Sebenarnya jika anda menjadi seorang jurutera, khususnya seorang jurutera mekanikal, adalah menjadi impian setiap jurutera itu bekerja di dalam bidang Minyak dan Gas atau lebih mesra dipanggil Oil and Gas (O&G). Selain daripada faktor gaji yang besar, kekerapan berjalan ke luar negara adalah pilihan utama bagi mereka yang berminat menceburinya. Saya katakan jurutera mekanikal adalah kerana bidang mekanikal saja yang dilihat mempunyai peluang cerah untuk 'dicampakkan' ke mana-mana bahagian dalam O&G.
Cabang lain kejuruteraan bukannya tak ada, cuma mekanikal yang dilihat lebih besar pilihannya di dalam segmen ini. Bagi saya, adalah satu kerugian jika seseorang jurutera mekanikal itu tidak mengoptimumkan ijazah yang diperolehi jika tidak menyertai segmen yang mampu menjana pendapatan beribu-ribu ini. Namun, bukanlah satu kegagalan sepenuhnya apabila jurutera mekanikal tidak 'terjun' ke bidang O&G sebaliknya, ini antara cara cepat untuk mengumpul wang bagi kegunaan berkahwin atau membeli rumah.
Maka, ia pastinya menjadi impian saya juga untuk bekerja di dalam bidang O&G ini dan apabila mendengar berita kawan-kawan bekerja di Petronas, MMHE, Schlumberger, Oceaneering dan lain-lain, hati siapa yang tidak terbakar. Terbakar ini adalah satu motivasi diri apatah lagi melihat rakan-rakan O&G dengan bangga menayang kemewahan (tayang cek, melancong, kereta mahal) mereka di Facebook. Merasa dengki itu jauh sekali sebaliknya saya jadikan ia satu semangat pada diri untuk menjadi seperti mereka atau menjadi lebih baik lagi.
Namun, bagi adik-adik yang terbaca artikel ini, anda harus ingat bahawa bekerja di O&G bukanlah satu-satunya pilihan yang ada untuk memperolehi pendapatan tinggi. Masih terdapat bidang lain yang masih mampu menyaingi kehebatan bekerja di O&G ini seperti bidang bekalan air, fire fighting, automotif dan macam-macam lagi. Cuma bezanya cepat atau lambat saja. Dan biasanya jurutera O&G ini akan end up menjadi pensyarah. Bayangkan, siapa yang tahan jika sentiasa kerja 6 hari seminggu dan asyik outstation saja. Anak bini macamana? Kehidupan sosial anda? Jadi, jangan ingat wang ringgit saja menjadi impian anda.
Jika boleh, kumpul seberapa banyak pendapatan di O&G dan selepas 10 tahun, sudah boleh mula memohon menjadi pensyarah atau buka bisnes sendiri. Itu sekadar pendapat hasil dari pemerhatian dan cerita rakan-rakanlah. Semuanya terpulang kepada kita. Pendek kata, jika mempunyai ijazah mekanikal, jangan takut untuk ke mana-mana kerana semua rezeki datang daripada-Nya. Malah, kalau tiada ijazah pun anda boleh jadi kaya. Nak atau taknak je. Tapi saya tetap bercita-cita terjun ke O&G satu hari nanti. Doakan saya ye...