Thursday, September 22, 2011

Rindu Waktu Dahulu


Tadi semasa saya pulang dari tempat kerja, saya lihat beberapa pelajar sekolah berseluar hijau berjalan ramai-ramai. Mereka pulang dalam keadaan riang dan bergelak tawa bersama rakan-rakan. Secara automatiknya, fikiran saya mula melayang teringat zaman persekolahan saya dahulu. Dari sekolah rendah berseluar biru sehinggalah ke zaman berseluar hijau. Paling meninggalkan kenangan adalah zaman saya bersekolah asrama. Sungguh indah memori saya itu.


Kredit kepada tuanpunya


Sudah tentulah jika saya mempunyai mesin masa, saya mahu mengalami semula zaman tersebut. Namun, sedar tak sedar, semasa kita melalui zaman dahulukala kita, kita kadangkala kalau boleh, taknak lagi melalui zaman persekolahan. Dengan kena beruniformnya, dengan perhimpunan setiap paginya, dengan perlu menghadiri kelas dari pagi ke petangnya, dengan musim peperiksaannya dan macam-macam lagilah yang kita semua bencikan. Cuma, secebis kebencian yang kita pernah rasai dulu itu dapat diganti dan dihiburkan dengan aktiviti sampingan sewaktu di asrama bersama kawan-kawan. 

Dengan 'riot' terjadi setiap kali tiba harijadi lantas berlari sekeliling sekolah dan dicampak dalam kolam, dengan 'fly' hujung minggu dan disambut dengan rotan warden, dengan ponteng prep dan ditampar warden, dengan mengorder piza untuk dikongsi bersama kawan, dan macam-macam lagilah yang tak mampu saya huraikan dengan jari-jemari saya ni. Seperti yang saya katakan, saya hanya mahu merasai detik-detik keseronokan dan keindahan alam semasa menjadi pelajar dulu. Bukannya detik-detik tertekan menghadapi SPM. Itu kalau boleh saya tak mahu ulang lagi.

Tapi, apakan daya. Masa terus berputar. Seandainya mesin masa berjaya dicipta suatu hari nanti, saya percaya, detik-detik dan kenangan yang mengajar kita hari ini pasti akan terhapus. Sejarah mungkin akan berubah. Kita mungkin tidak akan menjadi seperti sekarang. Cuma, kita hanya mampu mengimbas memori lalu dalam kepala kita. 

Terdetik juga saya bahawa saya rasa menyesal bila memasuki alam pekerjaan. Kerana saya masih tidak puas belajar. Saya rasa masih belum puas belajar di universiti. Saya merasakan bahawa terlalu awal bagi saya untuk berada dalam industri kejuruteraan yang tanggungjawabnya sungguh berat ini. Lebih berat daripada pemain bolasepak walhal gaji pemain bolasepak berkali-kali ganda lebih tinggi dari gaji seorang profesional. Itu cerita lain yang akan saya rungkaikan. Bagaimanapun, itulah hakikatnya.

Memang boleh sahaja saya 'belajar' dalam bekerja namun apa yang saya alami sekarang sungguh berbeza. Semuanya menuntut komitmen dan tiada istilah atau masa untuk belajar sekarang. Sebaik saya berada di sini, saya harus mengikut arus deras dan tuntutan tekanan yang tiada kesudahannya. Lantas saya merasakan, semangat saya seperti malap dan hampir padam, tidak seperti waktu awal bekerja dulu. Itu yang menyebabkan saya digamit memori menjadi pelajar dulu dan betapa rindunya saya untuk kembali ke zaman itu. Ya, itu antara sebab saya mengintai kenangan lalu saya.

Saya percaya pada Allah yang memberi rezeki dan segala benda hidup di atas bumi ini adalah di bawah kekuasaanNya. Saya yakin setiap daripada kita pernah rasa ditindas, dimaki hamun dan disepak terajang oleh manusia-manusia sekeliling kita yang kadangkala kita fikir, 'apakah beliau tidak punya perasaan?' Juga berfikiran 'bagaimanakah jika beliau berada di tempat aku?'

Semua itu cabaran bagi setiap manusia dan sekiranya saya sendiri boleh merasa patah dengan cabaran ini, bagaimana dengan manusia lain? Apakah manusia itu boleh 'mati' dengan tekanan atau cabaran yang membelenggu? Tidak mustahil kerana jika tidak, tiadalah orang membunuh diri kerana tertekan. Ah, ada baiknya saya akhiri entri kali ni kerana pada awalnya saya berhajat untuk menulis mengenai zaman belajar saya sahaja dan nampaknya ia sudah pergi terlalu jauh.

Saya berharap saya cuma boleh berasa gembira dengan apa yang saya lalui sekarang kerana mungkin 10 atau 20 tahun dari sekarang, saya cuma boleh tersenyum dengan apa yang berlaku kini. Salam...

Tuesday, September 13, 2011

Dinaungi British


Betul kata seorang profesor kangkung yang mengatakan Malaya tak pernah dijajah. Cuma dinaungi oleh British saja. Tapi dalam sedar tak sedar, orang kita sendiri kini yang memang mintak dinaung. 

Kelab luar ditaja dan diagungkan tapi Liga Super kita ni takdak sapa pun nak taja atau beli. Mengapa Tony Fernandes ni taknak beli Johor FC? Adakah kerana Johor FC tak main Champions League? Kenapa Vincent Tan ni taknak taja Selangor PKNS? Takde market value? Kenapa pulak Genting ni nak taja Aston Villa tapi taknak taja pasukan Perak? Airasia dan MAS pulak kenapa pegi taja QPR? Dah habis pasukan dalam Malaysia ni yang berduit?

Dulu, lepas Dunhill blah, memang tunggang langgang liga kita. Time tu aku ingat lagi takde sapa pun nak taja liga Malaysia. Last-last, TM ambik atas arahan kerajaan tapi tajaan punyalah ciput. Sekarang ni nasib baik Astro mula salur tajaan banyak pada liga kita. Bukannya tak ada company giant dalam Malaysia ni untuk taja liga M tapi semuanya memikirkan pasaran yang lebih besar. Mereka lebih jauh ke depan. Mereka lebih British. Mereka sampah!!

Thursday, September 08, 2011

Pasca Aidilfitri Saya




Aku kira Syawal sudah boleh melabuhkan tirai sebaik sahaja kaki aku menjejak bumi KL hari tu. Memang orang kata sebulan tapi biasanya bagi aku, Syawal sebenar hanyalah apabila aku berada di kampung. Itu puncak kenikmatan sebenar bagi aku kerana di sanalah saja aku menghayati apa erti dan definisi Hari Raya itu. Memang orang KL ada je buat rumah terbuka apa bagai tapi tetap tak dapat melawan keasyikan menyambutnya di kampung. Aku tak dapat bayangkan mereka yang tidak pulang ke kampung untuk beraya. 


Ah, memang susah untuk aku terangkan. Baik nikmat itu atau definisi Hari Raya itu sendiri. Terpulang kepada tafsiran masing-masing. Sama seperti bagaimana kita mentafsir sejarah Bukit Kepong. Ada menjulang Mat Indera dan ada menentang. Itu berbalik kepada tafsiran penulis sejarah itu. Masuk cerita Bukit Kepong la pulak. Nak cerita Bukit Kepong lebih-lebih, tanyalah TV3. Mereka memang arif bak ilmuwan menghunus pedang. Fullstop.

Untuk Hari Raya 1432H kali ni, boleh dikatakan antara raya paling sakan aku pernah sambut. Sakan tahu, sakan? Bukan pasaraya sakan tu. Sakan ni kira memang havoc la. Belum sempat lemang rumah sebelum nak hadam, dah sumbat lemang rumah seterusnya pulak. Itu yang membawa kepada senak perut bila kita tengah duduk. Tapi nafsu nak makan tu sentiasa ada je. Itu bukan pelik sebenarnya kerana Melayu secara tradisinya tidak boleh kenyang dengan hanya makan kuih raya atau lemang. Kita mesti makan nasi baru rasa kenyang. So, jika bertandang ke open house raya, jangan makan nasi.


Sebagai persediaan menyambut raya kali ni memang antara paling down to earth atau paling simple sepanjang aku hidup. Aku hanya beli sepasang seluar dan sebiji songkok buat menyambut raya. Sebelum ni, memang nafsu nak membeli tinggi sebab mak ayah tolong belikan. Sekarang dah ada duit sendiri, macam malas pula nak membeli untuk diri sendiri. Duit raya pun dah tak dapat tahun ni, sebaliknya kena menghulur pulak. 

Bercakap pasal duit raya ni, memang seronok rasanya dapat bagi anak buah dan sepupu duit raya. Rasa membuak-buak nak bagi. Tak tahu sebab apa. Nak kata 'konon macho la tu bagi duit raya kat budak-budak' tak jugak. Lebih kepada rasa seronok dapat menggembirakan orang. Kita pernah lalui zaman menerima duit raya tu dulu, maka tiba masanya kita memberi 'perasaan' itu kembali. Jadi, hulurkanlah duit raya kepada kanak-kanak walaupun sedikit kerana itu sudah cukup memberi mereka makna Raya dalam definisi mereka tersendiri.


Berbalik kepada cerita beraya ke rumah orang tadi, mulai dari hari raya pertama lagi dah berjalan ke rumah sanak saudara. Baik di Parit ataupun nun ke Simpang Pulai sana. Sampaikan ada saudara yang tak pernah-pernah tengok dan kenal selama ni. Ni semua sebab keluarga ayah yang beriya nak jumpa balik saudara-saudara lama. Maka, selama 4 hari aku menyambut raya tak lekat di rumah. Keluor beraya je kojenye. Itu yang dikatakan nikmat Aidilfitri. Sekian, selamat hari raya Aidilfitri.


P/S - Nak beraya kat Kampar je belum berani. :P

Monday, September 05, 2011

65th Mercury


"Mengapa anda tidak membetulkan gigi anda setelah mengecap pelbagai nikmat kekayaan?"


"Saya bimbang jika saya membetulkan gigi saya, anda mungkin tidak akan melihat dan mendengar Freddie Mercury sebagaimana sekarang...."

Waktu Perdanaku

Dulu sekitar tahun 90-an, pada waktu malam atau orang panggil waktu perdana, aku habiskan dengan bersantai bersama keluarga di depan tv menonton cerita-cerita menarik.

Kini menjelang 2000-an, aku mula menghabiskan waktu perdanaku di depan komputer untuk mendapatkan pelbagai maklumat dan hiburan dengan kadar yang lebih pantas.

Zaman kian berubah. Tak kira macamana kita elak sekalipun, kita tetap akan menghadapinya. Juga salah satu sebab aku kurang menonton tv adalah kerana buletin utama TV3 sudah semakin jauh menyimpang dari matlamat asal sebagai wadah menyampaikan berita benar kepada rakyat.

Saturday, September 03, 2011

Pahit


Mat Sabu hanya menyatakan kebenaran. Dan benarlah kebenaran itu memang pahit (bagi sesetengah orang).
 
Google Analytics Alternative