Tuesday, June 14, 2016

Sepuluh Tahun

Masuk haribulan 14 hari ini, genaplah usia Warkah Kembara (WK) menjadi 10 tahun 7 hari. Ketika aku memulakan WK 10 tahun yang lepas, aku hanya ingin mengisi masa lapang dan sekadar menukilkan pandangan aku yang ketika itu dilanda demam bolasepak Piala Dunia. Ya, tujuan utama WK ini sebenarnya lebih kepada bercerita perihal bolasepak. Namun, aku tahu, sedikit sebanyak, aku tidak boleh memendam rasa membiarkan diri sendiri sahaja yang tahu akan pandangan aku, maka, terlahirlah beberapa nukilan tentang kisah diri, perjalanan hidup aku, pandangan isu semasa dan apa sahaja yang terlintas dalam fikiran.


Entri pertama yang sungguh merapu..

Bahkan, aku bukanlah berminat sebenarnya untuk menyampaikan isi pandangan aku untuk dijaja dan menawan orang terdekat atau sekeliling aku. Aku lebih suka kiranya pandangan aku itu dinukilkan secara bebas tanpa perlu menjaga hati sesiapa atau tidak terpaksa menurut sensitiviti yang perlu. Sebab itu, aku tidak mengkhabarkan kepada rakan-rakan tentang WK. Mungkin ada beberapa yang tahu, samada secara sengaja atau tidak sengaja, aku kurang periksa.

Menyentuh sedikit tentang era blog zaman 2006 tersebut, aku rasa blog adalah satu medium yang paling dekat dengan pengguna internet era itu. Ketika itu, Facebook tidak berkembang sehebat hari ini. Zaman tersebut adalah zaman Myspace, Friendster atau apa-apa sahaja laman sosial yang lain. Ada orang menulis di Myspace tetapi ia terhad dalam lingkungan rakan-rakan profil sahaja. Maka, adanya blog yang boleh diakses sesiapa menjadikan isi pemikiran penulis mudah disampaikan. Sebut sahaja nama penulis yang disegani ketika itu, pasti hari ini amatlah kurang mereka menulis di blog (suatu yang bagus adalah mereka sudah menulis buku!).

Untuk melengkapkan kewujudan WK ini, aku harus beri kredit kepada Mansur Shah yang telah merekabentuk header blog ini (yang sungguh comel) dan masih aku pakai hingga hari ini. Aku bersyukur kalau beliau sudi merekabentuk header lain sebagai suatu pembaharuan kepada WK (harapnyalah).

Aku tidak tahu berapa lama aku akan menulis di sini. Namun, aku yakin setiap permulaan pasti ada pengakhiran. Aku berharap sempatlah aku merekodkan kembali tulisan-tulisan yang pernah aku garapkan di sini kerana ia bukan satu kerja mudah untuk mengumpulkan kembali tulisan-tulisan yang sudah berusia 10 tahun. Jangan risau, bukanlah aku hendak membuat buku atau apa, cuma mahu membaca kembali apa yang telah aku tulis (dengan merapu) ketika aku sedang duduk di beranda sambil menunggu cucu pulang kelak (itupun jika umur panjang, insyaallah).

Happy 10th Anniversary to Warkah Kembara!





No comments:

 
Google Analytics Alternative