Thursday, November 01, 2012

Angan-Angan Ku Di Suatu Masa


Tadi selepas selesai saya menghantar dokumen di Putrajaya, saya singgah sebentar di Alamanda untuk berjalan-jalan. Tidak adil rasanya jika saya membiarkan penjawat awam saja yang menghabiskan waktu petang mereka di Alamanda. Maka, saya tampil di Alamanda bagi mewakili penjawat sektor swasta untuk menghabiskan saki baki waktu kerja saya.

Bukan ada benda saya nak beli sangat pun. Cuma saya melepaskan tekanan kerja yang banyak terbeban di bahu ini. Saya sempat singgah di kedai pertama yang saya masuk iaitu MPH. Nampak banyak juga buku-buku bagus sekarang ni. Banyak orang sudah boleh menulis dan menerbitkan buku sendiri. Saya membelek buku tulisan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertajuk Fearless: From Kampung Boy to CEO. Agak menarik dan berinspirasi. Namun, di awal bukunya, beliau mengingatkan buku itu bukanlah untuk memberi motivasi tapi memang ceritanya begitu. Haha. 




Selain itu, saya lihat Pekin Ibrahim juga ada menulis. Dan sama seperti Tan Sri, beliau menulis mengenai kisah hidupnya yang dibesarkan di Kelantan dan merantau hingga ke Kuala Lumpur. Sebenarnya, buku bercorak biografi sebegini memang menjadi kegemaran saya. Dan paling saya suka adalah buku tulisan Dr. Hasrizal iaitu Aku Terima Nikahnya. Corak persembahan dan bait kata yang digunakan sangat menangkap dan dekat dengan pembaca. Pendek kata, mudah dihadam. Berbeza dengan buku tulisan Hilal Asyraf yang kadangkala agak berpuitis dan bahasa yang digunakan agak 'tinggi' untuk dicapai. Maaf ye, sekadar pandangan dari hati kecil ini.

Namun, buku tulisan Tan Sri dan Pekin Ibrahim itu tidaklah pula saya beli. Saya takut apabila saya beli nanti, ia akan dimamah habuk. Sebab saya ni masalahnya agak sukar menghabiskan bacaan. Buku Tora Si Harimau Jadian yang menarik tu pun saya sukar untuk habiskan. Bila berhenti, susah nak sambung baca balik. Jadi, kepada para penulis, sila hasilkan buku yang lebih nipis dan pendek ye. Haha.



Sebagai penutup, saya berharap agar saya juga mampu menerbitkan buku saya sendiri satu hari nanti. Atau sekurang-kurangnya mungkin tulisan saya di Warkah Kembara ini akan saya bukukan supaya saya dapat membelinya, dapat membacanya dan dapat menghabiskannya sendiri! (Mari gelak!). Di akhir persinggahan ini, saya menyibukkan diri di kedai Famous Amos bagi membeli biskut sekeping dua kerana perut agak lapar. Sekian, sajalah kembara saya di Alamanda tersebut.

No comments:

 
Google Analytics Alternative