Tuesday, August 27, 2013

Keadilan Untuk Proton





Kadang-kadang saya rasa kesian dengan Proton. Mereka telah berusia lebih 20 tahun dan dalam tempoh itu, ia tidak terlepas daripada mendapat caci maki orang yang pastinya datang dari rakyat Malaysia sendiri. Saya sendiri mengaku bahawa saya juga seringkali terikut-ikut dengan arus 'mencaci Proton' ini. Dipanggil tin milo, gearbox tak boleh pakai, power window selalu rosak, lantai tempat kaki bocor dan macam-macam komen yang pukul rata semua produk Proton.

Namun, saya sedar sampai bila kita akan terus-terusan mencaci dan menghina Proton selaku satu-satunya pengeluar tunggal kereta nasional di dalam negara. Segelintir rakyat Malaysia terus bersifat menghukum dan bias setiap kali Proton mengeluarkan produk baru. Sebagai contoh, baru-baru ini, Proton mengeluarkan model baru yang diberi nama Suprima S. Terus bersepah komen di Facebook, "Proton keluar tin milo", "harga mahal tapi kualiti hampeh!", "tak berbaloi pakai Proton" dan sebagainya.

Ini saya kira tidak adil dan komen-komen ini semuanya bercirikan judgemental dan prejudis. Mereka pukul rata semua produk Proton yang baharu walhal mereka belum lagi melihat dari dekat dan mencubanya sendiri. Mereka bercakap dan menulis mengenai sesuatu yang mereka sendiri belum rasa dan alaminya sendiri. Sama seperti mereka yang mengutuk setiap kali filem Metrowealth dikeluarkan tanpa mereka melihat terlebih dahulu isinya. Golongan yang mengikut-ngikut ini amat bahaya kerana ia boleh mendatangkan fitnah yang boleh merosakkan perniagaan orang.

Saya tidak kisah jika mereka mengkritik benda yang mereka sudah alami dan cuba. Tetapi jangan terus bersifat menghukum. Saya bukan mahu mempertahankan Proton. Mereka sudah berusia 20 tahun lebih dan sewajarnya memang mereka mampu menghasilkan kereta yang hebat dan paling penting berbaloi serta murah kepada rakyat Malaysia. Sayangnya, mereka bukanlah peletak harga. Harga Proton dikawal oleh kerajaan dengan pengenaan cukai yang dilihat tidak rasional bagi sebuah kereta yang dihasilkan di dalam negara. Bukan salah Proton sebaliknya kita tanyakan pada kerajaan yang kita pilih baru-baru ini. (Pui)

Pasti ramai tidak tahu mengenai kesukaran Proton dalam memperolehi tunjuk ajar dan pertukaran teknologi daripada abang mereka, Mitsubishi. Orang Jepun seperti diketahui agak tertutup dalam berkongsi maklumat dan idea teknologi mereka. Susah untuk orang kita yakni Proton dalam mendapatkan tunjuk ajar bagi menghasilkan kereta sendiri. Sekarang ni sahaja, baru Proton perlahan-lahan belajar membuat kereta sendiri dengan kepakaran anak tempatan. Sebab itu, banyak cacat celanya sejak bermulanya pengeluaran Proton Waja dahulu kerana sebahagian besarnya dihasilkan anak tempatan yang dinafikan peluang dan hak untuk menuntut ilmu dari gergasi Asia, Mitsubishi satu ketika dahulu. Jadi, berilah Proton peluang. Mengkritik boleh tetapi janganlah sampai menjatuhkan sehinggakan produk baru pun terus dikecam. Itu bukan kritikan namanya.

Sekian, kalau beli Suprima S, jangan lupa jemput saya naik.

Jurnal Kembara 13 : Korea (Part 1)


Aku bersyukur kepada Allah yang sentiasa mengurniakan aku peluang dan rezeki untuk aku mengembara ke luar negara. Memang minatku adalah mengembara namun dek kerana keterbatasan dari segi ekonomi dan masa, minat kembara aku terbatas di lingkungan yang berdekatan sahaja. Sekali lagi, Allah seakan-akan mendengar isi hati dan naluri aku, maka aku dicurahkan peluang untuk berkelana mencari ilmu sehingga ke Korea Selatan.

Tanggal 15 Jun 2013, aku berangkat ke Korea Selatan menaiki penerbangan Malaysia Airlines yang aku sendiri sudah lupa nombor platenya. Lebih kurang pukul 6.10 pagi, aku selamat mendarat di Incheon International Airport. Memang besar lapangan terbang ni tapi kita ada KLIA yang tak kurang canggihnya. Sedikit sebanyak, aku berbangga dengan negaraku. Aku dan rakanku dijemput oleh rakan dari Korea yang kami panggil Gwan. Dia memandu Hyundai Avante atau dipanggil Elantra jika di Malaysia.

 
Menunggu giliran di Imigresen Korea


Sebelum aku pergi lebih jauh, biarlah aku ceritakan tujuan kedatangan aku dan rakanku ke Korea Selatan. Tujuan lawatan selama sebulan ini adalah lebih kepada pertukaran teknologi atau mat salleh panggil 'technology transfer'. Apa ke benda teknologi yang kita nak tukarkan tu, biarlah rahsia tetapi ia berkaitan dengan teknologi penapisan loji rawatan kumbahan.

Hyundai Avante a.k.a Elantra dari dalam


Seoul, here I am!!


Sebaik kami beredar dari airport, kami terus menuju ke kawasan yang dipanggil Itaewon. Di kawasan ini, banyak pendatang asing (yang sah) membuka perniagaan. Daripada arab Turki, mat Afrika, India, Pakistan, Indonesia bahkan Malaysia, semuanya berkumpul di sini. Di sini juga terdapatnya sebuah masjid yang dinamakan Seoul Central Mosque yang dipunyai oleh Korean Muslim Federation (KMF). Dari luaran, masjid ini tersergam indah dengan tulisan Allahuakbar dalam Arab terpampang di atas masjid.






Bandar Itaewon nampak kecil tapi semuanya ada di sini



Seoul Central Mosque, Itaewon


Kami mengambil kesempatan membeli beberapa barangan mentah seperti daging, ayam, hotdog dan beberapa perencah serta roti sebagai bekalan di rumah penginapan. Alhamdulillah, sekitar jam 12 tengahari, kami pun dapat peluang berehat di rumah penginapan yang dipanggil sebagai 'studio'. Ia simple. Tidak berbilik, mempunyai ruang tamu, dapur dan tempat tidur di dalam satu ruang. Walaubagaimanapun, ia amat selesa sekali. Petang itu, kami terpaksa ke hypermarket berdekatan bagi membeli beberapa peralatan dapur dan barangan dapur supaya rasa was-was kami terhadap peralatan yang mereka sediakan tersebut hilang. 




 Maaf, beg plastik tidak disediakan di pasaraya. Anda harus melipat kotak dan membalutnya sendiri


 Kedai-kedai berhadapan dengan 'studio' kami



 Rupa dalaman studio yang menjadi 'rumah' kami untuk sebulan


Begitulah hari pertama aku di Korea Selatan. Aku sendiri tidak pernah menyangka dapat menjejakkan kaki di Korea. Tidak dinafikan, memang Korea adalah antara negara yang berada di dalam senarai negara untuk aku lawati. Syukur ia datang dengan cepat, terima kasih yang tidak terhingga kepada Tuhan Pemberi Rezeki. Sebut pasal Korea, siapa yang tidak tahu tentang teknologinya, k-popnya, fesyennya, keindahannya, dramanya dan bolasepaknya. Sekali lagi aku mengucapkan syukur kepada Ilahi di atas nikmat ini. Moga berjumpa lagi di entri yang kedua.

Sunday, August 25, 2013

Komik, Pengawas dan UPSR


Masa aku darjah 5 dulu, aku kurang sikit bab belajar ni. Banyak main orang kata. Lagi satu, masa tu aku suka melukis. Bukan melukis saja-saja. Aku melukis sampai keluar 9 jilid komik pasal bolasepak. Masa tu, permintaan bagus, jadi aku pun bersemangat melukis. Aku bawak ke sekolah dan tunjuk pada rakan sekolah, semuanya mintak aku buat lagi. Jadi, tekanan tinggi masa tu untuk siapkan komik tersebut. Itu yang belajar entah ke mana tu.

Masuk hujung tahun darjah 5, aku dapat nombor antara yang belakang dalam peperiksaan akhir tahun. Melalui pengumuman cikgu kelas bernama Puan Rohani, aku di'tendang' ke kelas kedua pandai bagi Tahun 6. Selama aku darjah 1 hingga 5, aku memang duduk kelas pertama. Jadi, aku rasa nak menangis dan malu ya amat kerana masuk kelas kedua. Sehinggalah rakan aku bernama Zaki memujuk Puan Rohani untuk letakkan aku di kelas pertama dan pujukan itu berhasil.

Sejak saat itu, aku dah tak melukis dah. Lebih baik aku tumpukan pada pembelajaran. Aku dahulu lebih utamakan melukis daripada belajar. Hampir tiap malam aku melukis untuk siapkan komik tu. Jadi, aku bertekad untuk bangkit dari 'kegelapan'. Alhamdulillah aku dapat 4A 1B dalam UPSR. Satu keputusan yang aku kira baik bagi aku kerana aku bermula daripada kosong apabila melangkah masuk Tahun 6.

Satu lagi perkara yang membuatkan aku berasa malu adalah apabila aku mendapat sesuatu yang aku kira, aku tidak layak menerimanya. Aku mendapat jawatan pengawas ketika di Tahun 6. Sudahlah aku mendapat nombor teruk ketika peperiksaan akhir tahun 5, dapat pula jawatan pengawas. Aku tahu, aku bukan mendapat jawatan tersebut atas kemampuan aku. Aku dapat jawatan itu kerana emak aku seorang cikgu disiplin. Aku tak minta. Aku telah diberi jawatan tersebut oleh cikgu-cikgu lain atas sebab tersebut.

Itulah serba sedikit kisah aku semasa sekolah rendah. Harapnya menjadi pengajaran buat semua. Hehe. Oh ya, aku masih menyimpan semua komik-komik tersebut sehingga kini. Cuma ia sudah usang.

Sunday, August 18, 2013

Kebangkitan Islam


Dunia Islam kini sedang ditekan dari segenap sudut. Tekanan ini datang bukannya dari puak bukan Islam atau Yahudi. Tetapi dari umat Islam sendiri. Akhir-akhir ini, Islam diduga dengan fahaman Syiah yang semakin merebak di bumi Malaysia ini. Di Syria, Bashar al-Assad sedang meminum darah umat Islam sendiri. Dan paling menyayat hati, Mesir yang diperintah kudeta sedang menyembelih rakyat mereka sendiri atau lebih tepat, membunuh pro Ikhwan Muslimin.

Lihat, tidak perlu musuh Islam daripada bukan Islam yang membunuh umat Islam hari ini. Cukuplah sekadar umat yang kononnya dipanggil Islam itu yang membunuh umat Islamnya sendiri. Kita sedang memasuki fasa akhir penghujung dunia. Segelintir manusia berkata, kenapa orang Arab suka bergaduh dan berperang sesama sendiri. Ya, perang mereka adalah antara yang Haq dengan yang Batil.

Ini adalah fasa terpenting dalam sejarah umat Islam. Ia akan menjadi antara lipatan sejarah dan saksi sebuah kebangkitan Islam menuju akhir zaman. Allah sedang memilih mereka yang benar-benar ikhlas dan beriman dalam perjuangan menentang sang batil ini. Moga kita tergolong di dalam satu daripada 73 golongan yang disebutkan Allah dalam hadis Nabi. Insyaallah. Marilah terus berdoa supaya saudara kita di Mesir mencapai kemenangan!

Wednesday, August 14, 2013

Alhamdulillah


Nampaknya saya masih belum mempunyai masa untuk menceritakan pengalaman saya berada di Korea selama sebulan gara-gara kesibukan dan kesuntukan waktu sebaik pulang daripada sana. Ditambah pula dengan kehadiran Aidilfitri yang baru saja tiba dan hampir pergi.

Insyaallah, jika ada masa akan saya coretkan di sini. Semoga kalian yang mengembara mencari rezeki di bumi Allah ini sentiasa tidak lupa untuk sujud kepada Pencipta kita.



 
Google Analytics Alternative