Saturday, June 25, 2016

Vaksinasi

Isu vaksin kini tiba-tiba menjadi hangat. Sehangat tahi ayam yang melekat di bahu Najib Razak. Mengapa hangat?

Kerana adanya kematian melibatkan kanak-kanak yang tidak divaksin. Dan wujud satu status daripada seorang imam yang muda berkenaan isu itu. Masyarakat marah. Mereka mencarut. Mereka memaki hamun. Entah apa yang merasuk rakyat Malaysia sehinggakan seorang imam tidak lagi dihormati hanya kerana komen berkenaan vaksin. 

Masyarakat marah kerana beliau bukan ahlinya untuk memberi komen. Mengapa perlu marah? Bukankah kegemaran rakyat Malaysia untuk memberi komen dalam setiap perkara yang mereka bukan ahlinya pun? 

Jadi, keadilan perlu diberikan kepada imam muda itu. Jika engkau respek kebebasan bersuara, maka, terimalah pandangan beliau. Jika tidak setuju, beritahu saja tidak setuju dan sertakan hujah yang baik, lurus dan berilmu. Jangan memaksa orang untuk setuju dengan anda. Itu bukan konsep kebebasan bersuara. 

Aku bukanlah peminat rancangan realiti tv. Apatah lagi rancangan realiti tv yang telah 'diagamakan'. Tetapi, imam ini sudah berada di jalan itu dan tugas seterusnya adalah untuk berdakwah. Maka, dalam apa jua cara sekalipun, hormatlah dia kerana pastinya dia lebih berilmu (dalam hal ehwal agama) berbanding kita. Berhujah dengan baik dan lapangkan dada untuk menerima pendapat dia walaupun nampak seakan meninggi diri. Terima saja tanpa banyak soal.

Yang kita perlu fokuskan adalah terus menghina Umno. Penyesat sebenar kaum Melayu.

Tuesday, June 14, 2016

Sepuluh Tahun

Masuk haribulan 14 hari ini, genaplah usia Warkah Kembara (WK) menjadi 10 tahun 7 hari. Ketika aku memulakan WK 10 tahun yang lepas, aku hanya ingin mengisi masa lapang dan sekadar menukilkan pandangan aku yang ketika itu dilanda demam bolasepak Piala Dunia. Ya, tujuan utama WK ini sebenarnya lebih kepada bercerita perihal bolasepak. Namun, aku tahu, sedikit sebanyak, aku tidak boleh memendam rasa membiarkan diri sendiri sahaja yang tahu akan pandangan aku, maka, terlahirlah beberapa nukilan tentang kisah diri, perjalanan hidup aku, pandangan isu semasa dan apa sahaja yang terlintas dalam fikiran.


Entri pertama yang sungguh merapu..

Bahkan, aku bukanlah berminat sebenarnya untuk menyampaikan isi pandangan aku untuk dijaja dan menawan orang terdekat atau sekeliling aku. Aku lebih suka kiranya pandangan aku itu dinukilkan secara bebas tanpa perlu menjaga hati sesiapa atau tidak terpaksa menurut sensitiviti yang perlu. Sebab itu, aku tidak mengkhabarkan kepada rakan-rakan tentang WK. Mungkin ada beberapa yang tahu, samada secara sengaja atau tidak sengaja, aku kurang periksa.

Menyentuh sedikit tentang era blog zaman 2006 tersebut, aku rasa blog adalah satu medium yang paling dekat dengan pengguna internet era itu. Ketika itu, Facebook tidak berkembang sehebat hari ini. Zaman tersebut adalah zaman Myspace, Friendster atau apa-apa sahaja laman sosial yang lain. Ada orang menulis di Myspace tetapi ia terhad dalam lingkungan rakan-rakan profil sahaja. Maka, adanya blog yang boleh diakses sesiapa menjadikan isi pemikiran penulis mudah disampaikan. Sebut sahaja nama penulis yang disegani ketika itu, pasti hari ini amatlah kurang mereka menulis di blog (suatu yang bagus adalah mereka sudah menulis buku!).

Untuk melengkapkan kewujudan WK ini, aku harus beri kredit kepada Mansur Shah yang telah merekabentuk header blog ini (yang sungguh comel) dan masih aku pakai hingga hari ini. Aku bersyukur kalau beliau sudi merekabentuk header lain sebagai suatu pembaharuan kepada WK (harapnyalah).

Aku tidak tahu berapa lama aku akan menulis di sini. Namun, aku yakin setiap permulaan pasti ada pengakhiran. Aku berharap sempatlah aku merekodkan kembali tulisan-tulisan yang pernah aku garapkan di sini kerana ia bukan satu kerja mudah untuk mengumpulkan kembali tulisan-tulisan yang sudah berusia 10 tahun. Jangan risau, bukanlah aku hendak membuat buku atau apa, cuma mahu membaca kembali apa yang telah aku tulis (dengan merapu) ketika aku sedang duduk di beranda sambil menunggu cucu pulang kelak (itupun jika umur panjang, insyaallah).

Happy 10th Anniversary to Warkah Kembara!





Membuka Pekung



Dalam berita ini mari kita simpulkan beberapa perkara :

1. Dalam majlis pelancaran kereta, tiba-tiba kaitkan hal politik (Tun M), apahal?

2. Najib mengaku ada campur tangan politik sehingga menyebabkan Proton goyah. Ini satu pendedahan besar. Jika zaman Tun M ada campur tangan politik yang ketika itu diterajui kerajaan Barisan Nasional pimpinan Mahathir, sememangnya Najib membuka pekung bahawa BN itu sendiri korup kerana suka campur tangan dalam sesuatu organisasi. Bila ada campur tangan yang sepatutnya membawa kebaikan tetapi menjadi sebaliknya, maka, apa makna campur tangan sehingga Proton menjadi goyah? Korupsi, kronisme, urustadbir celaka?

3. Najib mengaku bahawa kerajaan terpaksa campur tangan dengan memberi bantuan sehingga RM1.5 billion. Mengapa ada kegagalan dalam urus tadbir Proton sehingga ia menjadi goyah. Berbalik kepada point No.2. 

Ada campur tangan politik + Proton goyah = Wujud kegagalan urus tadbir?

Kesimpulannya, SPRM hendaklah dibawa masuk untuk menyiasat kegagalan Proton dan sebagai sebuah syarikat yang patut dikira sebagai bermasalah. Wujud campur tangan politik di era Tun M dan Najib perlu menjadi saksi di mahkamah.

Bermain Dalam Masjid

Beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat acapkali beberapa pandangan naik di FB tentang ketidaksetujuan mereka tentang pesanan-pesanan yang sentiasa ada di masjid. Pesanan tersebut berbunyi seperti di dalam gambar di bawah. 

Ya, memang betul hakikat orang kebanyakan sekarang bahawa tidak patut kanak-kanak dihalang daripada memasuki masjid. Bahkan ibubapa patut membawa anak-anak mereka ke dalam masjid untuk mendedahkan dan mendidik mereka tentang solat, kepentingan berjemaah dan sebagainya. Memang perkara ini bagus tetapi di Malaysia ini, ibubapanya tidaklah sepintar mana. Sebab itulah, masjid melarang kanak-kanak masuk ke dalam masjid.
Bawa anak masuk masjid itu bagus tetapi selepas itu, dibiar anaknya lepas laku, menjerit sana sini, berlari-lari sampai bunyi tapak kaki menganggu kekusyukan solat jemaah dewasa dan bermacam-macam lagi yang buat engkau rasa nak datang pada ibubapa anak tersebut dan tampar mereka kerana dungu dalam menjaga anak. 

Benarlah kata Prof Dr Muhaya bahawa, anak yang tidak baik, ibubapanya juga tidak baik. Sangat tepat ia ditujukan kepada golongan ibubapa yang tiada 'common sense' ini.

Penjual Khatira Yang Pasif

Tadi aku ingin membeli air khatira di satu bazar. Aku tengok satu peket berharga RM4. Aku merancang nak beli 3 peket untuk keluarga sekali. Jadi, aku pun mintak tawar dengan dia beli 3 untuk RM10. Diskaun RM2. Lama juga brader lewat 30an tu fikir. Lepas tu, dia tanya kawan dia yang mungkin bos dia. Kawan dia mula bisik-bisik sambil buat kira-kira. Aku rasa ada dalam 60 hingga 70 saat juga dia nak menerima tawaran aku tu. Akhirnya, dia bagi dua peket besar RM4 tadi dengan tambah satu peket kecil yang harga asal RM3. Jadi, harga RM11 dapat diskaun RM1.

Beberapa hari sebelum tu, aku ada beli air mangga yang cukup pekat dan padu di satu bazar lain. Sama jugak satu peket RM4. Aku macam biasa mintak beli 3 untuk RM10. Aku tawar dengan seorang budak perempuan yang aku rasa macam baru Tingkatan 1 atau 2. Masa aku tawar harga tu, dia pun tanpa fikir panjang, tanpa tanya sesiapa, terus angguk dan setuju untuk bagi diskaun RM2. 

Moralnya di sini, air khatira brader tadi dahlah tak sedap (rasa pewarna berlebihan), nak tawar menawar pun sampai nak kena tanya member. Apa salahnya kau buat keputusan sendiri macam budak sekolah menengah yang jual mangga pekat dan padu tu.

Broker Menjerat

Dalam FB, kita boleh lihat ramai penasihat-penasihat percuma yang memberikan nasihat yang nampak bernas tetapi kurang berpijak di alam nyata. Penasihat ni acapkali menasihatkan graduan muda agar membeli rumah sebelum membeli kenderaan terutamanya kenderaan baru. Betul, ini hakikat yang tidak dapat dinafikan. Tiada siapa menafikan kebenaran bahawa membeli rumah itu menguntungkan. Menguntungkan kerana banyak sebab. Antaranya, ia mendidik kau menjadi kapitalis dan menindas golongan bawahan.

Mari aku beri contoh. Penasihat percuma di FB ini siapa? Siapa kalau bukan broker hartanah. Berbaju kot, berpakaian kemas dan segak. Mereka inilah yang akan 'menghasut' graduan muda untuk membeli rumah. Kerana apa? Kerana mereka BROKER hartanah! Jika mereka peniaga pisang goreng, ada dia suruh engkau beli rumah dan beri nasihat percuma di FB? Mereka mungkin berjaya (tidak dinafikan), tetapi dengan cara buat seminar sana-sini, suruh orang hadir kelas atas nama usahawan muda dan pelbagai benda yang merapu dan hanya untuk memenuhkan kantung poket si kapitalis-kapitalis ini. 

Jika benar mereka ini power dan ikhlas, mereka selaku broker hartanah sepatutnya melawan sistem yang korup ni. Melawan sistem yang menekan pembeli. Mereka sepatutnya bangkit memperjuangkan hak rakyat yang masih mengidamkan rumah pertama. Tetapi, apa yang mereka buat? Sembang dalam FB, merembes air liur di seminar sana sini untuk golongan pertengahan sementara golongan bawahan masih lagi tidur di kaki lima. Apa engkau tak nampak apa yang berlaku?

Berbalik kepada alam realiti yang aku tuliskan tadi, mereka berkata bahawa kereta dengan bayaran bulanan sebanyak RM1200 boleh membeli rumah pangsa bawah RM200k. Masuk akal? Memang masuk akal tetapi lihat dahulu proses beli rumah itu bagaimana, proses beli kereta itu bagaimana? Ada pemuda dan graduan zaman sekarang mampu sedia downpayment 10% daripada RM200k?



Sunday, June 05, 2016

Memimpin Negara Maju

Suatu hari, bos aku menyuruh aku mencari sub-kontraktor yang boleh memasang pendingin hawa untuk satu projek ni. Aku cuba tanya orang-orang yang pernah aku pernah berurusan ketika di syarikat sebelumnya. Dengan mengikut prosedur sebetulnya iaitu dengan meminta sebutharga (quotation) dan sedikit senarai rujukan projek (project reference list) daripada mereka, aku kemukakan beberapa nama sub-kontraktor kepada bos aku untuk dia buat interview seterusnya membuat pilihan.

Ketika aku minta mereka beri sebutharga macam biasa, aku tak suruh mereka mark-up sebutharga bila projek ni dapat kat dia. Juga tak minta mereka 'percent' jika projek ni dapat kat dia. Dan akhirnya, projek memasang pendingin hawa ni dapat kat sub-kontraktor telah aku kemukakan dalam senarai beberapa nama kontraktor melalui pemilihan yang dibuat bos aku. Aku takde pengaruh apa-apa pada bos aku dalam membuat keputusan hatta 'memberi nasihat 25%' pun tidak. Apatah lagi nak minta upah atau 'percent' daripada yang berjaya tu. 

Bukan macam kau, duduk dalam pentadbiran organisasi dan kerja urus tender, lepas tu bocorkan harga tender dekat kawan-kawan kontraktor kau. Bila dapat kat kawan kontraktor kau, kau mintak 10 hingga 25% sebagai saguhati kononnya. Macamana negara nak maju bila harga asal projek terpaksa mark-up semata-mata nak bagi kat anak bini kau yang makan duit haram tu?

Konsep Sangka Baik Didikan Pemerintah

Kebelakangan ini, aku sungguh tak tahan melihat orang Melayu pasca GST ni yang bersungguh-sungguh membela jutawan Melayu, monarki dan orang-orang berpengaruh yang selalu menyebarkan keseronokan dan kemewahan kehidupan sosial mereka di dalam media sosial. Kehidupan sekarang ni bukan seperti zaman dahulu yang mana dahulu barangan masih rendah dan tidak ditekan dengan cukai celaka. Kehidupan kini adalah kehidupan yang menekan dan tidak berpihak kepada rakyat marhaen. 

Tetapi, yang menjadi persoalan adalah wujudnya golongan marhaen yang 'sering berfikiran positif', 'selalu bersangka baik', 'tidak berdengki', 'bermentaliti suka-hati-dialah-nak-post-apa' dan bermacam lagi yang korang mesti faham. Bukanlah aku ini terdiri daripada golongan yang berfikiran sebaliknya atau menentang perkara sebegini tetapi berpada-padalah dalam menunjukkan ketaksuban (yang diorang sendiri nafikan) terhadap golongan sebegini. Apabila semua harta benda nak ditayangkan di kala rakyat marhaen masih perlu membayar hanya untuk segelas ais kosong, masih lagi engkorang nak bermentaliti seperti yang disebutkan? Tak salah tapi tak kena tempat. Bahkan ia merosakkan lagi sistem menentang kebobrokan pemerintah yang sewenang-wenangnya membebankan rakyat di atas keborosan dan ketirisan mereka. Kerana apa ia rosak?

Masih ingat komen Najib bahawa GST diterima baik rakyat? Sebab apa dia berkata begitu? Sebab muncul jutawan-jutawan ini yang menayang harta dan engkau pula komen memuji, 'sangka baik' dan berseronok tumpang bangga atas harta yang mereka tayangkan.

Engkau ingat Najib dan geng cybertroopers dia tak baca ke komen jengkel kau?



Thursday, June 02, 2016

Syukur Apakah Yang Kau Dambakan?


Kadang-kadang ada benda dalam hidup ni kita boleh syukuri jika terjadinya lumrah kehidupan dan resmi alam. 

Tetapi, ada perkara yang patut kita lihat semula samada bolehkah kita mensyukuri dengan membabi buta atau patut sahaja kita bodohkan diri sendiri kerana memilih pemimpin yang babi.



 
Google Analytics Alternative