Wednesday, June 19, 2013

Khabar Dari Seongnam


Seingat saya, kali terakhir saya memasak lauk pauk adalah semasa saya menuntut dahulu. Lebih kurang pada tahun 2011 yang lalu. Selepas itu, jarang sekali saya memasak lauk berat. Ah, ketika belajar dahulu pun bukan berat mana pun saya masak. Paling berat adalah memasak ikan bilis menggunakan sambal tumis segera. Lain-lainnya saya cuma menjadi pembantu masakan sahaja.

Kini, di Seongnam, Korea, saya kena belajar masak sendiri. Panduan yang ada hanyalah sekadar di belakang paket segera. Kalau belajar dahulu, boleh juga saya selang-selikan dengan makan di luar. Tapi di sini, untuk mencari makanan halal bukan mudah. Terdapat beberapa kawasan sahaja yang mempunyai makanan halal. Paling popular (saya rasalah), restoran-restoran Muslim di Itaewon di dalam daerah Seoul. 

Jadi, mahu tidak mahu, hari-harilah saya dan rakan sorang lagi memasak. Kadang-kadang rasa sepi. Kadang-kadang rasa hepi. Tetapi, moga pengalaman ini mengajar saya kelak.

Monday, June 10, 2013

Bukit Beruntung Yang Tak Beruntung


Sesungguhnya, rasa kecewa yang amat sangat menerpa ke dalam hatiku sebaik melihat apa yang diusahakan oleh aku sebagai konsultan dan pihak kementerian sebagai tukang keluar duit menjadi hancur lebur. Benarlah orang kata, Bukit Beruntung sekadar nama. Bukit Beruntung yang sebenarnya tidak ada untung.



Saturday, June 08, 2013

Manusia Bencikan Ilmu


"Woi Jali, kau nak pergi China kan nanti? Aku nak kirim barang. Sana tempat shopping murah woo.."

"Wah, kau nak gi Bandung ya esok? Nanti, bolehlah shopping-mopping!!"

" Seronokla kau gi Eropah. Boleh beli banyak barang murah nanti.."



Seringkali aku dengar dialog di atas dituturkan ketika seseorang itu mahu berlepas tidak kira penerbangan di dalam atau di luar negara. Mengapa manusia suka menghabiskan duit di atas benda yang hampir sama yang boleh didapati di tempat sendiri? Tidak banyak pun bezanya jika kita membeli di luar atau di tempat sendiri. Bukankah lebih baik jika perjalanan kita itu dijadikan peluang untuk mengejar ilmu? Jarang aku dengar orang berkata..

" Woi Jali, kau nak pergi China kan nanti? Jangan lupa berkunjung ke tempat bersejarah. Pelajari bagaimana China membangunkan negara melalui sistem komunis mereka ya!"

" Wah, kau nak gi Bandung ya esok? Nanti jangan lupa berkunjung ke Muzium Geologi Bandung. Boleh lihat dan pelajari fosil-fosil serta geologi Bandung dari aspek kawalan gunung berapi.."

" Seronokla kau gi Eropah. Boleh kau pelajari mengapa Jerman membina Tembok Berlin yang memisahkan Jerman Barat dan Jerman Timur di muzium dan arkib di sana!"


Jarang. Sangat jarang aku dengar. Manusia itu malas.

Diari Emosi Si Pitung


Si Pitung adalah seorang anak yang baik. Cuma kadang-kadang dia agak emosi. Kadangkala dengan ibubapanya pun dia boleh emosi. Emosi dalam konteks ni adalah macam tinggikan suara atau merajuk. Lebih kurang macam itulah.

Suatu hari, nak dijadikan cerita, Si Pitung ni pinjam kereta ayahnya untuk berkelana ke suatu tempat. Ayahnya pun macam biasa, izinkanlah. Dalam perjalanan pergi, tiada masalah. Masalah muncul semasa dalam perjalanan pulang. Tiba-tiba, kereta Si Pitung yang dipinjam dari ayahnya mengalami masalah kunci. Keretanya sentiasa berbunyi dalam perjalanan kerana remote pada kunci tersebut bermasalah. Malu betul Si Pitung pada rakan-rakannya yang menumpang sekali. Lebih kurang sejam perjalanan jugalah perkara itu terjadi.

Sampai di rumah ayahnya, dengan tidak mengucapkan salam, Si Pitung pun terus campak kunci kereta ayahnya ke dalam mangkuk cawan yang digunakan sebagai tempat meletak kunci. Si Pitung marah pada ayahnya di atas kerosakan remote tersebut. Disebabkan remote kereta tersebut bermasalah, Si Pitung terpaksa menanggung malu dengan rakan-rakannya. Ayahnya seakan terkejut kerana bukan sahaja anaknya tidak mengucapkan salam masuk sebaliknya dimarahi pula. 

Tetapi, ayahnya sabar sahaja. Si Pitung pula terus masuk ke dalam bilik. Sebaik siap mandi, beliau terperasan satu benda di katil. Selimut yang sudah lusuh digunakannya sudah tiada lagi. Cuma terdapat sehelai selimut yang seakan kelihatan baru berlipat kemas di atas bantal. Si Pitung segera mendapatkan ayahnya.

"Ayah, ni selimut baru ke?"

"Haah, ambillah nak. Ayah dah ganti dengan selimut yang baru.."

"Mana selimut lama?"

"Oh, selimut lama kamu ada nak. Ayah sudah jahitkannya. Ada di atas katil belah atas tu nak.."

"Ermm..ok", ringkas jawapan Si Pitung.

Malam itu, Si Pitung rasa bersalah. Bukan salah ayahnya jika remote itu rosak. Tetapi disebabkan emosi, ayahnya yang menjadi sasaran melepaskan marah. Tidak lena tidur Si Pitung malam itu. Sedangkan Si Pitung pun tidak dapat tidur lena, apatah lagi ayahnya.

"Maafkan Pitung ayah...", getus Si Pitung di dalam hati..

Jerman dan Cabaran Makanan Halal


Maafkan saya kerana sekali lagi saya bercerita mengenai Jerman. Bukan apa, banyak kisah yang saya ingin nukilkan di sini. Dan kadang-kala ia terlintas di fikiran secara tiba-tiba. 

Makanan halal sebenarnya tidak ada masalah jika anda berada di Frankfurt. Cuma, apabila di Stuttgart, mungkin agak sukar untuk mencari makanan Islam. Semasa saya mula tiba di Hidelfingen iaitu satu daerah kecil di dalam Stuttgart, memang makanan halal adalah satu isu. Saya bersama pihak operator air dan kontraktor tiba di situ pada sebelah petang. Selepas meletakkan beg, kami berhajat untuk mencari makanan di sekitar tempat penginapan. 

Waktu ketika itu sudah mencecah jam 8 malam namun, suasana pekan kecil itu ibarat pekan koboi. Semuanya sudah gelap dan 'mati'. Kedai-kedai di sepanjang jalan kebanyakkannya tutup. Kami agak kecewa apabila mendapati sebuah kedai menjual kebab yang terletak kira-kira 1 kilometer dari hotel telah tutup. Maka, kami putuskan untuk membeli air mineral saja di sebuah stesen minyak 24 jam di sebelah hotel.

 Air mineral ada gas. Pelik rasanya


Ketika itu, pihak operator air (Salim - bukan nama sebenar) memutuskan untuk pulang ke hotel setelah selesai membeli air mineral tersebut. Manakala, pihak kontraktor (Chong -juga bukan nama sebenar) mengajak aku mencari apa saja makanan yang ada di kafe hotel. Melihat kepada menu hotel tersebut, aku tidak tahu hendak makan apa kerana kesemuanya diragui. Kemudiannya, aku bertawakal kepada Allah Maha Pemberi Rezeki untuk memesan salad sahaja untuk sekadar mengalas perut malam itu. Rasa salad Eropah yang agak berbeza menyebabkan aku tidak dapat menghabiskannya. Sudahnya malam itu, aku bantai makan megi cawan yang dibawa dari Malaysia kerana kelaparan ya amat!


Syukur kepada Allah


Alhamdulillah, keesokannya, kami semua dapat menikmati kebab di sebuah restoran kecil yang tidak jauh dari hotel. Satu lagi kejadian yang berlaku semasa aku di Frankfurt pula adalah satu iktibar untuk aku. Ketika aku berjalan di Zeil sekitar 10 malam (di sini keadaannya happening dan masih banyak kedai beroperasi), aku dan Chong cuba mencari kedai makanan Islam yakni halal, namun memang tak jumpa. Disebabkan kelaparan akibat cuaca yang sangat sejuk, kami bersepakat makan di McDonalds di situ.


 Maafkan aku


Sebenarnya, keputusan untuk makan di McD bukanlah satu keputusan yang baik namun, dalam keadaan mendesak dan aku kira darurat sebegini, aku perlu makan untuk mengalas perut. Aku bertawakal dan kemudiannya cuma memesan burger ikan dan air kopi saja. Apa yang menarik di Jerman mengenai restoran makanan segera ini adalah pelanggan perlu mengemaskan meja sendiri dan meletakkan sampah-sampah dan sisa makanan di dalam dulang seterusnya diletakkan di tempat yang disediakan. Aku perhati memang ramai warga Jerman yang berdisiplin di sini. Mampukah negara kita melaksanakan sistem sebegini? Tidak mustahil.

 Nasi beriyani Pakistan


Jus oren Stuttgart


Di Frankfurt, tidak sukar untuk mencari restoran halal. Banyak restoran Pakistan terdapat di sekitar pusat bandaraya Frankfurt. Namun, pastikan kita sudah membuat sedikit kajian sebelum berkunjung ke mana-mana. Suatu iktibar untuk aku teladani di masa akan datang.


Monday, June 03, 2013

Memaki Perbadanan


Petang tadi aku mendapat sepucuk surat bertulis 'Urusan Seri Paduka Baginda'. Ah sudah, aku kena panggil untuk terima Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri ke? Pandangan aku meleset kerana di atasnya tertera nama penuh PTPTN. Bosan sungguh aku melihat surat penyata pinjaman ini. Barangkali, peminat PTPTN saja yang suka menerima kiriman surat sebegini.

Aku bukak dengan berhati-hati. Sebaik saja aku melihat baki penyata tersebut yang bertulis RM7,100, aku mula kecewa. Seingat aku, aku pinjam RM7,500 daripada PTPTN. Campur ujrah apa semua, ada la dalam RM7,700 keseluruhan pinjaman. Aku kecewa bukan apa. Aku bayar sejak awal tahun lepas dengan sebulan sekali aku memasukkan RM100 ke dalam bil bayaran. Takkanlah sudah genap setahun, jumlah bayaran balik hanya RM600?



Tanpa membuang masa, aku capai telefon dengan rasa marah. Aku dail nombor hotline yang tertera di belakang penyata tersebut. Aku dengar dulu operator merepek dan kemudian baru aku disambungkan kepada operator wanita. Aku tanya "Kenapa baki bayaran saya tak jauh beza cik?".

"Yang tu baki tahun lepas. Setakat 31 Disember 2012." jawab wanita tersebut setelah memeriksa butiran peribadi aku.

"Oh, ni tahun lepas la? Jadi, berapa baki sebenar saya setakat ni?" aku bertanya kembali.

"Baki pinjaman diploma encik berjumlah RM6,7**.**. Encik kalau nak bayar ikut online, encik kena klik pada bayaran Ujrah. Encik didapati ada buat bayaran konvensional (konvensional ni pinjaman degree aku) sebanyak sekali dalam tahun ni," terang operator wanita tu panjang lebar.

"Oh, maknanya, saya ada tersilap bayar ke pinjaman degree la ni?"

"Ya encik.."

Setelah selesai mengucapkan terima kasih, aku meletakkan telefon. Aku pun tak tahu kenapa aku tak jadi nak maki. Samada kesilapan aku atau operator wanita itu yang membuatkan aku tak jadi nak maki. Apapun, aku tetap merasakan bayaran balik yang dibuat saban bulan tidak setimpal dengan baki yang tinggal. Yang inilah orang BN suka. Bayar pinjaman PTPTN bersama caj yang merepek. Entah apa yang diorang ni suka sangat, aku pun tak tahu.

Tiba-tiba, seekor kucing lalu di sebelah aku dan bersuara,

"Hek eleh, selalu pegi oversea pun nak berkira ke bayar PTPTN? Bersyukur la sikit brader.."

Terus aku tendang kucing itu melepasi Selat Tebrau.

Winter Sonata


Dalam tahun 2013 ni, sudah tiga buah negara orang telah aku lawati. Ketiga-tiganya atas urusan kerja. Maka, seharusnya aku mengucapkan syukur kepada Allah yang telah mengurniakan segala nikmat dan rezeki yang tidak terhingga ini. Menjadi impian aku sedari kecil untuk berkelana ke negara orang. Walau atas urusan kerja, ia sesuatu pemberian Tuhan yang tidak terhingga. Apatah lagi tidak perlu mengeluarkan belanja sendiri.

Selepas Jerman, UAE dan China, insyaallah jika tiada aral melintang, aku telah diamanahkan oleh bos untuk menuntut ilmu di negara yang membangun dengan kadar yang pantas. Aku seringkali bercerita kepada rakan sebaya ketika menuntut dahulu betapa bangsa Jepun dan Korea adalah bangsa yang rajin dan cepat belajar. Jepun itu tidak perlu dipertikaikan lagi kerana sejak zaman perang dahulu pun, mereka jauh lebih maju daripada kita. Apabila sebut pasal Korea, siapa sangka hari ini, mereka adalah salah satu gergasi Asia. Siapa sangka mereka yang dahulu sama taraf seperti kita (bahkan mereka tidak punya hasil bumi yang sebanyak Malaysia!) mampu menjadi pesaing negara-negara Barat.

Semoga dengan keizinan dari Yang Maha Esa, aku dapat menjejakkan kaki ke sebuah negara gergasi Asia tersebut.
 
Google Analytics Alternative