Tadi semasa saya pulang dari tempat kerja, saya lihat beberapa pelajar sekolah berseluar hijau berjalan ramai-ramai. Mereka pulang dalam keadaan riang dan bergelak tawa bersama rakan-rakan. Secara automatiknya, fikiran saya mula melayang teringat zaman persekolahan saya dahulu. Dari sekolah rendah berseluar biru sehinggalah ke zaman berseluar hijau. Paling meninggalkan kenangan adalah zaman saya bersekolah asrama. Sungguh indah memori saya itu.
Kredit kepada tuanpunya
Sudah tentulah jika saya mempunyai mesin masa, saya mahu mengalami semula zaman tersebut. Namun, sedar tak sedar, semasa kita melalui zaman dahulukala kita, kita kadangkala kalau boleh, taknak lagi melalui zaman persekolahan. Dengan kena beruniformnya, dengan perhimpunan setiap paginya, dengan perlu menghadiri kelas dari pagi ke petangnya, dengan musim peperiksaannya dan macam-macam lagilah yang kita semua bencikan. Cuma, secebis kebencian yang kita pernah rasai dulu itu dapat diganti dan dihiburkan dengan aktiviti sampingan sewaktu di asrama bersama kawan-kawan.
Dengan 'riot' terjadi setiap kali tiba harijadi lantas berlari sekeliling sekolah dan dicampak dalam kolam, dengan 'fly' hujung minggu dan disambut dengan rotan warden, dengan ponteng prep dan ditampar warden, dengan mengorder piza untuk dikongsi bersama kawan, dan macam-macam lagilah yang tak mampu saya huraikan dengan jari-jemari saya ni. Seperti yang saya katakan, saya hanya mahu merasai detik-detik keseronokan dan keindahan alam semasa menjadi pelajar dulu. Bukannya detik-detik tertekan menghadapi SPM. Itu kalau boleh saya tak mahu ulang lagi.
Tapi, apakan daya. Masa terus berputar. Seandainya mesin masa berjaya dicipta suatu hari nanti, saya percaya, detik-detik dan kenangan yang mengajar kita hari ini pasti akan terhapus. Sejarah mungkin akan berubah. Kita mungkin tidak akan menjadi seperti sekarang. Cuma, kita hanya mampu mengimbas memori lalu dalam kepala kita.
Terdetik juga saya bahawa saya rasa menyesal bila memasuki alam pekerjaan. Kerana saya masih tidak puas belajar. Saya rasa masih belum puas belajar di universiti. Saya merasakan bahawa terlalu awal bagi saya untuk berada dalam industri kejuruteraan yang tanggungjawabnya sungguh berat ini. Lebih berat daripada pemain bolasepak walhal gaji pemain bolasepak berkali-kali ganda lebih tinggi dari gaji seorang profesional. Itu cerita lain yang akan saya rungkaikan. Bagaimanapun, itulah hakikatnya.
Memang boleh sahaja saya 'belajar' dalam bekerja namun apa yang saya alami sekarang sungguh berbeza. Semuanya menuntut komitmen dan tiada istilah atau masa untuk belajar sekarang. Sebaik saya berada di sini, saya harus mengikut arus deras dan tuntutan tekanan yang tiada kesudahannya. Lantas saya merasakan, semangat saya seperti malap dan hampir padam, tidak seperti waktu awal bekerja dulu. Itu yang menyebabkan saya digamit memori menjadi pelajar dulu dan betapa rindunya saya untuk kembali ke zaman itu. Ya, itu antara sebab saya mengintai kenangan lalu saya.
Saya percaya pada Allah yang memberi rezeki dan segala benda hidup di atas bumi ini adalah di bawah kekuasaanNya. Saya yakin setiap daripada kita pernah rasa ditindas, dimaki hamun dan disepak terajang oleh manusia-manusia sekeliling kita yang kadangkala kita fikir, 'apakah beliau tidak punya perasaan?' Juga berfikiran 'bagaimanakah jika beliau berada di tempat aku?'
Semua itu cabaran bagi setiap manusia dan sekiranya saya sendiri boleh merasa patah dengan cabaran ini, bagaimana dengan manusia lain? Apakah manusia itu boleh 'mati' dengan tekanan atau cabaran yang membelenggu? Tidak mustahil kerana jika tidak, tiadalah orang membunuh diri kerana tertekan. Ah, ada baiknya saya akhiri entri kali ni kerana pada awalnya saya berhajat untuk menulis mengenai zaman belajar saya sahaja dan nampaknya ia sudah pergi terlalu jauh.
Saya berharap saya cuma boleh berasa gembira dengan apa yang saya lalui sekarang kerana mungkin 10 atau 20 tahun dari sekarang, saya cuma boleh tersenyum dengan apa yang berlaku kini. Salam...
2 comments:
tapi bagi pelajar sekolah pula, mereka terasa ingin sekali lepas dari cengkaman sekolah yang membelenggu.
kadang-kala itu, mereka rasakan waktu sekolah waktu paling demmit.
tetapi rasa mereka itu sama sekali bercanggah dengan rasa yang lu hadapi sekarang ini.
tabah bro, tabah.
pengulas sokerleaks komen di blog gua?fuhhh...heehe
betul tu bro..gua mmg rasa macam tu. Dan dulu masa sekolah pun gua rasa demmit betul sekolah ni...
Ish..manusia..manusia...
Post a Comment