Friday, November 16, 2012

Pray For Gaza


Di ketika ini, Gaza sedang diserang hebat sehingga dikhabarkan 13 orang maut dan lebih 120 orang cedera. Dan lebih menyayat hati, ketua briged Hamas, Muhammad al Jabari telah terkorban. Maka, sekali lagi umat Islam Malaysia menggesa kempen boikot barangan Yahudi dimulakan semula. Suatu usaha yang kadang-kadang timbul, kadang-kadang tenggelam. Bagi saya, perlu ada usaha konsisten dalam memboikot produk Yahudi ini. Bukan hanya tiba waktu peperangan sahaja.

Maka, saya teringat pada buku tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi. Beliau berkata, usaha boikot ini walaupun nampak kecil tapi Insyaallah apabila ditanya Allah kelak, apa yang kita buat bagi membantu rakyat Palestin, sekurang-kurangnya inilah usaha kecil kita. Seperti kisah burung yang membantu memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim di zaman pemerintahan Raja Namrud.

Dan yang paling mustahak di zaman sekarang ini bagi menentang Yahudi adalah kita sendiri. Umat Islam sendiri. Daripada buku tersebut, kita sendiri perlu kuatkan ummah kita, kuatkan akidah dan akhlak kita. Perbaiki solat kita dan hiduplah berlandaskan syariat Islam. Inilah kaedah sebenar untuk kita melawan Yahudi. Daripada hati yang bersih dan penuh dengan nilai-nilai Islam ini, Insyaallah Yahudi akan tumbang.

Sama-sama kita berdoa dan melakukan qunut nazilah untuk kemenangan umat Palestin di sana. 




Wednesday, November 07, 2012

Teman Dari Sabah


Saya tahu bukannya senang untuk kita memasuki mana-mana universiti awam tempatan jika tidak cemerlang. Persaingannya tinggi dan sengit. Jadi, sekiranya tawaran daripada IPTA diperolehi, janganlah adik-adik siakan. Kadang-kadang, kita belum cuba tapi sudah mengalah. Ceritanya begini....

Semasa saya mula-mula memasuki UiTM di Pulau Pinang tujuh tahun dahulu, ramai rakan saya datang dari berbilang negeri. Ada daripada Kelantan, Johor, KL dan juga Sabah. Alkisahnya, saya mengenali seorang budak Sabah yang tutur katanya begitu lembut dan bersuara halus. Selesai tempoh minggu suaikenal (atau apa saja term yang digunakan untuk minggu tu), aku tengok dia menggalas beg dan bermacam-macam barang dibawaknya di lobi hostel.

Aku menyapanya dan bertanyakan mahu ke mana. Dijawabnya, menunggu pakciknya datang jemput.

"Buat apa pakcik ko datang ni?"

"Aku nak berhenti..."

"Hah?"

"Ya, aku tak boleh di sini. Aku tengok buku-buku kejuruteraan semuanya tebal-tebal belaka. Takut aku.."

"La..buku memanglah tebal. Bukannya kena hafal semua dari buku tebal tu.."

"Takpalah...Aku nak try mohon politeknik ni. Studynya nanti takdelah tertekan sangat bah..."

Belum sempat aku menasihatkannya, pakciknya sudah tiba. Seraya itu, mereka bergerak keluar dari kawasan hostel setelah memasukkan barang-barang ke dalam kereta. Aku sedih.

Aku sedih kerana tak sempat pujuk dia untuk mencuba. Sekurang-kurangnya mencuba untuk menempuh pengajian diploma ni dahulu. Sayang sekali. Namun, aku berharap beliau sudah berjaya mencapai cita-citanya. Insyaallah.

Thursday, November 01, 2012

Angan-Angan Ku Di Suatu Masa


Tadi selepas selesai saya menghantar dokumen di Putrajaya, saya singgah sebentar di Alamanda untuk berjalan-jalan. Tidak adil rasanya jika saya membiarkan penjawat awam saja yang menghabiskan waktu petang mereka di Alamanda. Maka, saya tampil di Alamanda bagi mewakili penjawat sektor swasta untuk menghabiskan saki baki waktu kerja saya.

Bukan ada benda saya nak beli sangat pun. Cuma saya melepaskan tekanan kerja yang banyak terbeban di bahu ini. Saya sempat singgah di kedai pertama yang saya masuk iaitu MPH. Nampak banyak juga buku-buku bagus sekarang ni. Banyak orang sudah boleh menulis dan menerbitkan buku sendiri. Saya membelek buku tulisan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertajuk Fearless: From Kampung Boy to CEO. Agak menarik dan berinspirasi. Namun, di awal bukunya, beliau mengingatkan buku itu bukanlah untuk memberi motivasi tapi memang ceritanya begitu. Haha. 




Selain itu, saya lihat Pekin Ibrahim juga ada menulis. Dan sama seperti Tan Sri, beliau menulis mengenai kisah hidupnya yang dibesarkan di Kelantan dan merantau hingga ke Kuala Lumpur. Sebenarnya, buku bercorak biografi sebegini memang menjadi kegemaran saya. Dan paling saya suka adalah buku tulisan Dr. Hasrizal iaitu Aku Terima Nikahnya. Corak persembahan dan bait kata yang digunakan sangat menangkap dan dekat dengan pembaca. Pendek kata, mudah dihadam. Berbeza dengan buku tulisan Hilal Asyraf yang kadangkala agak berpuitis dan bahasa yang digunakan agak 'tinggi' untuk dicapai. Maaf ye, sekadar pandangan dari hati kecil ini.

Namun, buku tulisan Tan Sri dan Pekin Ibrahim itu tidaklah pula saya beli. Saya takut apabila saya beli nanti, ia akan dimamah habuk. Sebab saya ni masalahnya agak sukar menghabiskan bacaan. Buku Tora Si Harimau Jadian yang menarik tu pun saya sukar untuk habiskan. Bila berhenti, susah nak sambung baca balik. Jadi, kepada para penulis, sila hasilkan buku yang lebih nipis dan pendek ye. Haha.



Sebagai penutup, saya berharap agar saya juga mampu menerbitkan buku saya sendiri satu hari nanti. Atau sekurang-kurangnya mungkin tulisan saya di Warkah Kembara ini akan saya bukukan supaya saya dapat membelinya, dapat membacanya dan dapat menghabiskannya sendiri! (Mari gelak!). Di akhir persinggahan ini, saya menyibukkan diri di kedai Famous Amos bagi membeli biskut sekeping dua kerana perut agak lapar. Sekian, sajalah kembara saya di Alamanda tersebut.

Apa Cerita Plaza Rakyat?


Agaknya apa nasib Plaza Rakyat ni? Saya dengar akan ada pembangunan di tapak yang terbengkalai ini. Tapi itu kata menteri tahun lepas. Tahun ni saya tak update lagi ceritanya.

Susah-susah kita runtuhkan Penjara Pudu tu tapi kita lupa yang tanah bagi cadangan pembangunan Plaza Rakyat ni masih tak terusik. Kalau harga tanahnya masih rendah, saya rela beli tanah tersebut. Bukan senang nak ada tanah di tengah kotaraya Kuala Lumpur ni.






Mutakhir Ini


Saya melihat situasi politik Malaysia kini berada di saat paling tegang dan susah untuk dihadam. 

Pemimpin kerajaan sesuka hati menghabiskan duit cukai rakyat dan mengagihkan kekayaan kepada kroni. AES digunakan untuk memerangkap rakyat bagi mencari untung atas angin dengan kadar segera. Balak di Sarawak ditebang dan kekayaannya diagihkan kepada kroni ketua negerinya sementara masih banyak lagi rakyat yang merempat. Pemberian kad pengenalan kepada warga asing secara besar-besaran di kala ini bagi memastikan pengekalan kuasa dan tampuk pemerintahan.

Kerajaan Selangor diserang dari pelbagai arah dan cara bagi memastikan rakyat keliru dan kembali menukar kepada kerajaan lama. Hudud diketawakan dan dijadikan alat menakut-nakutkan rakyat bukan Islam. Bermacam-macam lagi yang kita boleh tampil dan bentangkan di atas meja perbincangan samada masih rasional atau tidak bagi kita mengekalkan parti yang telah lama memerintah selama lebih 50 tahun.

Masa semakin suntuk. Jika keadaan ini tidak dicegah, saya percaya ini akan mengakibatkan negara berhadapan dengan krisis yang sudah tentu kita semua tidak inginkan. Isu pemberian kerakyatan kepada warga asing ketika inilah yang membimbangkan saya. Apakah nasib generasi masa depan?

Maafkan saya jika posting ini berunsur politik tapi anda berhak menyatakan tidak kepada apa yang saya cuba sampaikan ini. Sekian.
 
Google Analytics Alternative