Adik aku mengeluh lagi tentang keadaan dan kondisi rumah yang tidak selesa menyebabkan dia sukar untuk belajar. Sudah beberapa kali setiap kali dia kembali dari tempat belajarnya di universiti, dia mengeluh sebegitu. Ada lagi keluhan lain. Misalnya tiada kenderaan hendak ke tempat belajar. Kawan-kawannya katanya, mempunyai kenderaan sendiri untuk bergerak ke mana-mana sekaligus memudahkan mereka untuk menelaah pelajaran dan urusan ke kelas.
Aku faham. Keadaan rumah yang tidak selesa memang boleh merencatkan mood untuk belajar. Tambahan lagi, jika sempit, bising dan tiada kemudahan belajar yang sesuai. Memang tidak dinafikan bahawa segala apa yang diperkatakan itu benar belaka. Namun, apa yang kita harus buat atau dia harus buat adalah cuba memaksimumkan sebaik mungkin kemudahan yang ada dan cuba belajar untuk bersyukur. Aku faham bahawa perkara itu susah apatah lagi, jika kadang-kadang manusia telah selalu berada di zon selesa.
Apa yang aku telah lalui sebelum ini sama juga seperti apa yang telah dia lalui. Atau aku biarlah aku bercerita secara umum sahaja supaya dapat dijadikan panduan samada untuk aku mahupun sesiapa yang terbaca.
Ketika aku sekolah rendah dan menengah bawahan, tempat belajar aku di rumah adalah di tangga naik ke laluan tingkat satu. Keadaan tangga yang mempunyai bukaan di ruang antara pemijak membolehkan aku memasukkan kaki ke dalam bukaan tersebut, seterusnya membolehkan aku meletakkan buku di atas pemijak tangga tersebut. Dapat dibayangkan bukan? Jadi, itulah tempat aku belajar selama beberapa tahun. Andaikata ada orang ingin naik atau turun tangga tersebut, terpaksalah aku 'berkemas' sedikit untuk melegakan ruang laluan.
Aku tidak tahu mengapa ketika itu meja belajar tidak ada disediakan oleh ibubapaku. Mungkin aku sendiri tidak berapa kisah belajar di antara ruang pemijak tangga. Dan, aku faham ketika itu, memang tiada ruang untuk menempatkan meja belajar. Kadang-kadang, baring di ruang tamu sambil belajar jika letih duduk terlalu lama. Sehingga aku masuk Tingkatan 4, aku terpaksa meninggalkan 'meja belajar' aku itu untuk duduk di asrama yang jauh lebih selesa daripada di rumah. Dan, ketika aku belajar di Pulau Pinang dahulu, aku tidak kerap balik walaupun kadang-kadang ada cuti semester atau cuti perayaan (yang kadang-kadang 3 hari tu) kerana aku lebih suka belajar di universiti yang jauh lebih selesa. Aku tidak merungut dengan keadaan rumah aku tersebut. Jadi, aku mengoptimumkan apa yang aku ada untuk mencapai keselesaan walaupun terpaksa berjauhan lama dengan keluarga.
Begitu juga ketika aku belajar di Shah Alam. Juga aku tidak kerap balik kerana faktor untuk mengulangkaji pelajaran dan membuat kerja atau assignment yang lebih selesa di rumah sewa (kerana ada meja!). Aku tidak suka menyalahkan keadaan jika ia tidak boleh diubah (dengan drastik), maka, aku sendiri yang berubah mengikut keadaan. Bak kata peribahasa, ikutlah haluan angin, ke mana ia menghembus, ke situlah padi akan terbang meliuk lentuk ditiup angin.
Seperkara lagi adalah kenderaan ataupun barang bantu belajar (contohnya komputer). Bukan tidak pernah aku suarakan kepada ibubapaku yang aku memerlukan komputer peribadi untuk memudahkan membuat kerja-kerja diberikan pensyarah, namun, dengan keadaan ketika itu yang tidak mengizinkan, maka, aku dinasihatkan untuk meminjam komputer kawan ataupun pergi ke perpustakaan siber.
Sudahnya, aku kumpul duit daripada latihan praktikal di sebuah kilang besi dan alhamdulillah, berjaya juga aku memiliki komputer peribadi yang aku guna sampai sekarang (sehingga saat ketika post ini ditaip). Tidak susah untuk kumpul duit dan tidak mudah juga untuk kumpul duit. Tapi, disebabkan ada target untuk dibeli, maka, usaha mengumpul duit daripada latihan praktikal kelihatan mudah dan lebih fokus.
Sekali lagi, aku ada menyuarakan hasrat untuk mempunyai kenderaan kepada kedua orang tuaku untuk memudahkan pergerakan aku ke kampus dengan tidak selalu menumpang motosikal kawan. Sedar ia mungkin tidak memberikan hasil, aku bekerja ketika cuti semester di sebuah kilang membuat pendingin hawa dengan ditemani beberapa rakan. Pengalaman yang ada ketika aku menjalani praktikal memang sangat membantu aku untuk memahami budaya kerja dan bagaimana untuk kita meletakkan sesuatu fokus untuk mencapai apa yang kita inginkan.
Hasilnya, aku berjaya membeli motosikal daripada kawan dengan harga RM1,500 yang mana, motosikal itu alhamdulillah, masih dalam keadaan baik sekarang. Motosikal ini amat membantuku yang selama ini menumpang motosikal rakan serumah untuk ke kampus. Kadang-kadang, kawan aku ni tertidur sampai tak terjaga pagi (belah malam dia jadi burung hantu, aku tak tahulah masalah apa dia ni), jadi, menyebabkan aku sendiri tidak dapat ke kelas kerana rakan-rakan lain ada yang tidak sama waktu atau motosikal mereka sudah penuh dengan pembonceng. Rakan aku yang selalu tuang kelas itu juga menyumbang kepada faktor aku untuk membeli kenderaan sendiri.
Apa yang aku cuba sampaikan adalah manusia ini berasimilasi. Ia harus mengubahsuaikan diri mereka jika keadaan di sekeliling tidak dapat berubah untuk mereka. Rumah tak selesa, jadi pergilah belajar di kampus. Tiada kenderaan hendak ke kelas, jadi usahalah dengan apa cara sekalipun, untuk sampai juga ke kelas. Kadang-kadang ibubapa mungkin boleh membantu semampu mereka dan kita tidak perlulah memaksa mereka untuk membantu kita membeli itu ini. Adalah lebih baik kita berusaha sendiri, raih wang ringgit sendiri dan nikmati hasil yang kita usahakan itu sendiri kerana ia lebih manis. Ruang lingkup yang selesa juga mampu mematikan kita apabila kita terdedah dengan kesusahan secara tiba-tiba. Oleh itu, berasimilasilah ye.
No comments:
Post a Comment