Tuesday, August 27, 2013

Jurnal Kembara 13 : Korea (Part 1)


Aku bersyukur kepada Allah yang sentiasa mengurniakan aku peluang dan rezeki untuk aku mengembara ke luar negara. Memang minatku adalah mengembara namun dek kerana keterbatasan dari segi ekonomi dan masa, minat kembara aku terbatas di lingkungan yang berdekatan sahaja. Sekali lagi, Allah seakan-akan mendengar isi hati dan naluri aku, maka aku dicurahkan peluang untuk berkelana mencari ilmu sehingga ke Korea Selatan.

Tanggal 15 Jun 2013, aku berangkat ke Korea Selatan menaiki penerbangan Malaysia Airlines yang aku sendiri sudah lupa nombor platenya. Lebih kurang pukul 6.10 pagi, aku selamat mendarat di Incheon International Airport. Memang besar lapangan terbang ni tapi kita ada KLIA yang tak kurang canggihnya. Sedikit sebanyak, aku berbangga dengan negaraku. Aku dan rakanku dijemput oleh rakan dari Korea yang kami panggil Gwan. Dia memandu Hyundai Avante atau dipanggil Elantra jika di Malaysia.

 
Menunggu giliran di Imigresen Korea


Sebelum aku pergi lebih jauh, biarlah aku ceritakan tujuan kedatangan aku dan rakanku ke Korea Selatan. Tujuan lawatan selama sebulan ini adalah lebih kepada pertukaran teknologi atau mat salleh panggil 'technology transfer'. Apa ke benda teknologi yang kita nak tukarkan tu, biarlah rahsia tetapi ia berkaitan dengan teknologi penapisan loji rawatan kumbahan.

Hyundai Avante a.k.a Elantra dari dalam


Seoul, here I am!!


Sebaik kami beredar dari airport, kami terus menuju ke kawasan yang dipanggil Itaewon. Di kawasan ini, banyak pendatang asing (yang sah) membuka perniagaan. Daripada arab Turki, mat Afrika, India, Pakistan, Indonesia bahkan Malaysia, semuanya berkumpul di sini. Di sini juga terdapatnya sebuah masjid yang dinamakan Seoul Central Mosque yang dipunyai oleh Korean Muslim Federation (KMF). Dari luaran, masjid ini tersergam indah dengan tulisan Allahuakbar dalam Arab terpampang di atas masjid.






Bandar Itaewon nampak kecil tapi semuanya ada di sini



Seoul Central Mosque, Itaewon


Kami mengambil kesempatan membeli beberapa barangan mentah seperti daging, ayam, hotdog dan beberapa perencah serta roti sebagai bekalan di rumah penginapan. Alhamdulillah, sekitar jam 12 tengahari, kami pun dapat peluang berehat di rumah penginapan yang dipanggil sebagai 'studio'. Ia simple. Tidak berbilik, mempunyai ruang tamu, dapur dan tempat tidur di dalam satu ruang. Walaubagaimanapun, ia amat selesa sekali. Petang itu, kami terpaksa ke hypermarket berdekatan bagi membeli beberapa peralatan dapur dan barangan dapur supaya rasa was-was kami terhadap peralatan yang mereka sediakan tersebut hilang. 




 Maaf, beg plastik tidak disediakan di pasaraya. Anda harus melipat kotak dan membalutnya sendiri


 Kedai-kedai berhadapan dengan 'studio' kami



 Rupa dalaman studio yang menjadi 'rumah' kami untuk sebulan


Begitulah hari pertama aku di Korea Selatan. Aku sendiri tidak pernah menyangka dapat menjejakkan kaki di Korea. Tidak dinafikan, memang Korea adalah antara negara yang berada di dalam senarai negara untuk aku lawati. Syukur ia datang dengan cepat, terima kasih yang tidak terhingga kepada Tuhan Pemberi Rezeki. Sebut pasal Korea, siapa yang tidak tahu tentang teknologinya, k-popnya, fesyennya, keindahannya, dramanya dan bolasepaknya. Sekali lagi aku mengucapkan syukur kepada Ilahi di atas nikmat ini. Moga berjumpa lagi di entri yang kedua.

No comments:

 
Google Analytics Alternative