Saturday, December 13, 2014

Ke Borneo Ke Kita?

 

Agak lama juga aku menyimpan hasrat untuk menjejakkan kaki ke tanah Borneo di seberang Laut China Selatan. Apabila aku dapat tahu bahawa syarikat mempunyai projek di sana, aku memasang impian untuk menjejakkan kaki ke sana suatu hari nanti.

Dan, alhamdulillah, minggu sudah aku memperolehi peluang untuk ke sana bagi penyerahan loji rawatan air di sana yang di dalam fasa terakhir penyiapan. Bos meminta aku pergi pun mungkin kerana tiada senior yang ada di dalam department aku. Apapun, syukur atas peluang yang diberikan.

Aku dan rakanku bersama bos berlepas dari KLIA2 dan mendarat di Sibu, Sarawak dengan perjalanan yang mengambil masa dua jam. Daripada Sibu, kami ke Saratok dengan menaiki jip yang dipandu oleh pekerja tapak loji Saratok. Perjalanan agak melompat-lompat kerana permukaan jalan yang berombak-ombak walaupun jalannya cantik. Dan di kiri dan kanan ketika itu, hanyalah hutan rimba dan kampung-kampung kecil yang berselang-selang. Tidak banyak kenderaan dan jika ada kenderaan melalui situ pun, kebanyakkannya menggunakan jip 4 x 4 atau 4 wheel drive.

Trip ini mengambil masa dua hari sebenarnya. Hari pertama lebih kepada mesyuarat koordinasi dan perbincangan terakhir sebelum keesokannya, Pengarah JKR Sarawak sendiri turun padang bagi majlis penyerahan sebahagian loji tersebut. Melihat persekitaran dan bercampur gaul dengan penduduk Sarawak, membuatkan aku terfikir bahawa negeri ini penuh kaya dengan hasil bumi yang melimpah ruah namun, apabila terjadinya sifat tamak haloba dan kronisme di dalam kalangan pemimpin yang mentadbir, satu kerugian kepada negara dan penduduk Sarawak itu sendiri.


Hari kedua berjalan lancar dan majlis penyerahan berjalan sempurna. Flight yang sepatutnya berlepas malam, telah diawalkan atas permintaan bos sendiri dan kami hanya bersetuju memandangkan banyak masa terluang yang bos perlu singkatkan. Tidak banyak dapat aku beli di sini sebagai cenderahati namun, aku dapat membeli kuih tradisional Sarawak iaitu cincin lawas dan kuih mukah tebaloi. Cincin lawas macam kuih rempeyek berperisa di dalamnya manakala, mukah tu macam kuih sagu. Insyaallah, jika ada kesempatan masa, akan aku menulis lebih lagi mengenai Sarawak walaupun perjalanan aku ke sini cuma dua hari.


No comments:

 
Google Analytics Alternative