Sunday, October 20, 2013

Penjual Putu Piring yang Setia


Lebih kurang 18 tahun lepas, aku masih ingat kalau ikut Ayah ke pasar malam, aku akan berjumpa dengan seorang makcik penjual putu piring. Kebiasaannya memang Ayah akan beli sebab putu piringnya memang sedap. Ketika itu makcik tu meniaga di Bandar Tun Razak dan kadangkala ditemani suaminya.

Semalam, hampir 18 tahun, makcik dan suaminya itu masih lagi menjual putu piring. Cuma lokasinya berlainan. Aku tahu yang dia memang sudah berpindah lokasi, namun semalam aku terdetik hati untuk membeli putu piringnya. Dengan RM3, aku dapat membeli lima biji putu piring dia dan ternyata, rasanya masih sama dan asli seperti 18 tahun lepas.

Apa yang membuatkan aku terfikir sejenak adalah bagaimana mereka berdua boleh kekal istiqamah dalam menjalankan perniagaan putu piring. Gerainya tidaklah besar dan tidaklah juga kecil. Dan aku percaya, mereka memang mempunyai pelanggan yang setia bersama selama beberapa tahun. Ketika orang lain, mungkin sudah bertukar bidang pekerjaan atau perniagaan, mungkin sudah berehat di rumah bersama anak cucu, tetapi mereka berdua tetap yang dulu menjual putu piring.

Mereka sangat tabah.


Rasa putu piring yang asli dan penuh tradisi


Thursday, October 17, 2013

Kalimah


Isu kalimah Allah sekali lagi didendangkan tatkala Mahkamah memutuskan bahawa The Herald tidak dibenarkan menggunakan kalimah tersebut. Walaubagaimanapun, kalimah tersebut boleh digunapakai di Sabah dan Sarawak atas alasan masyarakat di sana berbilang agama dan majmuk.

Nampak aneh bukan?

Umat Islam sendiri makin keliru. Dikelirukan sendiri oleh umat Islam.

Maka, aku rasa benarlah petikan ayat Al-Quran yang mengatakan lebih kurang pada akhir zaman nanti, orang jahil akan menjadi pemimpin.

Aku tidaklah arif mengenai isu ini tetapi nampaknya banyak perdebatan di laman internet dan facebook mengenai isu ini sekaligus ia memberi jutaan persepsi. Sehinggakan tergamak mufti mengatakan sesiapa yang menentang keputusan mahkamah ini, boleh jatuh murtad.

Hmm. Apa masalah umat Islam sekarang?

Jawapannya wang.

Saturday, October 05, 2013

Imajin




 Ketenangan kota Frankfurt



Kadang-kadang kita tidak perlu terbang tinggi untuk berimaginasi, cukup hanya sekadar bertenang dan ikhlas dalam melakukan segalanya. Tenang adalah kunci kejayaan.

Thursday, October 03, 2013

Satu Perbincangan Hal Ehwal Negara Ketika Menikmati Sarapan Pagi di Shanghai




Masa aku ke Shanghai sekitar awal tahun ini, aku sempat berborak dengan seorang kontraktor cina pada ketinggian lebih kurang 200 kaki semasa sedang menikmati sarapan pagi. Dia kata anaknya susah nak dapat peluang belajar di universiti awam di dalam negara. Jadi, beliau memutuskan supaya anaknya mendaftar di kolej swasta dan seterusnya menyambung pengajian di luar negara.

Asal ada duit, semua boleh jalan. Tapi itulah nasib dia di bumi Malaysia ni. Dia sanggup keluarkan semua wang simpanannya bagi memastikan anaknya berjaya mendapatkan pendidikan yang bagus. Kata-katanya itu dibuktikan apabila beliau menghantar anak sulungnya ke luar negara bagi melanjutkan pengajian. Dia kata kat aku, walaupun anaknya skor dengan cemerlang dalam SPM, tetap masih susah mendapatkan tempat di dalam universiti awam dalam negara. Begitu juga dengan biasiswa. 

Maka, tidak hairanlah ramai cerdik pandai tidak kira apa bangsa, semuanya belajar di luar negara dan lebih rela bekerja di luar negara. Mereka tidak rela pulang ke tanahair. Kerana apa? Aku buat-buat tanya pada dia. Katanya, buat apa bekerja di dalam negara sendiri yang tidak menjamin pendapatan lumayan dan kos sara hidup yang tinggi.

Aku yakin, selain daripada alasan yang dia kemukakan itu, satu lagi alasan lain adalah, mereka 'berdendam' dengan kerajaan yang tidak mengurniakan peluang pendidikan kepada bangsa mereka. Jadi, oleh sebab itu, adalah lebih baik mereka belajar dan bekerja di luar negara. Itu lebih baik. Bagi aku, kerajaan yang bagus, tidak akan mengkastakan pendidikan. Mereka juga rakyat Malaysia. Mereka perlu beroleh hak yang sama sepertimana kaum bumiputera. Ini yang orang Melayu harus kerja kuat dan perlunya bersaing dengan mereka. Aku sendiri tidaklah sehebat mana tetapi selagi orang Melayu terus berasa selesa dengan 'kuota' istimewa yang mereka ada, selagi itulah kita akan terus menikmati video-video murah dan lucah anak remaja Melayu.

Dan tidak hairan, kita mempunyai menteri-menteri yang berfikiran seperti budak sekolah. Lantas, urustadbir negara menjadi kucar-kacir dan tiris sana sini. Yang penting, harta rakyatlah yang disapu. Maka, sarapan pagi aku hari tersebut menjadi sedikit tawar mengenangkan betapa 'buruk'nya sistem yang kita ada ini.
 
Google Analytics Alternative