Pada Jumaat lepas, aku turun ke site di Bukit Beruntung bagi membuat beberapa pemeriksaan berkaitan mekanikal dan elektrikal bersama pihak kontraktor. Disebabkan habis awal, aku membuat keputusan untuk solat Jumaat di area KL sahaja. Jadi, entah tidak semena-mena, aku telah ditakdirkan sesat hingga ke Jalan Ipoh walhal aku memang biasa balik daripada Bukit Beruntung tu. Entah macamana aku rasa macam nak ikut jalan lain, tup-tup, sesat terus.
Disebabkan aku membazir masa mencari jalan keluar daripada Jalan Ipoh tu, aku mengambil keputusan untuk bersolat Jumaat di masjid berdekatan. Dan yang berdekatan yang aku tahu ialah di Bandar Tun Razak. Kehkehkeh..bukan main jauh lagi. Memandangkan khatib sudah membaca khutbah, aku sempat bersolat di ruang bawah masjid.
Tidak sempat mengambil gambar petang itu, maka aku copy dari google.
Kali terakhir aku solat di masjid ini adalah semasa aku bersekolah rendah dan menengah dahulu. Itu lebih kurang 14 tahun dahulu. Tidak banyak yang berubah baik di dalam mahupun luar. Aku masih ingat lagi kepayahan yang ditempuh oleh ayah aku yang sanggup keluar dari pejabat di tengah KL semata-mata untuk mengambil aku dan abang aku bersolat di Masjid Saidina Uthman ni. Dan biasanya apabila kami sampai, khatib sudah hampir habis membaca khutbah. Kami terpaksa mencari ruang-ruang bagi membolehkan kami bersolat secara berjemaah.
Kadang-kadang, terpaksa bersolat di atas tar dan di laluan pejalan kaki kerana keadaan di dalam masjid sudah penuh. Kadang-kadang hujan rintik-rintik dan adakalanya panas ya amat. Semua itu antara rencah yang mewarnai kenangan aku dan ayah aku ketika bersolat di sana. Pastinya, ayah aku perlu bergegas pulang ke pejabat setelah selesai menghantar aku ke rumah. Bayangkan rutin ini berterusan selama beberapa tahun. Bukan mudah untuk menjadi seorang ayah, apatah lagi yang bertanggungjawab.
Aku teruskan perjalanan pulang ke pejabat petang Jumaat itu dengan membawa pulang sebuah kesedaran bahawa aku perlu bersyukur di atas segala nikmat yang dikurniakan Allah terhadap aku dan keluargaku. Juga menghargai apa yang telah dilalui supaya kita jadikan iktibar di masa depan. Sambil aku harus terus berkelana di atas muka bumi yang diciptakan-Nya mencari rezeki tanpa lupa menyebut kalimah-kalimah memuji Allah. Insyaallah.
No comments:
Post a Comment