Thursday, September 08, 2011

Pasca Aidilfitri Saya




Aku kira Syawal sudah boleh melabuhkan tirai sebaik sahaja kaki aku menjejak bumi KL hari tu. Memang orang kata sebulan tapi biasanya bagi aku, Syawal sebenar hanyalah apabila aku berada di kampung. Itu puncak kenikmatan sebenar bagi aku kerana di sanalah saja aku menghayati apa erti dan definisi Hari Raya itu. Memang orang KL ada je buat rumah terbuka apa bagai tapi tetap tak dapat melawan keasyikan menyambutnya di kampung. Aku tak dapat bayangkan mereka yang tidak pulang ke kampung untuk beraya. 


Ah, memang susah untuk aku terangkan. Baik nikmat itu atau definisi Hari Raya itu sendiri. Terpulang kepada tafsiran masing-masing. Sama seperti bagaimana kita mentafsir sejarah Bukit Kepong. Ada menjulang Mat Indera dan ada menentang. Itu berbalik kepada tafsiran penulis sejarah itu. Masuk cerita Bukit Kepong la pulak. Nak cerita Bukit Kepong lebih-lebih, tanyalah TV3. Mereka memang arif bak ilmuwan menghunus pedang. Fullstop.

Untuk Hari Raya 1432H kali ni, boleh dikatakan antara raya paling sakan aku pernah sambut. Sakan tahu, sakan? Bukan pasaraya sakan tu. Sakan ni kira memang havoc la. Belum sempat lemang rumah sebelum nak hadam, dah sumbat lemang rumah seterusnya pulak. Itu yang membawa kepada senak perut bila kita tengah duduk. Tapi nafsu nak makan tu sentiasa ada je. Itu bukan pelik sebenarnya kerana Melayu secara tradisinya tidak boleh kenyang dengan hanya makan kuih raya atau lemang. Kita mesti makan nasi baru rasa kenyang. So, jika bertandang ke open house raya, jangan makan nasi.


Sebagai persediaan menyambut raya kali ni memang antara paling down to earth atau paling simple sepanjang aku hidup. Aku hanya beli sepasang seluar dan sebiji songkok buat menyambut raya. Sebelum ni, memang nafsu nak membeli tinggi sebab mak ayah tolong belikan. Sekarang dah ada duit sendiri, macam malas pula nak membeli untuk diri sendiri. Duit raya pun dah tak dapat tahun ni, sebaliknya kena menghulur pulak. 

Bercakap pasal duit raya ni, memang seronok rasanya dapat bagi anak buah dan sepupu duit raya. Rasa membuak-buak nak bagi. Tak tahu sebab apa. Nak kata 'konon macho la tu bagi duit raya kat budak-budak' tak jugak. Lebih kepada rasa seronok dapat menggembirakan orang. Kita pernah lalui zaman menerima duit raya tu dulu, maka tiba masanya kita memberi 'perasaan' itu kembali. Jadi, hulurkanlah duit raya kepada kanak-kanak walaupun sedikit kerana itu sudah cukup memberi mereka makna Raya dalam definisi mereka tersendiri.


Berbalik kepada cerita beraya ke rumah orang tadi, mulai dari hari raya pertama lagi dah berjalan ke rumah sanak saudara. Baik di Parit ataupun nun ke Simpang Pulai sana. Sampaikan ada saudara yang tak pernah-pernah tengok dan kenal selama ni. Ni semua sebab keluarga ayah yang beriya nak jumpa balik saudara-saudara lama. Maka, selama 4 hari aku menyambut raya tak lekat di rumah. Keluor beraya je kojenye. Itu yang dikatakan nikmat Aidilfitri. Sekian, selamat hari raya Aidilfitri.


P/S - Nak beraya kat Kampar je belum berani. :P

No comments:

 
Google Analytics Alternative