Friday, November 12, 2010

Bagaimana Rasanya Membeli Sayur Jam 3 Pagi?


Pernah tengok Mak Limah Janda bimbit beg isi sayur jam 3 pagi? Atau Pak Tam beli bawang besar dengan halia pukul 4 pagi?  Kalau kome kata pernah, memang teman ni lampi betul la. Tapi, serius ini perkara pelik.


 Pak Aji, mintak letak gambo kedai kat sini ye...


24 JAMM!!!!

Ya, kedai sayur dibuka 24 jam! Suatu penemuan baru di sebuah tempat di Cheras. 

Sekian, saya melaporkan.

Wednesday, November 10, 2010

Komputer



 Aku masih ingat lagi sekitar tahun 1998 apabila ayah mula membeli komputer baru ketika menetap di Cheras. Ketika itu, hati gembira bukan kepalang apabila diimbas semula memori itu kerana itulah komputer pertama yang dibeli keluargaku. Aku kurang ingat berapa harganya ketika itu tapi yang pastinya ia mencecah ribuan ringgit.

Komputer di zaman itu bukanlah seperti sekarang yang boleh dibeli bercerai-berai. Maksudnya, kita boleh memilih spesifikasi yang kita mahukanlah. Tahun 98 tu, komputer didatangkan dengan satu set jenama. Dan jenama yang dibeli ayahku adalah Acer. Ketika itu, Acer adalah nama besar dalam industri perkomputeran. Susah untuk diingati jenama lain yang ada ketika itu. Set Acer didatangkan semua sekali dalam bentuk CPU, monitor, keyboard, mouse dan speaker. 

Maka, kami adik beradik bukan main seronok dengan teknologi baru ini kerana ketika itu bukan mudah untuk membeli komputer. Keluargaku melalui pelbagai pinjaman demi untuk mendapatkan 1 set komputer. Banyak prosedur dan karenah birokrasi yang ditempuhi sepanjang proses mendapatkan pinjaman tersebut. Akhirnya, umiku yang bergelar guru berjaya juga mendapatkan pinjaman melalui koperasi guru. Maka, pinjaman ini akan dibayar balik dengan cara pemotongan gaji. Hanya untuk memiliki sebuah komputer, pengorbanan ini dilakukan.

Ketika itu, dapat mengetik mouse dan menaip di papan keyboard adalah suatu saat yang paling indah bagi budak bersekolah rendah seperti aku. Aku menggunakan Word, bermain game atau apa saja eksperimentasi yang boleh dilakukan, aku lakukan pada teknologi ciptaan manusia berilhamkan daripadaNya. Walau asalnya, komputer tersebut dibeli untuk kegunaan umi ku membuat kerja berkaitan sekolahnya tapi kami adik-beradik pula yang berlebih-lebih.


Beginilah lebih kurang rupa Acer (Kredit to odyshape)


Maka, masuk era millenium menandakan permulaan satu lagi teknologi baru yang menerjah Malaysia. Ketika itu, kerajaan giat menjalankan kempen IT iaitu internet. Akulah orang yang bertanggungjawab mendesak dan memujuk ayah supaya memasang internet di rumah. "Dengan internet, kita boleh cari apa saja maklumat yah..". Ayat ini saja yang aku ulang-ulang setiap kali baik di dalam rumah, kereta dan di mana saja. Bertitik tolak dari itu, komputer aku dipasangkan internet sekitar tahun 2002-2003. Aku lupa tahun yang sebenarnya. 

Jadi, dengan penambahan internet melengkapkan lagi fungsi sebuah komputer. Jika sebelum ini, komputer asyik dibantai game bola SEGA dan Fifa, jadi, kali ni internet menjadi medium baru buat aku. Apa yang hebat tentang internet ketika itu? Facebook takde. Twitter lagilah. Blog pun mana wujud lagi. YM pun tak wujud lagi atau terma yang bertepatan adalah kurang popular ketika itu. Daya penarik pada internet ketika itu adalah chatting. Aku mula layan main chatting di laman sesawang Cikgu.net. Aku tak tahu ada lagi ke tak entah laman web ni. Masa tu, umi akulah yang rajin membuka portal tersebut dek kerana profesionnya sebagai guru. Aku masa tu sekadar cuba-cuba berjinak untuk bersembang melalui laman chatnya dengan orang lain yang ramai di kalangannya adalah guru. Dari situ, aku belajar bagaimana berkomunikasi melalui alam maya dan mewujudkan satu pengalaman baru bersembang dengan orang yang lebih tua dari aku.


As time goes by, aku bersahabat dengan orang-orang yang lebih tua ni dan wujud satu ikatan erat. Yahoo Messenger pula menjadi pelantar baru untuk berchatting kerana kepelbagaian dan kemudahan yang lebih baik untuk berchatting berbanding di Cikgu.net. Selain itu, wujud MIRC yang mana lebih mendapat sambutan meluas kerana terdapat pelbagai 'room' di dalamnya untuk dipilih. Aku kurang berminat untuk berchatting di sana kerana ia kurang mesra pengguna kerana banyak 'kod-kod' yang perlu ditulis untuk memasukinya. Cuma aku menjadikannya untuk mencari dan mendownload lagu kerana di sinilah lagu-lagu Melayu mudah didapati. 

Masa terus berlalu, aku terus menjadikan chatting sebagai hobi di waktu lapang sehingga kadang-kadang masa belajar terabai. Masa makan terlepas. Aku jadi 'kelawar' dengan berjaga malam semata-mata untuk berchatting. Kegiatan ini aku teruskan sehinggalah aku tamat tingkatan 5. Selepas habis PKN, aku menjadi lebih gila berchatting kerana selama 2 bulan menunggu masa result untuk keluar, aku habiskan bersembang di alam maya. Di pelantar YM, bermacam-macam orang telah aku jumpa(ehem-ehem) dan bermacam-macam perangai aku temui. At the end, setiap orang yang aku kenali dan bersahabat di YM, tidak pernah aku jumpa. Aku sekadar berseronok untuk bersembang. Sepanjang tempoh itu, banyak pengalaman-pengalaman manusia yang aku dengar dan yang mana aku boleh bantu, aku berikan nasihat. Dengan cara ini, secara tak langsung telah membina satu kemahiran dalam diri aku yang aku tak boleh nak huraikan di sini.

Setelah memasuki universiti, aku telah hilang minat untuk berchatting lagi. Aku hanya mahu fokus pada pelajaran. Hanya sesekali saja, aku meluangkan masa di YM yang pernah menjadi tempat aku 'tidur',makan dan minum sambil berchatting. Manakala, ada rakan-rakan aku yang baru-baru ini mula nak berjinak dengan YM sambil melahirkan rasa bangga dapat mengurat si gadis di alam maya. Aku hanya mampu senyum kerana mereka baru saja merasai nikmat tersebut jika nak dibandingkan dengan aku. Kahkahkah...Statement berbaur riak bakal mengundang kehancuran. Haha. 

Kini, komputer set Acer tu sudah tiada lagi di rumah setelah ditolak kepada orang berminat. Kenangan aku bersama komputer itu juga pergi sekali. Yang tinggal hanya beberapa keping gambar saja ketika aku mula-mula menggunakan komputer itu. Itupun perlu discan dahulu untuk dimuat naik ke dalam blog ni. Ada masa akan aku siarkan. Adakah di YM aku kan bertemu jodoh?Jeng..jeng..jeng..

Tuesday, November 09, 2010

Teh O





Teh yang aku bancuh dalam jag besar tu aku letakkan di meja depan. Agak manis rasanya kerana si Jamil (bukan nama sebenar) rakanku yang menyuruh menambah gula. Apa nak kena kencing manis ke dia ni? Maka, satu persatu rakanku meminum air teh itu walaupun rasanya agak manis. "Sedap ke air teh aku ni?', kata aku di dalam hati. 

 Lalu si Jamil dengan tanpa rasa malu meminta aku membuat satu jag lagi air teh. Disuruhnya aku guna saja uncang teh tersebut. Cuma tambah air panas dan gula saja. Aku pun bangun menyediakan lagi satu jag air teh. Kalau tak laku macam ni, jangan haraplah aku nak buat. Aha.

Setelah siap air teh tersebut, aku letakkannya di atas meja ala Jepun di ruang tamu. Memang kalau guna uncang teh yang sama, kaler air teh akan turun sikit tapi rasanya tetap sama macam guna uncang baru. Melihat kaler dia lain sikit, si Razak (bukan nama sebenar) menegur aku. 

" Kenapa kaler die lain?"

" Aku guna uncang tadi. Tu yang lain tu", jawab aku tenang.

"Ala, ko ni kedekutlah. Gunalah uncang baru. Kedekut sangat!", si Razak merungut.

" Rasa dia sama je. Tak percaya, rasalah...", aku bidas balik.


Malam sebelum tu...

" Eh Razak, nape ko tak makan hotdog yang ko goreng ni kat depan?" tanya si Jamil. 

Aku yang ada di dapur di situ ketika itu terdengar perbualan Razak dan Jamil. Ketika itu, ruang tamu memang penuh dengan budak-budak melepak tengok tv. Kalau ade sesape open makanan, confirm kena serbu.

" Alah, malaslah. Nanti budak-budak depan tu nak pau aku.", jawab Razak selamba.


Aku senyum je...

Sunday, November 07, 2010

State Space

Sudah lama aku tidak menulis di sini kerana sibuk dengan peperiksaan akhir dan menyiapkan projek tahun akhir. Minggu depan pula ada pembentangan di depan 3 panel penilai untuk projek itu. 

Ketika aku membukak blog aku ni, aku lihat lagi 2 posting(tak termasuk yang ini) saja untuk menyamai jumlah posting tahun lepas. Tahun ni mungkin aku banyak berposting kerana salah satu faktornya aku sudah mempunyai komputer sendiri. Cuma kadangkala terbantut untuk berposting lebih dek memikirkan assignment-assignment yang berlambak. Pointnya di sini adalah, ada improvement jumlah posting aku kali ni berbanding tahun-tahun sudah. 

Jika imbas kembali sewaktu aku mula berblog, tidak ramai lagi yang menggunakan teknologi ini. Semuanya lebih gemar berMyspace dan berFriendster. Aku pula waktu itu sekadar menjadikan blog aku sebagai diari harian untuk melepaskan tekanan dan melontar pandangan. Juga kadang-kadang sebagai medium pemberontakan. Hari ini, banyak blog baru yang tumbuh bak cendawan, maka ini adalah satu persaingan sihat. Haha. Landskap internet sudah banyak berubah hari ini. Diharapkan kesemua anugerah teknologi ini menjadi suatu manfaat kepada umat manusia dan bukannya dijadikan senjata untuk menjatuhkan. 

Entah apa aku merepek kali ni aku pun taktahu. Di bawah, aku sertakan satu klip video yang agak kreatif pembikinannya. 

Monday, October 25, 2010

Meeting

Berapa hari sudah, teman tengok satu meeting kat tv kecik rumah teman tuh. Tiap-tiap tahun diorang ni rajin bermeeting. Tak miss punya. Tiap-tiap tahun jugaklah meeting 'deme' (bak kata orang peghok) tu kluar tv. Tiap-tiap tahun jugaklah ade kolum khas dalam paper cerita pasal meeting deme. Tiap-tiap pun deme nyanyi lagu deme tu sampai teman dah naik hafal liriknya.

Tapi,

Tiap-tiap tahun mesti deme cerita pasal bangsa Melayu. Teman pun pikior....

Ape deme ni tak penat ke bercerita benda sama? Teman yang mendengor dan melihat ni pun naik bosan...

Thursday, October 21, 2010

Dedicated

Saya mendedikasikan anugerah ini kepada insan-insan yang banyak memberi dorongan dan galakan untuk berjaya especially pada kedua parents saya. Many thanks!







Wednesday, October 20, 2010

Loserpool?

Ahad lalu, Liverpool tewas kepada jiran setempat, Everton. Sekarang ni, Liverpool berada di tangga ke 19 yakni dua dari bawah. Aku rasa, musim ni adalah antara permulaan buruk buat mereka sejak Premier League diperkenalkan. Dan, jika mereka terus kalah dan kalah, tidak mustahil mereka akan tersingkir ke Liga Coca-Cola musim depan.

Loser?


Apa agaknya rasa menjadi penyokong Liverpool sekarang? Menghuni tangga kedua dari bawah liga dan hanya bermain di Europa League. Mari kita selami.

1. Kurang nafsu menonton perlawanan bolasepak. Tidak kira Liverpool ataupun Piala Malaysia.

2. Melarikan diri apabila rakan-rakan bersembang pasal Liga Perdana Inggeris.
3. Cuba menjarakkan diri dengan keputusan perlawanan Liverpool apabila rakan membuka portal result EPL.(Takut dibahan jika kalah)

4. Tidak berminat membeli jersi Liverpool walaupun mendapat penaja baru yang tiada unsur arak.

Statistik jualan jersi ini di uptown jatuh menjunam meskipun bebas unsur-unsur arak

5. Tidak lagi berminat berkunjung ke kedai mamak waktu hujung minggu di mana waktu perlawanan EPL ditayangkan.
 Kedai mamak lengang meskipun ada perlawanan membabitkan Liverpool
6. Main game bola pun taknak.
PES 2012 tanpa Liverpool?
7. Emosi sentiasa dan mudah naik angin.

8. Tidak berjaga malam Rabu atau Khamis untuk menonton Champions League. Jika anda lihat peminat bola tidur pada malam-malam tersebut, maka mereka adalah penyokong Liverpool!


Don't hate me. I'm just the manager. Hate the Yanks!



 Kampung mari anyone?



All pictures are copyright reserved

Wednesday, October 13, 2010

Ibarat Serie A

Walaupun aku ni berdarah Perak, namun atas rasa kecintaan kepada kehangatan saingan bolasepak Piala Malaysia, aku pergi menonton Selangor lawan Kelantan malam tadi. Dengan membawa seorang penyokong Selangor atas motor, aku betul-betul dahagakan kemeriahan menonton perlawanan bolasepak di stadium seperti mana aku rasai sewaktu menonton pasukan Perak beraksi sekian lama dahulu. Itu antara sebab aku datang. Tambahan pula, perlawanan Selangor dan Kelantan sering menjanjikan aksi sengit dan babak panas di atas padang dan juga di luar padang.

 Kaitan Red Giant dan Red Devil

Tanpa berceloteh panjang, aksi panas betul-betul berlaku dengan dua layangan kad merah dikenakan masing-masing ke atas pasukan Selangor dan Kelantan. Sebaik saja layangan 2 kad tersebut, keadaan menjadi kecoh di seberang sana stadium dengan 'gap' antara kedua penyokong mula nampak longgar. Yang aku perasan, penyokong Selangor mula-mula menerjah ke dalam ruang pemisah itu. Tapi aku juga perasan yang penyokong Kelantan banyak melontar botol-botol minuman ke arah penyokong Selangor.Juga kelihatan kerusi-kerusi stadium berterbangan. Aku hanya mampu tersengih saja. Kerana apa aku tersengih? Kerana semua ni dapat aku saksikan depan mata sendiri. Tidak perlu bersusah payah ke Liga Seria A di Itali sana untuk melihat pergaduhan dan cetusan bunga api warna-warni. Sudah sedia ada di sini semuanya. Siap mercun meletup dekat pasukan perubatan lagi. Sayangnya, perlawanan berakhir dengan keputusan 0-0. Aku memang sakit hati kalau lawan result 0-0 nih.

Pagi ni bukak paper online, tengok ada seorang penyokong Red Warriors meninggal sebab sesak nafas. Aku percaya kalau langkah lebih ketat dapat diambil FAM, pastinya tak berlaku insiden-insiden seperti di Seria A semalam. Takizah kepada arwah.

Saturday, October 09, 2010

Mahasiswa Mapan Mengembeleng Negara


 Bukan universiti dia


Usai melalui kawasan perusahaan tadi, aku memarkir motosikal di kawasan letak motosikal fakulti. Setelah siap-siap kunci helmet, aku melangkah padat ke kelas sambil tangan kanan menggenggam tali beg galas dan tangan kiri pula menggenggam sebuah buku teks bertajuk 'Mechanics of Material' atau dalam bahasa ibunda, Mekanik Bahan. Sesampai di lif A( ada lif A, B, C dan D di situ), panel LED menunjukkan tingkat 10 iaitu tingkat di mana kelas aku berada. *Mungkin sistem lif di sini berbeza dengan lif tempat lain kerana kita perlu menaip tingkat yang diingini di panel dinding yang tertera nombor ibarat telefon bimbit susunannya. Selepas itu, skrin akan tertulis lif mana yang perlu dimasuki. Senang caranya tapi konsepnya agak menyusahkan. 

Sampai di kelas, aku melangkah masuk dengan tenang. Jam menunjukkan 8.20 pagi. Masih ada 10 minit sebelum kelas bermula. Untuk menjadi mahasiswa cemerlang, salah satu caranya adalah dengan sampai awal ke kelas. Bukan setelah pensyarah sudah mula, baru terhegeh-hegeh nak masuk dan mengganggu syarahan. Jadi, aku menyediakan alatulis dan meletakkannya di atas meja. Aku tekan-tekan meja. Meja tak stabil. Bermakna, ada salah satu kakinya 'cacat' atau terbantut sebab getah bawah hilang. Jadi, dalam keadaan meja yang tak stabil, memang tak sedap nak menulis. Apatah lagi kalau tengah memadam. Memang meja berbunyi sambil meja berlanggar-langgar dengan meja kawan sebelah. Memang tensi.

Solusinya, aku tarik sehelai kertas dari notepad beli kat Mydin semalam, aku lipat kecik-kecik dan lapik kat kaki meja yang 'cacat' tu. Tadaa..Meja jadi stabil dan hati jadi senang. Sementara menunggu pensyarah masuk, aku periksa kondisi alat-alat tulis. Dari pemadam bawak ke pen. Dari blenko bawak ke pensil mekanikal. Oh, aku picit-picit pensil mekanikal tu tak keluar batang grafitnya. Jadi, aku masukkan dakwat ke dalamnya melalui mulutnya. Bukan di bahagian kepala. Kebanyakan pelajar amat malas untuk membuka tudung kepala pensil mekanikal untuk memasukkan dakwat grafit. Solusi mudah ialah melalui muncungnya sahaja sambil tangan perlu menekan pemicit di kepalanya supaya dakwat grafit dapat dimasukkan. Mengikut pemerhatian, masih ada lagi mereka yang sanggup membuka tudung kepala pensil untuk memasukkan dakwat. Teknik ini pun aku belajar dari kawan sewaktu di darjah 3.

Setelah selesai sudah persiapan aku untuk memulakan pembelajaran, aku duduk dengan tenang. Sudah 8.35 pagi. Hamid, seorang wakil kelas untuk subjek Mekanik Bahan ini datang tercungap-cungap. Setelah mengambil nafas kira-kira 30 saat, Hamid memulakan bicara,

"Hari ni kelas cancel. Professor kena pegi Penang, ada conference!"

Suara Hamid perlahan tapi setiap isi kelas dapat mendengar butir-butirnya dengan jelas. Sudah kedengaran pelajar lain menjerit " Yesss!!". Ada yang senyap dan ada yang bersuara dalam hati. Macamlah aku dengar pulak kan. Dan aku?

Aku tidak tahu mahu gembira atau kecewa. Aku blur. Aku bukan saja sudah menyiapkan diri untuk menghadapi syarahan 2 jam hari ini, malah aku sudah pam tayar motor sebelum ke kelas tadi. Hari ini ada satu kelas saja yakni kelas yang baru Hamid kata dibatalkan tadi. 
 

 Aku berjalan longlai ke motor.. Segalanya perlahan. Aku terasa mahu pergi ke I-City malam ni....

Thursday, September 30, 2010

Perusahaan

Aku hirup udara pagi ini dalam-dalam. Cuaca hari ini sangat baik. Tanpa mempedulikan pemanasan global yang kian berlaku, aku hidupkan enjin motor dan memulakan perjalanan. Jiwa hari ini rasa bersemangat untuk ke kelas. Entah kenapa. Mungkin malam tadi mimpi yang indah-indah barangkali. Barangkalilah.

Perjalanan ke kampus mengambil masa lebih kurang 10 minit jika laju. Dan menjadi lebih 15 minit jika perlahan. Laju mana, perlahan mana ikut sukahati korang punya skala lah. Sampai di satu area ni, hidung terbau coklat. Bukan ada coklat mencurah-curah di ladang gandum, sebaliknya aku sedang melalui satu kawasan perusahaan membuat coklat yang dipanggil kilang Cadbury. Jadi, setiap kali aku pergi dan balik dari  kelas, hidung aku 'kenyang'  dengan bau-bauan dari kawasan ini. Sesudah disajikan dengan bauan coklat, hidung aku disajikan pula dengan bau-bauan yang digemari perokok yakni tembakau. Di sebelah kiri jalan terdapat perusahaan membuat rokok tembakau manakala di sebelah kanan perusahaan memasang kereta Toyota. Jadi, setiap hari aku akan melalui kawasan-kawasan perusahaan ini. Dan setiap kali itu jugalah bermacam-macam bau yang akan hinggap di hidung aku saban hari.


Bersambung....

Monday, September 27, 2010

Budu Basi

 


Eh, dekat komputer aku ni ada dekat 200GB movie-movie aku download tapi satu haram pun aku tak tengok lagi. Pergh, apa la nak jadi. Masa...masa...tak pernahnya cukup....

Thursday, September 09, 2010

Raya

Dalam beberapa jam lagi, aku akan berangkat ke kampung halaman tercinta-tempat-jatuh-lagi-dikenang-inikan-pula-tempat-bermain di Parit, Perak. Kampung ini banyak mencatat jutaan memori bagi aku dan di sinilah aku merasakan kehidupan yang betul-betul satu 'kehidupan'. Ah, tak banyak masa yang tinggal dah. Lain kali saja aku ceritakan.

Apapun, kali ni raya mungkin tak semeriah sebelum ini kerana atuk dan opah telah berangkat menunaikan umrah Ahad lepas dan semestinya akang menyambut Aidilfitri di sana. Takkan ada kedengaran suara opah memekik meminta santan untuk menyiapkan lemang atau suara atuk mengarah menambah api untuk membakar lemang. Takkan ada tahun ni semua itu. 

Aku dapat rasakan kebosanan raya kali ni.......


Selamat Hari Raya Aidilfitri. Gunakan Syawal ini sebaiknya dan jangan asyik mengadap tv je. Lainlah aku, takde benda nak buat. Kehkehkeh....


 
Google Analytics Alternative