Baru-baru ini, agak kerap kita membaca di laman-laman sosial dan media perdana bahawa ramai graduan telah berhenti daripada menjadi ahli profesional lantas membuka bisnes sendiri atau menguruskan pekerjaan lain selain yang dipelajarinya.
Apakah pandangan anda jika ada rakan yang bekerja sebagai jurutera tetapi kemudiannya memilih untuk berhenti lalu membuka bisnes sendiri.
Ini adalah pendapat aku dan tidak semestinya anda perlu bersetuju.
1. Ilmu bersifat universal dan kerangkanya juga berciri diversiti. Ia boleh diperolehi daripada mana-mana sumber, mana-mana ceruk dan mana-mana tempat sekalipun. Tidak semestinya di universiti, kolej kemahiran, politeknik dan lain-lain. Malah, ia boleh diraih daripada pengalaman di jalanan, pergaulan dengan ramai orang dan lain-lain. Itu salah satu ciri pemerolehan ilmu.
2. Untuk mendapatkan ilmu bersifat profesional atau dalam skop perbincangan ini dipanggil ilmu kejuruteraan bukan mudah. Ia kadang-kadang perlu mengambil masa 3 tahun, 4 tahun atau sehingga 6 tahun. Dapatan ilmu yang diperolehi dari kerangka masa yang panjang ini seharusnya 'dipulangkan' semula kepada industri dalam bentuk sumbangan tenaga, buah fikir dan ilmu.
3. Adalah sayang, jika seseorang itu belajar ilmu kejuruteraan sehingga menghabiskan hidupnya selama 6 tahun dan apabila sudah bergelar graduan, beliau membuka bisnes sendiri yang tidak berkaitan dengan kejuruteraan. Malah, ada yang bertahan untuk bekerja selama 3,4 tahun lalu mengambil keputusan untuk terjun ke bidang lain (non-engineering).
4. Antara faktor pendorong mereka beralih arah adalah faktor pendapatan dan minat. Ada yang tidak berminat untuk meneruskan pekerjaan dalam bidang kejuruteraan yang mana ini juga dipengaruhi pelbagai sebab. Faktor pendapatan lumayan adalah antara faktor paling tinggi mereka meninggalkan bidang pekerjaan berkait dengan kejuruteraan.
5. Tidak dinafikan berbisnes sendiri itu lebih baik daripada makan gaji malah boleh ia digalakkan di dalam agama. Antara tarikan utama adalah masa yang lebih fleksibel dan pendapatan lumayan mampu dikecapi dalam masa yang singkat. Namun, sebagaimana yang ditegaskan dalam point sebelum ini, 'sayang' sekali apabila ia terjadi.
6. Ada pelajar yang telah menghabiskan ribuan ringgit untuk belajar ilmu kejuruteraan. Ada yang dibiayai kerajaan untuk meneruskan pengajian dengan selesa. Semua ini adalah pelaburan. Jika pelaburan ini gagal memberi pulangan kepada industri, bukankah itu suatu kerugian? Industri kerugian sumber tenaga graduan muda. Industri kerugian buah fikir dan daya kreatif daripada golongan lepasan ijazah ini. Mereka yang sepatutnya menyumbang kembali kepada industri kejuruteraan ini, telah beralih fokus menyumbang kepada perniagaan lain.
7. Faktor ingin cepat memperolehi pendapatan lumayan barangkali telah menarik ramai graduan untuk menceburi bidang yang berbeza daripada apa yang telah mereka pelajari. Tambahan pula, banyak kisah-kisah tentang mereka yang bergelar hartawan apabila membuka bisnes sendiri membuatkan mereka terpengaruh dan dalam bahasa kasarnya 'kelabu mata'. Ini juga berkait dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
8. Kita bukan hendak menghukum mereka dan menuduh mereka. Cuma, apabila difikirkan jumlah mereka yang berbisnes sendiri semakin bertambah perlu membuatkan kita berfikir, apakah berbaloi pengajian di universiti atau pusat pengajian jika kita mencari sesuatu yang berbeza dan lain. Kita mungkin tidak rugi apa-apa. Namun, negara akan rugi dari segi sumber tenaga dan percambahan ilmu.
9. Ada yang tidak berminat untuk mendapatkan ijazah, malah diploma sekalipun apabila terpengaruh dengan cerita 'nasi lemak' yang mampu memberi pulangan lumayan. Ada yang terpengaruh dengan cerita pemain hartanah menjadi jutawan walau dengan memiliki sijil SPM.
10. Di sinilah kita perlu bina kekuatan ilmu. Bukanlah satu 'dosa' walau anda memiliki sijil SPM sekalipun. Cuma, masyarakat yang lain perlulah bangkit mengejar ilmu. Menjadi jurutera adalah satu fardu kifayah. Jika semua hendak membuka bisnes, siapa yang mahu mengoperasikan mesin-mesin di kilang Proton? Siapa yang hendak memantau kerja-kerja penggerudian bawah tanah MRT? Siapa yang hendak merekabentuk sistem penghawa dingin di dalam pejabat-pejabat besar? Siapa yang hendak mengira kedudukan aras tanah bagi membina 'retaining wall'? Siapa yang hendak menyusun dan menyelia vendor-vendor bagi industri minyak dan gas?
11. Oleh itu, bersabarlah wahai graduan sekalian. Libatkan diri dalam bidang yang kamu telah kamu pelajari dengan susah payah untuk mendapatkan gulungan ijazah itu sekurang-kurangnya sehingga 8 ke 10 tahun. Bantu adik-adik yang perlukan bimbingan. Industri ini perlukan kamu. Industri perlukan tenaga kamu. Industri perlukan buah fikiran kamu. Inspirasikan semula bidang kerja profesional ini. Walau pendapatan mungkin tak seberapa, namun, ingatlah, ilmu yang kamu kongsikan lebih jauh bernilai daripada wang ringgit yang berada di dalam dompet kamu.
No comments:
Post a Comment