Monday, April 16, 2012

Perjuangan Bukan Begini


Sebenarnya aku amat bersetuju sekiranya caj pentadbiran PTPTN dimansuhkan, cadangan yang sekian lama telah digembar-gemburkan namun baru kini ia mendapat semula perhatian. Tidak dinafikan caj 3% atau 1% sekalipun, ia tetap akan membebankan pelajar. Sehingga ada yang berpendapat mereka cuma bayar 'bunga' je setiap bulan. Dan hutang kian melambak jika bayaran baliknya rendah.

Ah, isu ni dah basi. Isu pendidikan percuma juga dah basi. Sudah sekian lama aku laungkan akan kepentingan bagi sesebuah kerajaan yang tertegak dengan kuasa rakyat untuk memberikan pulangan semula kepada rakyat dengan menyediakan pendidikan percuma. Ia nampak mustahil. Tetapi yang memalu kompang mengatakan ini adalah mustahil adalah pemimpin sendiri. Jika urus tadbir negara lebih telus dan berhemah, ketidakmustahilan ini adalah hadiah yang ditunggu-tunggu selama ini oleh para rakyat.

Namun, apa yang ingin aku sentuh pada entri kali ni adalah mengenai segelintir mahasiswa yang menyatakan bahawa ia mewakili pelajar yang mahukan PTPTN dimansuhkan bertindak di luar norma sebagai seorang pelajar. Izinkan diri anda untuk menonton sendiri video yang berdurasi hampir 20 minit ini dan kita nilaikan.


Tidak ada salahnya untuk kita berdemonstrasi seperti yang telah dinyatakan di dalam perlembagaan. Tidak ada salahnya jika kita berjuang menuntut hak kita yang selama ini dikaut dan dijadikan sebuah perniagaan. Dan tidak ada salahnya jika kita berjuang di jalan yang betul di mana ia berlandaskan akal dan emosi yang stabil. Ya, aku akui yang mahasiswa yang berdiri hari ini dan sanggup berkhemah di Dataran Merdeka itu memang berani.

Tapi, barangkali mereka sudah terlupa satu perkara bahawa kita adalah manusia yang terikat dengan undang-undang bagi mengawal diri kita sendiri. Apabila pihak DBKL sudah berunding dengan cara yang cukup baik bagi aku, apalah salahnya kita bertolak ansur dan renggangkan ikatan emosi dalam diri. Redakan sedikit kemarahan dan api perjuangan dalam jiwa itu demi satu perkataan iaitu HORMAT.

Adalah perlu bagi kita menghormati undang-undang yang melarang sebarang struktur dibina di kawasan awam tersebut apatah lagi ia kawasan sibuk yang menjadi tumpuan pelancong. Tindakan berkhemah itu aku rasa cukup unik dan mempunyai pelbagai interpretasi yang berbeza bagi setiap individu. Tetapi, apabila tiba arahan yang mana ia berpandukan kepada undang-undang yang sudah tercatit dan sedia difahami, maka adalah akur bagi kita menurut dan tunduk kepadanya.

Manusia dikawal undang-undang. Baik undang-undang manusia itu sendiri ataupun undang-undang Allah Tuhan sekalian alam. Aku kecewa apabila rundingan yang sepatutnya boleh berakhir dengan cara baik tetapi akibat menurutkan perasaan dan perjuangan yang mula kelam, ia menjadi kacau bilau. Lantas ia mampu memberikan tafsiran dan penilaian bagi setiap daripada kita.

Apakah perjuangan mereka ini? Adakah ini yang dikatakan perjuangan? Atau beginikah rentak mereka yang mengaku mahasiswa? Secara peribadi, apabila pegawai DBKL berumur yang berbincang secara baik itu, mereka patutlah akur. Membuka segala peralatan khemah dan membersihkan kawasan persekitaran. Perjuangan Rasulullah dahulu juga tidak memberi kesulitan kepada pihak lain yang tidak terlibat dalam 'perang' mereka. 

Ya, kita berbaliklah kepada perjuangan Rasulullah dahulu. Longgarkan ikatan dan akurlah kepada undang-undang. Mereka boleh saja datang hari-hari berdemo tanpa menaikkan khemah kerana ia adalah sama. Yang penting, adalah 'suara' yang patut didengari. Bukannya 'tindakan' yang akan menyusahkan orang lain. Bayangkan jika anda meniaga burger atau cendol di dataran itu tanpa memohon permit. Apakah kita berani meneruskan perniagaan kita apabila pihak berkuasa datang? Kes berbeza tetapi prinsip sama. 

Hormati undang-undang dan orang akan hormati kita. Apabila tiba kekalutan begini, orang ramai yang semakin mula berdiri di belakang perjuangan revolusi ini, tidak mustahil akan meninggalkan 'barisan' kerana terpinga-pinga dengan perjuangan anak muda ini. Apapun, ini adalah pendapat peribadi aku dan aku cuma berharap mereka yang terlibat dalam perjuangan ini mengisi jiwa mereka dengan 'agama' terlebih dahulu. Dari jiwa yang beragama, nyata akan membuahkan semangat yang berinspirasi dari sirah Muhammad.

Sekian dari aku yang hina...

Sunday, April 15, 2012

MRR2 dan Takdir


Salah satu sifat rahsia aku yang tak diketahui kebanyakan orang ialah sifat ingin tahu aku yang tinggi. Malah adventurous juga. Maka, tersebutlah sebuah kisah yang aku ingin meneroka Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 atau orang biasa panggil MRR2 pada Sabtu lepas. Disebabkan sifat ingin tahu yang menebal dalam dada, maka aku mahu berjalan (atau memandu) hingga ke hujung highway bermula daripada Cheras.

Sebenarnya, MRR2 ni agak panjang juga kerana ia menghubungkan Cheras hingga ke Sungai Buloh setelah aku drive lebih kurang sejam. Dan antara fakta yang tak diketahui ramai, highway ni juga sebenarnya sempadan antara KL dan Selangor. Cuma belah mana sempadannya tu, aku tak berapa pasti. 

Berbalik kepada kisah pengembaraan aku ni, aku telah ditakdirkan lost atau tak tahu mana nak tuju sebaik saja hampir sampai ke Sungai Buloh. Aku terselamat setelah aku nampak signboard menuju ke Shah Alam disebabkan aku biasa sikit jalan-jalan di Shah Alam. Namun begitu, walaupun ia menuju ke Shah Alam, aku still lost kerana jalannya tidak pernah aku lalui sebelum ini.

Disebabkan aku masih lost dan tidak biasa dengan jalan tersebut, aku mengambil keputusan berhenti untuk sembahyang Asar kerana jam sudah pukul 4.30 petang ketika itu. Ditakdirkan, ketika aku nak ke bilik wuduk, aku merasakan suatu pemandangan dan persekitaran yang macam pernah aku lihat sebelum ini. Aku cuba mengingat kembali mengenai masjid yang aku jejakkan kaki ini.

Setelah puas mengingat, aku seakan mendapat satu panduan bahawa aku pernah menjejakkan kaki di masjid ini. Ya, Masjid Darul Salim di Subang 2 inilah yang menjadi tempat aku menunaikan solat Jumaat semasa aku praktikal dulu. Tiba-tiba aku rasa nak menangis kerana dua sebab. Pertama, kerana aku bertemu semula jalan yang aku sesat. Kedua, kerana aku berpeluang menjejakkan kaki di masjid ini lagi setelah lebih dua tahun aku tinggalkan alam praktikal.


Dapat juga aku jejakkan kaki di sini lagi, syukur..


Jadi, alang-alang sudah hampir sampai ke kilang tempat aku berpraktikal, maka aku pun memutuskan untuk menjenguk-jenguk kilang mesin itu. Seronok apabila melihat kawasan kilang dan sekitarnya membangun. Dan paling best, aku dapat berjumpa dengan sahabat dari Bangladesh ketika dia baru pulang dari pasar malam. Aku nak tumpang hantarkan barang dia tapi dia menolak dengan baik. Baik sungguh pekerti pemuda dari bangla ni. 


Kilang biasa-biasa


Dipendekkan cerita, aku pun selamat sampai ke rumah. Kesimpulannya, dalam hidup ni kita kena berani mencuba segalanya (asalkan bukan yang terlarang). Kerana dalam ketidakpastian dan kesamaran itu, pastinya kita akan beroleh sesuatu samada manfaat ataupun pengajaran untuk kita renungkan. Sekian.

Monday, April 09, 2012

Hidup Adalah Indah

.........

2009...

Jam sudah menunjukkan pukul 11.50 malam. Sesi rehat yang pertama bermula. Rakan setugas aku pun mengatur langkah menuju keluar untuk rehat 10 minit. Aku rasakan 10 minit itu agak panjang. Aku mengelamun. Macam-macam pulak yang bermain di fikiran. Kebanyakkannya berkisar mengenai hala tuju masa depan.Tapi semuanya agak kelam. 

Papp!

Rakan aku menepuk bahu aku mengejutkan aku dari lamunan sambil meminta aku pula untuk berehat. Aku dengan penuh sopan santun meminta izin pergi. Aku berjalan kira-kira 3 minit dari tempat aku berdiri tadi menuju ke bangku-bangku kosong di luar kilang. Aku duduk menyandar sambil melepaskan sebuah keluhan sebagai simbolik kepenatan aku berdiri lama tadi. Tanpa mengambil masa lama, aku berdiri kembali kerana rehat hanya 10 minit je pun.

Aku seluk tangan ke dalam kocek seluar mencari-cari duit syiling. Setelah dikumpul-kumpul, cukuplah seringgit semuanya. Satu persatu aku masukkan ke dalam mesin minuman berdekatan bangku-bangku tadi. 

Kling...kling..kling... (bunyi syiling jatuh daa)

Setelah itu, lampu LED mengisyaratkan minuman-minuman yang ada merah menyala. Aku menekan butang air strawberi bergas. Siap sahaja air dituang ke dalam cawan kertas, aku meneguk dengan laju. Lega sungguh rasanya apabila semua dahaga tadi hilang bersama kepenatan. Aku melepaskan keluhan perlahan.

Nampaknya jam di dinding menunjukkan sudah hampir tamat masa rehat 10 minit. Aku harus pergi menyambung kerja di production line. Ketika mengorak langkah, aku mula teringat bahawa esok kemungkinan hari gaji. 

Alhamdulillah. 

Hampir cukuplah duit aku untuk membeli motor terpakai bagi kegunaan aku di universiti nanti.

Aku tersenyum dan mengenggam tangan sambil melangkah masuk ke dalam kilang bagi menyambung kerja.


Kosong

Orang Tengah

Sebenarnya banyak kelebihan apabila kita menjadi konsultan ni. Memang kerja duduk dalam bilik berpendingin hawa je pun tapi kelebihan lain ialah kita menjadi orang tengah. Penghubung antara klien dan kontraktor. Takdelah banyak kelebihan sangat pun.

Cuma, kalau tengahari tu memang jimat duit sikit pasal kontraktor yang akan keluarkan duit bayar makan kita. Tak ke seronok kalau hari-hari ada diskusi dan mesyuarat dengan kontraktor? Tak ke kenyang perut suka hati?


P/S - Say NO to Rasuah!

Tuesday, April 03, 2012

Belajar Takkan Habis

Seringkali orang yang pendek akal mengatakan:

"Wei, kau belajar pun belum habis, nak tunjuk pandai!!"

"Kau belajarlah kasi habis dulu baru join politik!"

"Mak bapak ko bagi duit suruh belajar, yang ko pergi berdemo buat apa?"


Inilah antara ayat yang digunakan apabila ada segelintir pelajar atau mahasiswa terlibat dalam pergerakan politik, beraktivis, berjuang atas nama sosial dan lain-lain. Pada saya, mereka yang melontarkan ayat di atas sebenarnya adalah seorang yang perasan bagus kononnya dia sorang jelah yang dah habis belajar dan berhak join mana-mana parti politik. Ayat tersebut juga menghina golongan mahasiswa apabila ia menafikan hak untuk mereka menyuarakan pandangan walhal Najib sudah tegaskan bahawa AUKU dimansuhkan.

Ayat tersebut juga menyalahi konsep dalam budaya dan agama Islam itu sendiri kerana belajar takkan pernah habis. Kita perlu belajar hingga ke liang lahad. Jadi, jangan kita mendabik dada, menggoncang perut menyatakan bahawa 'pelajar perlu fokus pelajaran saja'. Kamon la. Mahasiswa juga berhak mencampak undi di dalam kotak undi. Mereka bukannya binatang. Sedangkan warga asing pun boleh mengundi sakan apalah sangat undi mahasiswa kan? Sekian, pelajaran untuk mereka yang tiada otak.


 
Google Analytics Alternative