka tidak lengkaplah perjalanan anda ke Shanghai. Di sini, pemandangannya sungguh indah dan kita dapat melihat bangunan-bangunan tinggi di bahagian New Shanghai dari tepi sungai. Ditambah pula dengan feri-feri yang berhias lampu limpah, maka boleh aku katakan bahawa warga Shanghai memang meminati pencahayaan.















Selasa (9 April 2013)

Kami bertolak ke Seabord Factory di daerah Minhang yang menempatkan kilang pam yang akan aku dan kontraktor buat ujian. Perjalanan ke sana memakan masa selama sejam dengan menaiki van disediakan pihak kilang. Sepanjang perjalanan, aku dapat lihat banyak kereta mewah jenama Volkwagen, Buick dan Mercedes meluncur di jalanraya. Di Malaysia, kita ada banyak Proton.




Kawasan ladang bunga dekat kilang pam


Ujian pam dimulakan sekitar jam 10 pagi. Disebabkan setting untuk meletakkan pam mengambil masa lebih kurang 2 jam, kami pun makan tengahari di sekitar Minhang sebelum memulakan sesi ujian berikutnya. Dan, seperti biasa, kami makan tengahari di restoran halal yang masih menghidangkan arak dan steamboat style. Aku cuma makan daging kambing jela sebab ayam dah kena larang dekat sini. Ada H7N9.


Nasi dengan daging

Setelah selesai tiga ujian pam sekitar jam 5 petang, kami sempat singgah di Plaza IT sebelum berhenti di hotel. Aku bergegas mencari tab yang dikirim oleh bos mekanikal aku. Bajet yang ada cuma sekitar RM300. Dan aku bernasib baik mempunyai kontraktor cina yang tahu berbahasa Mandarin bagi melakukan tawar menawar. Akhirnya, aku beli tab jenama Ainol Lovo dengan harga 650 RMB iaitu lebih kurang RM320 duit Malaysia. Bagi menyelesaikan masalah wifi di bilik hotel, aku telah membeli sebuah router untuk disambungkan ke kabel LAN dengan harga 130 RMB.


Ainol Tab

Sampai di hotel, aku terus mencuba router tersebut namun hampa kerana aku masih tidak boleh connect internet. Adakah aku salah beli barang atau tidak tahu guna? Aku cuba dapatkan jawapannya esok kerana rakan-rakan lain pun beli jugak.

Rabu (10 April 2013)

Hari ni, kami menyambung lagi sesi ujian pam di tempat yang sama di Minhang. Disebabkan setting untuk meletakkan pam mengambil masa yang agak lama, setelah setiap kali selesai 1 ujian pam, kami lepak di bilik yang ada wifi. Jadi, masing-masing akan sibuk dengan telefon pintar masing-masing bagi mendapatkan berita dari Malaysia (contohnya mengetahui tarikh mengundi 5 Mei itu), menggunakan Whatsapp atau Wechat. Sayangnya, Facebook dan Twitter tidak boleh diakses di China kerana sekatan daripada kerajaan komunis mereka. Bagi makan tengahari, aku sempat menyantap beef noddle yang boleh tahan rasa dia.


Pembuatan beef noddle

Dan menjelang pukul 5 petang, kami pun bergerak pulang. Sekali lagi, kami singgah di Nanjing Road untuk mencari sedikit cenderahati. Tidak banyak yang boleh dibeli di sini melainkan baju murah, aksesori berkualiti rendah dan barangan dapur. Tetapi keindahan di sini cukup membuatkan mata aku terpesona. Sekembalinya ke hotel, aku berjaya mendapatkan akses internet melalui router yang aku beli semalam setelah rakan aku memaklumkan bahawa aku perlu membuka portal internet explorer dan login di situ sebelum melayari internet. Syukur.

Khamis (11 April 2013)

Memandangkan hari ni adalah hari terakhir sesi ujian pam (amboi, macam sesi ujian masa F1 pulak rasa), kami mengambil keputusan untuk membeli belah di Chipulu Market dahulu sebelum ke Minhang di sebelah petang. Chipulu Market ni terkenal dengan barangan berjenama tetapi murah. Dari segi keasliannya, harap tuan-tuan maklumlah ye. Dan sekali lagi di sini, tugas aku adalah mencari beg tangan, jam tangan serta dompet yang dikirim dari sahabat di tanah air.

Chipulu Market

Sesampainya di situ, kami telah didatangi penjual atau orang panggil 'ulat' yang akan mengetuai misi kami mencari beberapa barangan yang aku sebutkan tadi. Syukur aku berjaya dapatkan barangan-barangan tersebut. Namun, ada satu ketika, aku dan rakan kontraktor dibawa masuk ke bahagian tangga yang gelap gelita semata-mata untuk mencari jam tangan. Dengan harga hampir 1000 RMB, aku batalkan hasrat. Sudahlah tempat gelap gelita, takut pula kalau-kalau kami diapa-apakan. Nasib baik tiada sesuatu yang buruk berlaku.

Di sini sebenarnya, jika kita tidak boleh berbahasa Mandarin dan tidak ditemani dengan orang yang biasa keadaan di sini, pastinya anda amat sukar untuk memperolehi barang yang anda inginkan pada harga murah. Ditambah pula dengan peniaga yang akan mengekori anda ke mana sahaja bertanyakan tentang harga yang kita inginkan, ia sesuatu yang merimaskan. Jadi, sila bawa orang yang biasa dengan keadaan di sini jika tidak mahu ditipu. Oh ya, aku juga sempat membeli magnet peti sejuk dalam kuantiti yang banyak untuk bekalan orang di pejabat. Sayangnya, aku masih tidak jumpa kedai yang menjual kain kapas ela. Orang kata kalau nak cari kain, bukan di Shanghai sebaliknya, perlu ke Guangzhou. Mungkin juga sebab tidak banyak kedai yang aku pergi  ada menjual kain belum siap ni




Setelah selesai makan beef noddle (sekali lagi), kami bertolak ke Minhang bagi menghabiskan sesi ujiam pam kami. Lebih kurang pukul 5.30 petang, selesailah kesemua pengujian pam yang perlu dibuat dan alhamdulillah, kesemuanya sempurna dan tiada masalah. Sebagai kenangan, kami mengambil gambar kenang-kenangan di kilang bersama wakil pihak kilang.

Sebelum balik ke hotel, kami singgah di Tesco area mana pun aku kurang pasti bagi mencari makanan halal. Sayangnya, tiada restoran muslim di situ dan alang-alang sudah sampai di situ, ada sebuah kedai sukan Li-Ning menjadi sasaran beli belah kami. Li-Ning adalah sebuah jenama pakaian dan barangan sukan yang popular di China dan Lin Dan adalah salah satu atlit yang menggunakan barangan ini. Aku sempat sambar sehelai baju sukan dengan harga 39 RMB (RM20). Berbaloilah beli dengan kualiti yang bagus begitu.

Jumaat (12 April 2013)

Program pada hari terakhir dimulakan dengan lawatan ke loji pembersihan air di Shaoxing yang mengambil masa 3 jam perjalanan mengikut jalan darat. Di sini, aku dapat melihat beberapa teknologi yang canggih digunakan dalam merawat air. Sayangnya, terdapat beberapa teknologi ini yang dikekang dan dihalang penggunaannya di Malaysia atas sebab yang aku sendiri tidak tahu. Barangkali tidak memberikan keuntungan kepada kroni tertentu agaknya.





Selesai melawat loji itu, kami ke Luxing Native Place. Di sini, banyak barangan tradisional dan cenderahati bercirikan China boleh didapati. Disebabkan terdapat teko mini yang cantik, aku habiskan 60RMB untuk beli teko tersebut sebagai hiasan di rumah. Rakan aku pula beli satu set teko yang mahal tu. Nak buat apa entah aku pun tak tahu.





Malam tersebut, kami ke Old Shanghai bagi menikmati pemandangan Shanghai berciri tradisional. Seperti aku katakan sebelum ini, banyak lampu berkelipan di sana sini. Mereka sesungguhnya memang peminat cahaya. Banyak juga borong barangan cenderahati di sini memandangkan hari ni adalah hari terakhir. Kebab lembu turki menjadi hidangan aku bersama seorang rakan muslim aku. Sedapnya tak terkata. Alhamdulillah.









Sabtu (13 April 2013)

Hari ni kami akan menamatkan perjalanan dan kembara kami di bumi China yang sungguh indah di musim bunga ini. Sekali lagi, kami mengambil kesempatan berjalan-jalan di Nanjing Road. Disebabkan ada set potong sayuran yang menarik dan murah, aku sambar satu untuk Umi.

Pada pukul 11.30 pagi, kami mula keluar dari hotel dan bergerak ke stesen Maglev dengan menaiki teksi. Maglev adalah singkatan kepada Magnetized Levitation iaitu keretapi laju yang menggunakan medan magnet bagi mengapungkan keretapi supaya dapat digerakkan dengan laju. Kelajuan yang dicatatkan mencecah 300 km/h. Jadi, perjalanan yang sepatutnya mengambil masa hampir sejam ke Shanghai International Airport telah menjadi hanya 7 minit! Ini sesuatu yang patut aku perkenalkan di Malaysia supaya anak beranak aku akan untung 7 keturunan hasil daripada projek ini. LOL.




Maka, selesailah pengembaraan aku di tanah besar China setelah kaki menjejak KLIA pada pukul 10 malam tersebut. Aku harap ia bukan noktah untuk aku terus mencari ilmu dan melihat keindahan negara orang bak kata pepatah ' Jauh berjalan, luas pandangan'.

Friday, April 26, 2013

Bisakah Menjadi Manusia Super?


Semasa aku sedap-sedap makan nasik, fikiran aku berlingkar tentang bagaimana mahu menjadi manusia super. Sepertimana dalam kebanyakan filem superhero terbitan Barat, manusia super digambarkan begitu hebat, gagah, perkasa dan kelakar. Tujuan orang Barat menerbitkan filem sedemikian pantas dikritik warga Melayu atau Malaysia yang memandang filem dari sudut logik. Mereka akan mengeluarkan pendapat bahawa, filem itu tak logik, mana ada orang boleh terbang, mana ada orang berkuasa macam itu.

Lain pula bagi penggemar filem manusia super. Kadangkala mereka menonton hanya bagi tujuan hiburan semata-mata atau mahu menonton aksi-aksi dan efek-efek canggih yang terpapar di layar perak. Sebenarnya, apabila kita memikirkan dari satu sudut atau pandangan lain yang lebih dalam, bukankah kita boleh menjadikan filem manusia super sebagai suatu proses penginspirasian diri supaya menjadi yang terbaik.

Setiap perbuatan dan kata-kata dari filem itu boleh kita jadikan sebagai motivasi buat diri untuk mencapai apa sahaja impian kita walaupun kita tidak mampu terbang. Ini salah satu sudut positif yang boleh kita tapis dari filem-filem manusia super ini.

Berbalik kepada cerita makan nasik tadi, pengakhiran kepada pemikiran aku itu telah menyebabkan aku membuat satu kesimpulan bahawa dalam kehidupan kita yang singkat ini, mengapa kita mahu habiskan sia-sia? Mengapa kita tidak menjadi manusia yang betul-betul super? Ibarat seorang pemain bola, jika dia hendak menjadikan bolasepak sebagai kerjayanya, mengapa tidak menjadi pemain bolasepak yang berkaliber dan hebat serta terkenal serata dunia? Mengapa hanya mahu sekadar bermain di liga Malaysia dan berpuas hati dengan apa yang ada?

Begitu juga dengan arkitek, jurutera. Jika boleh menjadi arkitek atau jurutera super, kita harus keluar dari kepompong yang ada dan menjadi lebih baik saban hari demi hari. Hidup ini singkat sahaja. Jangan termenung dan cuma berpuas hati dengan apa yang kita kecapi. Perbaiki diri dan jadilah manusia super yang tidak pernah kenal erti jemu dan putus asa. (Dah macam menulis buku motivasi pulak aku rasa..)

Jika engkau hendak lakukan sesuatu, pastikan engkau lakukannya sehinggakan kehadiran engkau dirasai. Dan apabila engkau ingin meninggalkan sesuatu, pastikan engkau tinggalkannya sehinggakan kehilangan engkau dirasai.

Sunday, April 21, 2013

Cara Retro 'Download' Lagu


Dulu pekerjaan orang Melayu tak berat macam sekarang. Sekarang, tengoklah ramai orang Melayu balik kerja lambat sampai tinggal anak bini semua. Adakah ini yang dikatakan ekonomi berkembang? Mari kita tanya Najib.

Sebenarnya, apa yang aku nak sampaikan adalah dulu kita semua (terutamanya orang zaman 80-an dan 90-an) ni suka bukak suratkhabar Utusan dan cari kolum Pilihan Bersama. Tak silap aku radio Muzik FM ke apa entah. Lepas dah bukak paper cari senarai lagu-lagu yang bakal diputarkan atas pilihan pendengar, aku dan makcik aku ni siap-siaplah pergi beli kaset kosong. Kaset kosong ni tujuannya adalah untuk merekodkan lagu-lagu yang bakal dimainkan di radio Pilihan Bersama.

Masing-masing dah target lagu apa nak rekod. Sebaik aje DJ memutarkan lagu yang dah ditarget, dengan pantas aku menekan butang rekod. Dan bila dah habis lagu, tekan balik supaya tak rekod lagu lain yang kurang sedap dan DJ yang suka merapu. Sebaik saja semua lagu yang diminati selesai dirakamkan, maka, lengkaplah sebuah kaset kompilasi daripada artis-artis yang kita suka nak dengar. Retro bukan?

Begitulah serba sedikit kehidupan orang zaman dahulu. Tak senang macam sekarang, ada ITunes, ada Ipod, ada 4shared la dan macam-macam cara nak download lah. Senang sungguh budak sekarang.

Tikam dan Judi


Masa aku darjah 4 itu hari, kawan aku semangat bercerita,

"Haha, semalam ayah aku menang Toto siot..kena nombor dia!"

"Gila kau, main nombor tu kan haram..," balas aku padanya.

"Apsal pulak? Teka nombor je. Kau main tikam tu boleh pulak..."

Aku terdiam. Ya, manusia darjah 4 mungkin masih jahil tapi bagi manusia yang punya anak darjah 4 takkan masih jahil?

Friday, April 19, 2013

Bakal YB Putrajaya


Pagi Jumaat aku hari ini sangat bertuah. Apa tidaknya, aku telah tersua dengan orang yang bakal memimpin Putrajaya.

Setelah selesai memarkir kereta, aku pun berjalan semangat ke bangunan Kementerian Pelajaran Malaysia bagi menyelesaikan laporan penilaian tender. Ketika itulah aku terserempak dengan YB tersebut. Aku rasa macam kenal dan biasa tengok. Dan memang betul dia.

"Bertugas ke?", Beliau menghulurkan tangan untuk bersalam.

"Ya...", sambil tersengih-sengih aku membalas salaman beliau.

Dia melangkah pergi bersama geng-gengnya. Barangkali beliau sedang meninjau-ninjau kawasan KPM.

Dan aku pun berlalu sambil mendoakan kemenangan beliau di Putrajaya ini.




Sunday, April 07, 2013

Gunting Rambut







Selepas pulang dari kota besar Eropah tempohari, aku masih belum menggunting rambut.
Mungkin terdapat sedikit salji yang meresap ke dalam rambut.

Jika diizinkan Tuhan, mungkin putik dedaun musim bunga kota besar Asia pula akan singgah di hujung rambut.

Syukran Jazilan...

Saturday, April 06, 2013

Ulama Kontemporari?




Sesungguhnya, jika benarlah apa yang diperkatakan ulama ini, maka kita berhadapan dengan suatu kedahsyatan yang akan meletup pada bila-bila masa. Jika ulama yang perlu menjadi tulang belakang untuk menggerakkan agama Allah culas dalam melakukannya, apakah masih ada harap untuk kita si jahil ni?

Eloklah aku bersangka baik sahaja terhadap kenyataan yang dikeluarkan ini. Mungkin ia manipulasi media, manipulasi sang wartawan atau hanya satu perli-memerli kepada pihak berkaitan. Namun, sekiranya ia benar, apakah kita wajib memberikan undi kepada pemimpin atau parti yang telah menghidangkan seribu satu segala macam jenis konsert korea dan menari gangnam? Itukah yang dikatakan halal untuk diundi?


Daripada Abdullah bin Amr bin ash' ra berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :" Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim-ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai peminpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain."
 
Google Analytics Alternative