Wednesday, June 17, 2015

Jatuhnya Suara Rakyat

 16 Jun 2015

Isu berkuburnya Pakatan Rakyat seperti yang diperkatakan Lim Guan Eng sebenarnya menandakan bahawa PR sedang 'tenat' pemimpin. Kehilangan tokoh seperti Anwar, arwah Nik Aziz atau mendiang Karpal amat dirasai. Lalu, muncullah puak-puak yang mempunyai fikiran yang kacau bilau dan tidak tenang.

 Dalam kes ini, tidak patut gua menyalahkan sesiapa di dalam PR. Cuma, jika dilihat, arwah TGNA tidak pernah pula menyerang DAP atau berkata buruk dengan rakan mereka di dalam PR. Ditambah pula dengan golongan profesional yang sebelum ini membawa angkatan mereka serta mewujudkan Kelab Penyokong Bukan Islam untuk PAS pun ditolak baru-baru ini. Secara ringkasnya, PAS lebih berminat menegakkan dasar parti daripada cubaan untuk menumbangkan kerajaan zalim dan celaka BN. Itu yang dirasai rakyat kini berbeza ketika zaman arwah TGNA. 

Hal hudud itu memang sudah menjadi dasar parti dan ia adalah proses yang sentiasa berjalan, namun, tujuan utama PR adalah untuk memperkukuhkan sokongan rakyat dengan menolak BN dan menjadi suara bagi rakyat yang ditindas. Berbeza dengan TGHH sekarang. Begitu juga dengan Nik Abduh yang suatu ketika dilihat mempunyai ketokohan seperti bapanya namun, kini seperti sudah hilang punca dengan lebih berminat untuk menghentam rakan proksi. 

Kesimpulannya, boleh diibaratkan kita bakal melalui satu lagi fasa yang mana kita memerlukan satu tokoh atau dua, tiga untuk membawa suara rakyat. Proses ini sebenarnya adalah merugikan kerana ia ibarat memberi talian hayat kepada BN. Mereka berevolusi dan PR juga (atau alternatif lain) berevolusi. Ia akan memakan masa dan rakyat akan terus ditekan dengan penguasa zalim untuk beberapa tahun mendatang.

No comments:

 
Google Analytics Alternative