Saturday, May 24, 2014

Hal Cermin Gelap


Kebelakangan ini hangat sungguh perkara cermin gelap atau dalam bahasa rojaknya tinted gelap diperkatakan. Entah bagaimana isu ini bermula, aku pun kurang periksa. Namun, ia berkait dengan bantahan orang ramai samada di dalam suratkhabar atau laman sosial.

Aku pun turut sama terkena tempiasnya. Kereta yang baru dipasang cermin gelap tersebut telah ditahan JPJ dalam satu sekatan jalanraya di Jalan Benta-Kuala Lipis. Pihak JPJ mengeluarkan notis peringatan di mana ia meminta aku membuat pemeriksaan di mana-mana JPJ cawangan. Inilah yang menyusahkan orang ramai sebenarnya apabila pihak JPJ tidak mempunyai alat pengukur ketelusan cahaya bagi mengesan ketelusan cahaya pada cermin. Mereka cuma menggunakan mata kasar dan membuat andaian sendiri. Kes aku juga begitu.

Tanpa mahu disaman, aku pun memeriksa kenderaan di JPJ Bangi dua minggu kemudian. Dan, seperti dijangka, memang cermin gelap aku tidak melepasi tahap dibenarkan. Notis tersebut dicop gagal dan aku diminta menukar cermin gelap atau membuka cermin tersebut dalam masa seminggu. Beberapa hari kemudian, aku pun pergi semula ke kedai tinted dan meminta agar mereka membuka semula tinted tersebut. Aku tidak bercadang untuk menukar ke tinted yang lebih rendah kerana mahu pergi pemeriksaan semula dengan JPJ.

Sebelum genap seminggu, aku pun kembali ke JPJ Bangi dan tiada masalah tinted lagi. Ia telah mengakibatkan kerugian pada aku dari segi masa, wang dan petrol. Nasib baik warranti masih ada lagi dan kedai tinted tersebut membukanya dengan percuma. Bertitik tolak daripada kejadian ini, kini heboh pula mengenai kajian semula penggunaan cermin gelap. Bagi aku ketelusan cahaya dibenarkan (tinted mestilah melebihi dari angka ini) bagi cermin depan 70%, kiri kanan 50% dan belakang 50% adalah mengarut dan merepek.

Sudah-sudahlah buat peraturan mengarut wahai Jabatan Pengangkutan Jalan.



Tinted aku yang terkorban


Tuesday, May 13, 2014

Impian 5 Tahun


2009

Pada tahun ini, terpacullah satu model diberi nama Naza Forte mula dijual di Malaysia. Ketika itu, aku lihat ia adalah satu kereta yang sangat menawan dan sungguh sporty. Aku berhajat ingin membelinya walhal ketika itu, aku baru sahaja masuk ke tahun kedua universiti di Shah Alam. Aku simpan erat-erat hajat ini dan jadikan ia impian aku. Insyaallah satu hari nanti.







Foto-foto yang aku ambil pada 18 Disember 2009 ketika berkunjung ke Kia Batu 9, Cheras



2011

Aku mula bekerja di sebuah konsultan. Hajat aku nak beli kereta tersebut nampaknya agak susah kerana harganya masih mahal dan tidak mampu aku miliki dengan duit gaji yang aku terima. Jadi, aku simpan dan pendamkan saja hasrat ini.

2013

Naza Kia mengumumkan Naza Forte akan dihentikan jualannya dan diganti dengan model Cerato. Betapa ironinya, pengumuman ini aku terima ketika aku dalam lawatan pembelajaran di Korea di mana aku lihat banyak sungguh kereta jenama Kia meluncur di jalanraya. Cuma, nama yang digunakan berbeza. Contohnya, Kia K5 di Malaysia dipanggil Kia Optima, Kia Cerato dipanggil Kia Forte manakala Kia K3 pula dipanggil Kia Forte di Malaysia. Susulan pengumuman Naza Kia tersebut, aku rasa seperti tidak berapa sedih malah aku yakin, ia masih boleh dibeli secara second-hand.

Sekitar September tahun tersebut, tiba-tiba aku mendapat dorongan yang kuat setelah aku melihat sebuah Kia Forte warna putih yang diletakkan di kedai menjual kereta terpakai untuk dijual. Ia sungguh menawan sekali. Segera aku berkunjung ke kedai tersebut untuk bertanyakan lebih lanjut. Harga yang ditawarkan menarik namun aku perlu survey tempat lain supaya dapat jual semula kenderaan aku (Getz) dengan harga tinggi. Bermula daripada dorongan itu, aku menjelajah hampir ke seluruh pelusuk Lembah Klang untuk mencari Kia Forte berwarna putih. Daripada September membawa ke Oktober, dari Oktober membawa ke November, hampir kesemuanya hampa.

Tiba-tiba, pertengahan bulan November, aku terjumpa satu rakan Facebook yang menggunakan nama Kia Forte yang aku syak adalah salesman Kia menyatakan mereka mempunyai Forte tahun 2013 berwarna kelabu. Setelah berminggu-minggu aku asyik pulang hampa dari kedai used car, aku dapat ilham untuk menghubungi brader tersebut di dalam perjalanan pulang melalui Lebuhraya Persekutuan. Pertemuan diatur pada hujung minggu dan tanpa berlengah, aku membawa terus dokumen diperlukan.

Masuk bulan Disember, brader salesman tu kata model 2013 tu dah diambil orang dan beliau cuba mengusahakan untuk mendapatkan kereta lain pula. Dan seterusnya, brader tu pun menyampaikan berita gembira bahawa model Forte 2012 berwarna putih ada stok di Gurun, Kedah. Dan, aku pun bersetuju untuk membelinya walaupun ia adalah model berspesifikasi rendah (model EX).

2014

Alhamdulillah, pada 12 April 2014 lepas, aku pun menerima kenderaan yang aku impikan sejak 2009 lagi ketika aku mula-mula masuk ke showroom Kia. Allah memakbulkan permintaan hamba-Nya ini walaupun proses itu lambat, namun segalanya pasti mempunyai hikmah tersendiri. Allahuakbar, syukur Alhamdulillah.





Foto-foto 12 Mac 2014 di Kia Jalan Chan Sow Lin


P/S - Percayalah, jika rezeki Allah sudah tertulis untuk kita, pasti ia akan menjadi milik kita jua akhirnya. Cepat atau lambat sahaja. Terima kasih Allah. Allahurobbi.....

Ceritera Sebuah Lorong


Semasa aku berpindah ke Cheras sekitar 20 tahun lepas, tiada padang dibekalkan kepada taman perumahan kami. Pemaju sebenarnya mengingkari janji untuk menyediakan padang bagi kemudahan sukan dan rekreasi penduduk.

Bila aku mula mengenali beberapa rakan di taman itu, aku kadangkala bermain basikal dan permainan tradisional seperti gasing, karom dan lain-lain. Jadi, tiba satu masa, aku dan rakan-rakan lain mula bosan dengan permainan yang sama setiap hari. Aku pun mencadangkan supaya permainan bolasepak dimainkan di lorong sebelah rumah aku. Lorong ni lebarnya dalam 5 meter dan memanjang hampir 15 meter. Cadangan disambut baik dan kami mula tong-tong untuk beli bola yang berharga dalam RM20 ketika itu.

Setelah bola dan kasut ada, kami pun memulakan aktiviti bermain bolasepak di lorong tersebut. Dan ianya sungguh mengujakan. Pada awalnya, hanya beberapa budak sahaja yang bermain dan setelah beberapa ketika, ia mula dipenuhi dengan budak-budak daripada lorong lain dan adakalanya daripada taman lain sekali.

Menarik mengenai lorong ini adalah ia telah menjadi satu simbol perpaduan kami budak-budak yang tiada kemudahan padang untuk bermain bolasepak. Dan hanya di  lorong inilah kami dapat mengasah bakat, menunjukkan skil, bertemu kawan dan mengabadikan passion kami kepada bolasepak. Setiap kali jam 5 petang, aku tidak sabar-sabar untuk memakai baju bola dan turun ke lorong yang terletaknya hanya di sebelah saja rumah aku. Kadang-kadang, kami set game dengan budak lorong lain dan pasukan dibahagikan mengikut lorong. Dapatlah lebih kurang 12 hingga 16 orang bermain bolasepak di lorong ini. Tiang golnya pula adalah chamber longkang di kiri dan kanan hujung jalan tersebut.

Di lorong inilah juga aku mendapat parut di tangan kanan aku dek terkena besi pagar rumah. Di lorong inilah juga kadang-kadang bola meletup akibat dilenyek kenderaan yang menggunakan jalan besar apabila terlepas ke situ. Di lorong inilah, aku bergaduh dengan budak lorong lain disebabkan permainan kasar yang ditampilkan. Di lorong inilah, jiran-jiran pernah marah apabila bola terkena tingkap rumah mereka. Di lorong inilah juga, kami pernah protes senyap apabila jiran menghentikan permainan bolasepak kami. Walhal, jiran tersebut baru berpindah ke situ sedangkan kami sudah mula bermain hampir 4 tahun lamanya. Dan pastinya, di lorong inilah juga kaki dan lutut akan luka jika terjatuh di atas jalan tar.

Setelah hampir 12 tahun lamanya kami bermain di sini, barulah pihak pemaju menyediakan padang untuk bersukan di mana tapak asalnya adalah semak-samun. Namun, agak terlambat bagi aku untuk merasai padang tersebut agak lama kerana aku mendapat tawaran masuk ke sekolah asrama bagi Tingkatan 4.

Aku tidak akan melupakan jasa lorong ini yang telah membuatkan aku jatuh cinta dengan bolasepak, mengajar aku tentang permainan bolasepak, mengasah bakat dan skil, mengenal erti kawan dan lawan, memerhati sikap dan ragam orang, dicaci jiran yang tidak faham mengenai betapa pentingnya sebuah padang kepada kami atau sekurang-kurangnya memahami betapa pentingnya aktiviti sukan luar di kala usia begini. Mungkin ibubapa sekarang pastinya lebih suka anak mereka berada di dalam rumah daripada membiarkan anak mereka cedera, bercampur gaul dengan orang tidak betul, bimbang diculik dan macam-macam lagilah. Nah, beri mereka Iphone dan sumbatkan mereka dengan wayang cerita orang putih. Itu lebih bertamadun.

Kini, lorong tersebut sudah menjadi sejarah dan hanya menyaksikan ia digunakan bagi menempatkan kereta-kereta yang menjadi kegemaran orang Melayu untuk memiliki lebih daripada sebuah kereta. Dahulu mungkin satu keluarga satu kereta. Namun kini, susah jika tiada dua kereta. Hasilnya, lorong inilah yang akan menjadi tempat mereka meletakkan kenderaan mereka. Apapun, lorong inilah yang mengajar aku tentang 'KEHIDUPAN'.


Inilah lorong yang pernah menjadi tempat aku jatuh dahulu
 
Google Analytics Alternative