Aku masih ingat lagi sekitar tahun 1998 apabila ayah mula membeli komputer baru ketika menetap di Cheras. Ketika itu, hati gembira bukan kepalang apabila diimbas semula memori itu kerana itulah komputer pertama yang dibeli keluargaku. Aku kurang ingat berapa harganya ketika itu tapi yang pastinya ia mencecah ribuan ringgit.
Komputer di zaman itu bukanlah seperti sekarang yang boleh dibeli bercerai-berai. Maksudnya, kita boleh memilih spesifikasi yang kita mahukanlah. Tahun 98 tu, komputer didatangkan dengan satu set jenama. Dan jenama yang dibeli ayahku adalah Acer. Ketika itu, Acer adalah nama besar dalam industri perkomputeran. Susah untuk diingati jenama lain yang ada ketika itu. Set Acer didatangkan semua sekali dalam bentuk CPU, monitor, keyboard, mouse dan speaker.
Maka, kami adik beradik bukan main seronok dengan teknologi baru ini kerana ketika itu bukan mudah untuk membeli komputer. Keluargaku melalui pelbagai pinjaman demi untuk mendapatkan 1 set komputer. Banyak prosedur dan karenah birokrasi yang ditempuhi sepanjang proses mendapatkan pinjaman tersebut. Akhirnya, umiku yang bergelar guru berjaya juga mendapatkan pinjaman melalui koperasi guru. Maka, pinjaman ini akan dibayar balik dengan cara pemotongan gaji. Hanya untuk memiliki sebuah komputer, pengorbanan ini dilakukan.
Ketika itu, dapat mengetik mouse dan menaip di papan keyboard adalah suatu saat yang paling indah bagi budak bersekolah rendah seperti aku. Aku menggunakan Word, bermain game atau apa saja eksperimentasi yang boleh dilakukan, aku lakukan pada teknologi ciptaan manusia berilhamkan daripadaNya. Walau asalnya, komputer tersebut dibeli untuk kegunaan umi ku membuat kerja berkaitan sekolahnya tapi kami adik-beradik pula yang berlebih-lebih.
Beginilah lebih kurang rupa Acer (Kredit to odyshape)
Maka, masuk era millenium menandakan permulaan satu lagi teknologi baru yang menerjah Malaysia. Ketika itu, kerajaan giat menjalankan kempen IT iaitu internet. Akulah orang yang bertanggungjawab mendesak dan memujuk ayah supaya memasang internet di rumah. "Dengan internet, kita boleh cari apa saja maklumat yah..". Ayat ini saja yang aku ulang-ulang setiap kali baik di dalam rumah, kereta dan di mana saja. Bertitik tolak dari itu, komputer aku dipasangkan internet sekitar tahun 2002-2003. Aku lupa tahun yang sebenarnya.
Jadi, dengan penambahan internet melengkapkan lagi fungsi sebuah komputer. Jika sebelum ini, komputer asyik dibantai game bola SEGA dan Fifa, jadi, kali ni internet menjadi medium baru buat aku. Apa yang hebat tentang internet ketika itu? Facebook takde. Twitter lagilah. Blog pun mana wujud lagi. YM pun tak wujud lagi atau terma yang bertepatan adalah kurang popular ketika itu. Daya penarik pada internet ketika itu adalah chatting. Aku mula layan main chatting di laman sesawang Cikgu.net. Aku tak tahu ada lagi ke tak entah laman web ni. Masa tu, umi akulah yang rajin membuka portal tersebut dek kerana profesionnya sebagai guru. Aku masa tu sekadar cuba-cuba berjinak untuk bersembang melalui laman chatnya dengan orang lain yang ramai di kalangannya adalah guru. Dari situ, aku belajar bagaimana berkomunikasi melalui alam maya dan mewujudkan satu pengalaman baru bersembang dengan orang yang lebih tua dari aku.
As time goes by, aku bersahabat dengan orang-orang yang lebih tua ni dan wujud satu ikatan erat. Yahoo Messenger pula menjadi pelantar baru untuk berchatting kerana kepelbagaian dan kemudahan yang lebih baik untuk berchatting berbanding di Cikgu.net. Selain itu, wujud MIRC yang mana lebih mendapat sambutan meluas kerana terdapat pelbagai 'room' di dalamnya untuk dipilih. Aku kurang berminat untuk berchatting di sana kerana ia kurang mesra pengguna kerana banyak 'kod-kod' yang perlu ditulis untuk memasukinya. Cuma aku menjadikannya untuk mencari dan mendownload lagu kerana di sinilah lagu-lagu Melayu mudah didapati.
Masa terus berlalu, aku terus menjadikan chatting sebagai hobi di waktu lapang sehingga kadang-kadang masa belajar terabai. Masa makan terlepas. Aku jadi 'kelawar' dengan berjaga malam semata-mata untuk berchatting. Kegiatan ini aku teruskan sehinggalah aku tamat tingkatan 5. Selepas habis PKN, aku menjadi lebih gila berchatting kerana selama 2 bulan menunggu masa result untuk keluar, aku habiskan bersembang di alam maya. Di pelantar YM, bermacam-macam orang telah aku jumpa(ehem-ehem) dan bermacam-macam perangai aku temui. At the end, setiap orang yang aku kenali dan bersahabat di YM, tidak pernah aku jumpa. Aku sekadar berseronok untuk bersembang. Sepanjang tempoh itu, banyak pengalaman-pengalaman manusia yang aku dengar dan yang mana aku boleh bantu, aku berikan nasihat. Dengan cara ini, secara tak langsung telah membina satu kemahiran dalam diri aku yang aku tak boleh nak huraikan di sini.
Setelah memasuki universiti, aku telah hilang minat untuk berchatting lagi. Aku hanya mahu fokus pada pelajaran. Hanya sesekali saja, aku meluangkan masa di YM yang pernah menjadi tempat aku 'tidur',makan dan minum sambil berchatting. Manakala, ada rakan-rakan aku yang baru-baru ini mula nak berjinak dengan YM sambil melahirkan rasa bangga dapat mengurat si gadis di alam maya. Aku hanya mampu senyum kerana mereka baru saja merasai nikmat tersebut jika nak dibandingkan dengan aku. Kahkahkah...Statement berbaur riak bakal mengundang kehancuran. Haha.
Kini, komputer set Acer tu sudah tiada lagi di rumah setelah ditolak kepada orang berminat. Kenangan aku bersama komputer itu juga pergi sekali. Yang tinggal hanya beberapa keping gambar saja ketika aku mula-mula menggunakan komputer itu. Itupun perlu discan dahulu untuk dimuat naik ke dalam blog ni. Ada masa akan aku siarkan. Adakah di YM aku kan bertemu jodoh?Jeng..jeng..jeng..
No comments:
Post a Comment