Friday, April 26, 2013

Bisakah Menjadi Manusia Super?


Semasa aku sedap-sedap makan nasik, fikiran aku berlingkar tentang bagaimana mahu menjadi manusia super. Sepertimana dalam kebanyakan filem superhero terbitan Barat, manusia super digambarkan begitu hebat, gagah, perkasa dan kelakar. Tujuan orang Barat menerbitkan filem sedemikian pantas dikritik warga Melayu atau Malaysia yang memandang filem dari sudut logik. Mereka akan mengeluarkan pendapat bahawa, filem itu tak logik, mana ada orang boleh terbang, mana ada orang berkuasa macam itu.

Lain pula bagi penggemar filem manusia super. Kadangkala mereka menonton hanya bagi tujuan hiburan semata-mata atau mahu menonton aksi-aksi dan efek-efek canggih yang terpapar di layar perak. Sebenarnya, apabila kita memikirkan dari satu sudut atau pandangan lain yang lebih dalam, bukankah kita boleh menjadikan filem manusia super sebagai suatu proses penginspirasian diri supaya menjadi yang terbaik.

Setiap perbuatan dan kata-kata dari filem itu boleh kita jadikan sebagai motivasi buat diri untuk mencapai apa sahaja impian kita walaupun kita tidak mampu terbang. Ini salah satu sudut positif yang boleh kita tapis dari filem-filem manusia super ini.

Berbalik kepada cerita makan nasik tadi, pengakhiran kepada pemikiran aku itu telah menyebabkan aku membuat satu kesimpulan bahawa dalam kehidupan kita yang singkat ini, mengapa kita mahu habiskan sia-sia? Mengapa kita tidak menjadi manusia yang betul-betul super? Ibarat seorang pemain bola, jika dia hendak menjadikan bolasepak sebagai kerjayanya, mengapa tidak menjadi pemain bolasepak yang berkaliber dan hebat serta terkenal serata dunia? Mengapa hanya mahu sekadar bermain di liga Malaysia dan berpuas hati dengan apa yang ada?

Begitu juga dengan arkitek, jurutera. Jika boleh menjadi arkitek atau jurutera super, kita harus keluar dari kepompong yang ada dan menjadi lebih baik saban hari demi hari. Hidup ini singkat sahaja. Jangan termenung dan cuma berpuas hati dengan apa yang kita kecapi. Perbaiki diri dan jadilah manusia super yang tidak pernah kenal erti jemu dan putus asa. (Dah macam menulis buku motivasi pulak aku rasa..)

Jika engkau hendak lakukan sesuatu, pastikan engkau lakukannya sehinggakan kehadiran engkau dirasai. Dan apabila engkau ingin meninggalkan sesuatu, pastikan engkau tinggalkannya sehinggakan kehilangan engkau dirasai.

No comments:

 
Google Analytics Alternative