Sunday, October 14, 2012

Ummah Kita


Kata madah pujangga,

Jika mahu diukur kekuatan umat Islam di sesebuah negeri itu, lihatlah pada bilangan jemaah solat lima waktunya.

Saya merasakan madah pujangga ini amatlah benar sekali. Apapun, biarlah saya akui yang saya juga bukanlah manusia sempurna dan terbaik. Dan pastinya, saya sendiri pun tidaklah menunaikan kesemua solat lima waktu secara berjemaah di masjid. Saya sendiri sedang berusaha menuju ke arah itu.


Dan jika dilihat pelbagai ragam manusia dalam kembara saya, saya kadang-kadang tertawa dan kadangkala berat memikirkannya. Jika masuk waktu Maghrib pun, umat Islam masih lagi santai di warung-warung kopi, restoran ataupun di kompleks beli-belah. Yang mana bersemangat mahu menunaikan ibadah solat tu, tahniah saya ucapkan.


Namun, bagi yang masih lagi bergelak ketawa di kedai makanan, galak berhibur di pusat beli-belah, saya cukup kecewa dan sedih. Saya tambah sedih apabila saya sendiri tidak dapat menasihati mereka. Tambah lebih pedih, adakalanya saya juga seperti mereka. Nauzubillah.




Sila berkunjung ke gerai di atas tanpa mengabaikan solat anda


Dalam kepesatan teknologi yang bercambah, sepatutnya tiada halangan untuk kita menunaikan ibadah dan menyembah kepada Pencipta yang telah meletakkan kita di muka bumi ini untuk menjadi sang khalifah. Tetapi mungkin dengan kepesatan teknologi inilah yang membuatkan manusia semakin alpa dan lalai menjalankan tanggungjawab mutlak mereka.

Saya berharap benar kepada diri saya dan umat Islam agar memperkuatkan jemaah kita dengan meningkatkan bilangan umat di masjid-masjid. Biar sesibuk mana pun kita, pastikan kita berjemaah. Walaupun hanya ada imam dan seorang makmum, itu sudah dikira pencapaian minimum yang sehabis baik.

Tidak guna kita berdebat dan bertikam lidah mencaci pemimpin yang tidak sayangkan Islam jika kita sendiri tidak memperkasakan ummah kita. Sejujurnya saya sedih dengan nasib Islam hari ini.

Sekian, pesanan untuk diri saya yang lemah ini.

No comments:

 
Google Analytics Alternative