Tuesday, November 03, 2015

Hegemoni JDT

Ketika orang ramai bersesak dan berhimpit mahu menghamburkan pujian buat JDT apabila mereka memenangi kejuaraan AFC, aku sekelumit pun tidak rasa berbangga malah terdapat rasa yang kurang senang.

1. Wujudnya JDT sekitar tahun 2012 setelah dibranding daripada Johor FC, kita dapat lihat bagaimana berlaku dengan banyak sekali kes-kes pergaduhan setiap kali JDT bertanding di mana-mana gelanggang.

2. Satu yang kita dapat lihat dengan terang dan nyata adalah keangkuhan sikap penyokong mereka beserta pengurusan mereka. Bermula daripada 2012, mereka akan mencari gaduh dengan mana-mana lawan yang mereka hadapi dan kebiasaannya akan berakhir dengan tragedi seperti pergaduhan, bas dipecahkan, dikepung dalam stadium, tiang gol disepak dan macam-macam lagi.

3. Mereka menyatakan bukan mereka mulakan dahulu. Namun, mengapa sejak JDT ditubuhkan kerap berlakunya perkara ini. Alasan lain adalah 'pasukan lain cemburu dengan JDT'. Siapa yang cemburu dengan JDT ketika itu di mana JDT tidak punyai apa-apa piala langsung ketika dua tahun penubuhannya!

4. Dapat disimpulkan bahawa bukan cemburu, bukan siapa yang mulakan. Hanya sifat ANGKUH dan SOMBONg dari bangsa dari selatan ini. Ia semakin marak dengan slogan Bangsa Johor yang terang-terang menampakkan sentimen asobiyah dalam penubuhan JDT.

5. Mereka bermula dengan pelaburan besar. Pemain ditukar ganti. Jurulatih juga bertukar ganti. Pemain kebangsaan rata-ratanya dibeli dan dilonggokkan di dalam pasukan JDT. Ketika itu, hasil yang paling jelas sekali adalah ia merosakkan pasukan kebangsaan apabila terdapat pemain kebangsaan yang bagus telah dicampak ke bangku simpanan dek memberi laluan kepada bintang import, Aimar, Guiza, Nunez dan Figueroa. Mereka masih kata bukan.

6. Pelaburan besar-besaran oleh Tunku Ismail ini akhirnya membuahkan hasil pada 2014 apabila mereka menjuarai Liga Super dan diteruskan lagi dengan kejuaraan pada 2015. Namun, harus ditanya berapa jutakah yang telah dihabiskan sepanjang proses menjadi juara itu?

7. Arwah Datuk Basri Akil (Kedah) jika dibuat perbandingan, hanya mempunyai peruntukan yang kecil namun, mampu melahirkan pemain tempatan Kedah yang berwibawa sekaligus menyumbang kepada kekuatan pasukan kebangsaan. Walau ia mengambil masa namun, untuk jangka masa panjang, ia adalah berbaloi. Cuma, apabila kuasa wang mengatasi segalanya, mana-mana orang akan tumpas.

8. Sebagai perbandingan, setelah kemasukan besar-besaran pemain kebangsaan ke JDT, maka, lihatlah hasil Malaysia di pentas antarabangsa apabila dengan mudah tumpas 10-0 kepada UAE serta beberapa lagi siri keputusan yang memalukan.

9. Putar kembali, meninjau penubuhan JDT, antara kontroversi yang diciptakan adalah penglibatan askar di dalam stadium ketika perlawanan membabitkan JDT, kewujudan pengacau atau hooligan bolasepak iaitu Inter Johor Firms, kewujudan bas batu JDT, ugutan kes bunuh oleh penyokong mereka yang akhirnya mengaku takut lipas dan beberapa lagi aksi memualkan dipertontonkan oleh penyokong (segelintir) mereka.

10. Yang terakhir, adalah sikap kebudak-budakan pengurusan JDT sendiri. Cabar-mencabar (rujuk kes penyokong dipelawa datang makan), tumpuan terhadap haters yang melampau-lampau, sepak tiang bendera, rak kabinet yang semakin penuh dan berbagai lagi tindakan tidak matang yang ditonjolkan.

Kesimpulannya, pelaburan besar merosakkan nilai bolasepak. Bolasepak yang hebat dan genius diangkat melalui pembangunan daripada mereka yang cintakan sukan itu, menjiwai sukan itu sepenuhnya dan bukannya tabur wang sana-sini. Wang mungkin dapat membeli kejayaan dengan segera namun, proses me'mekar'kan bolasepak itu telah rosak dengan sendiri.

Sekian. Majulah sukan untuk JDT.

Notakaki - Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak tertakluk di bawah mana-mana pengaruh pihak ketiga.

No comments:

 
Google Analytics Alternative