Monday, April 16, 2012

Perjuangan Bukan Begini


Sebenarnya aku amat bersetuju sekiranya caj pentadbiran PTPTN dimansuhkan, cadangan yang sekian lama telah digembar-gemburkan namun baru kini ia mendapat semula perhatian. Tidak dinafikan caj 3% atau 1% sekalipun, ia tetap akan membebankan pelajar. Sehingga ada yang berpendapat mereka cuma bayar 'bunga' je setiap bulan. Dan hutang kian melambak jika bayaran baliknya rendah.

Ah, isu ni dah basi. Isu pendidikan percuma juga dah basi. Sudah sekian lama aku laungkan akan kepentingan bagi sesebuah kerajaan yang tertegak dengan kuasa rakyat untuk memberikan pulangan semula kepada rakyat dengan menyediakan pendidikan percuma. Ia nampak mustahil. Tetapi yang memalu kompang mengatakan ini adalah mustahil adalah pemimpin sendiri. Jika urus tadbir negara lebih telus dan berhemah, ketidakmustahilan ini adalah hadiah yang ditunggu-tunggu selama ini oleh para rakyat.

Namun, apa yang ingin aku sentuh pada entri kali ni adalah mengenai segelintir mahasiswa yang menyatakan bahawa ia mewakili pelajar yang mahukan PTPTN dimansuhkan bertindak di luar norma sebagai seorang pelajar. Izinkan diri anda untuk menonton sendiri video yang berdurasi hampir 20 minit ini dan kita nilaikan.


Tidak ada salahnya untuk kita berdemonstrasi seperti yang telah dinyatakan di dalam perlembagaan. Tidak ada salahnya jika kita berjuang menuntut hak kita yang selama ini dikaut dan dijadikan sebuah perniagaan. Dan tidak ada salahnya jika kita berjuang di jalan yang betul di mana ia berlandaskan akal dan emosi yang stabil. Ya, aku akui yang mahasiswa yang berdiri hari ini dan sanggup berkhemah di Dataran Merdeka itu memang berani.

Tapi, barangkali mereka sudah terlupa satu perkara bahawa kita adalah manusia yang terikat dengan undang-undang bagi mengawal diri kita sendiri. Apabila pihak DBKL sudah berunding dengan cara yang cukup baik bagi aku, apalah salahnya kita bertolak ansur dan renggangkan ikatan emosi dalam diri. Redakan sedikit kemarahan dan api perjuangan dalam jiwa itu demi satu perkataan iaitu HORMAT.

Adalah perlu bagi kita menghormati undang-undang yang melarang sebarang struktur dibina di kawasan awam tersebut apatah lagi ia kawasan sibuk yang menjadi tumpuan pelancong. Tindakan berkhemah itu aku rasa cukup unik dan mempunyai pelbagai interpretasi yang berbeza bagi setiap individu. Tetapi, apabila tiba arahan yang mana ia berpandukan kepada undang-undang yang sudah tercatit dan sedia difahami, maka adalah akur bagi kita menurut dan tunduk kepadanya.

Manusia dikawal undang-undang. Baik undang-undang manusia itu sendiri ataupun undang-undang Allah Tuhan sekalian alam. Aku kecewa apabila rundingan yang sepatutnya boleh berakhir dengan cara baik tetapi akibat menurutkan perasaan dan perjuangan yang mula kelam, ia menjadi kacau bilau. Lantas ia mampu memberikan tafsiran dan penilaian bagi setiap daripada kita.

Apakah perjuangan mereka ini? Adakah ini yang dikatakan perjuangan? Atau beginikah rentak mereka yang mengaku mahasiswa? Secara peribadi, apabila pegawai DBKL berumur yang berbincang secara baik itu, mereka patutlah akur. Membuka segala peralatan khemah dan membersihkan kawasan persekitaran. Perjuangan Rasulullah dahulu juga tidak memberi kesulitan kepada pihak lain yang tidak terlibat dalam 'perang' mereka. 

Ya, kita berbaliklah kepada perjuangan Rasulullah dahulu. Longgarkan ikatan dan akurlah kepada undang-undang. Mereka boleh saja datang hari-hari berdemo tanpa menaikkan khemah kerana ia adalah sama. Yang penting, adalah 'suara' yang patut didengari. Bukannya 'tindakan' yang akan menyusahkan orang lain. Bayangkan jika anda meniaga burger atau cendol di dataran itu tanpa memohon permit. Apakah kita berani meneruskan perniagaan kita apabila pihak berkuasa datang? Kes berbeza tetapi prinsip sama. 

Hormati undang-undang dan orang akan hormati kita. Apabila tiba kekalutan begini, orang ramai yang semakin mula berdiri di belakang perjuangan revolusi ini, tidak mustahil akan meninggalkan 'barisan' kerana terpinga-pinga dengan perjuangan anak muda ini. Apapun, ini adalah pendapat peribadi aku dan aku cuma berharap mereka yang terlibat dalam perjuangan ini mengisi jiwa mereka dengan 'agama' terlebih dahulu. Dari jiwa yang beragama, nyata akan membuahkan semangat yang berinspirasi dari sirah Muhammad.

Sekian dari aku yang hina...

No comments:

 
Google Analytics Alternative