Ketika orang ramai bersesak dan berhimpit mahu menghamburkan pujian
buat JDT apabila mereka memenangi kejuaraan AFC, aku sekelumit pun tidak rasa berbangga malah terdapat rasa
yang kurang senang.
1. Wujudnya JDT sekitar tahun 2012 setelah
dibranding daripada Johor FC, kita dapat lihat bagaimana berlaku dengan
banyak sekali kes-kes pergaduhan setiap kali JDT bertanding di mana-mana
gelanggang.
2. Satu yang kita dapat lihat dengan terang dan nyata
adalah keangkuhan sikap penyokong mereka beserta pengurusan mereka.
Bermula daripada 2012, mereka akan mencari gaduh dengan mana-mana lawan
yang mereka hadapi dan kebiasaannya akan berakhir dengan tragedi seperti
pergaduhan, bas dipecahkan, dikepung dalam stadium, tiang gol disepak
dan macam-macam lagi.
3. Mereka menyatakan bukan mereka mulakan
dahulu. Namun, mengapa sejak JDT ditubuhkan kerap berlakunya perkara
ini. Alasan lain adalah 'pasukan lain cemburu dengan JDT'. Siapa yang
cemburu dengan JDT ketika itu di mana JDT tidak punyai apa-apa piala
langsung ketika dua tahun penubuhannya!
4. Dapat disimpulkan bahawa
bukan cemburu, bukan siapa yang mulakan. Hanya sifat ANGKUH dan SOMBONg
dari bangsa dari selatan ini. Ia semakin marak dengan slogan Bangsa
Johor yang terang-terang menampakkan sentimen asobiyah dalam penubuhan
JDT.
5. Mereka bermula dengan pelaburan besar. Pemain ditukar ganti.
Jurulatih juga bertukar ganti. Pemain kebangsaan rata-ratanya dibeli
dan dilonggokkan di dalam pasukan JDT. Ketika itu, hasil yang paling
jelas sekali adalah ia merosakkan pasukan kebangsaan apabila terdapat
pemain kebangsaan yang bagus telah dicampak ke bangku simpanan dek
memberi laluan kepada bintang import, Aimar, Guiza, Nunez dan Figueroa.
Mereka masih kata bukan.
6. Pelaburan besar-besaran oleh Tunku
Ismail ini akhirnya membuahkan hasil pada 2014 apabila mereka menjuarai
Liga Super dan diteruskan lagi dengan kejuaraan pada 2015. Namun, harus
ditanya berapa jutakah yang telah dihabiskan sepanjang proses menjadi
juara itu?
7. Arwah Datuk Basri Akil (Kedah) jika dibuat
perbandingan, hanya mempunyai peruntukan yang kecil namun, mampu
melahirkan pemain tempatan Kedah yang berwibawa sekaligus menyumbang
kepada kekuatan pasukan kebangsaan. Walau ia mengambil masa namun, untuk
jangka masa panjang, ia adalah berbaloi. Cuma, apabila kuasa wang
mengatasi segalanya, mana-mana orang akan tumpas.
8. Sebagai
perbandingan, setelah kemasukan besar-besaran pemain kebangsaan ke JDT,
maka, lihatlah hasil Malaysia di pentas antarabangsa apabila dengan
mudah tumpas 10-0 kepada UAE serta beberapa lagi siri keputusan yang
memalukan.
9. Putar kembali, meninjau penubuhan JDT, antara
kontroversi yang diciptakan adalah penglibatan askar di dalam stadium
ketika perlawanan membabitkan JDT, kewujudan pengacau atau hooligan
bolasepak iaitu Inter Johor Firms, kewujudan bas batu JDT, ugutan kes
bunuh oleh penyokong mereka yang akhirnya mengaku takut lipas dan
beberapa lagi aksi memualkan dipertontonkan oleh penyokong (segelintir)
mereka.
10. Yang terakhir, adalah sikap kebudak-budakan pengurusan
JDT sendiri. Cabar-mencabar (rujuk kes penyokong dipelawa datang makan),
tumpuan terhadap haters yang melampau-lampau, sepak tiang bendera, rak
kabinet yang semakin penuh dan berbagai lagi tindakan tidak matang yang
ditonjolkan.
Kesimpulannya, pelaburan besar merosakkan nilai
bolasepak. Bolasepak yang hebat dan genius diangkat melalui pembangunan
daripada mereka yang cintakan sukan itu, menjiwai sukan itu sepenuhnya
dan bukannya tabur wang sana-sini. Wang mungkin dapat membeli kejayaan dengan segera namun, proses me'mekar'kan bolasepak itu telah rosak dengan sendiri.
Sekian. Majulah sukan untuk JDT.
Notakaki - Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak tertakluk di bawah mana-mana pengaruh pihak ketiga.