Thursday, September 29, 2016

"Suamiku Doktor pHD Penipu"

Ada sesetengah orang sanggup 'menghalalkan' kerja jahat hanya kerana seseorang itu telah memberi manfaat kepada orang lain. Dalam konteks ini, kita bercakap mengenai seorang doktor yang selalu buat ceramah motivasi dan keusahawanan disabitkan menipu kelayakannya.

"Sekurang-kurangnya dia membantu memajukan ekonomi orang melayu. Kau, apa sumbangan yang kau dah buat?"
Ia ibarat engkau melakukan rasuah untuk membina masjid kepada penduduk. 

"Takpelah rasuah asalkan dia buat masjid untuk kita semua."
  
Amat menyedihkan melihat masyarakat 'terlampau positif' sampai tidak tahu lagi untuk membezakan kebenaran dan kebatilan.

Orang menipu tetap perlu diberi hukuman. Bukannya diberikan kata-kata galakan, dorongan dan lain-lain slogan 'I support u'.

Berapa ramai melayu yang dah tertipu dengan daya penarik menggunakan pHD tersebut? Apakah selepas ini, akan ada anak muda memohon pekerjaan menggunakan diploma dan ijazah palsu dan kita atas nama 'telah banyak sumbangan yang diberikan' akan menghalalkan penipuan maha dahsyat ini.

Ternyata masyarakat bukan sahaja telah menjadi rosak, malah menjadi sial...

Sunday, September 18, 2016

Analisa Perak Kedua Termiskin

Beberapa bulan kebelakangan ini, aku lihat beberapa situasi dan keadaan di negeri Perak yang seakan mengesahkan bahawa Perak sewajarnya diletakkan di tempat kedua negeri termiskin. Oleh itu, aku akan gariskan beberapa kesimpulan awal yang mungkin kamu boleh tidak bersetuju dengannya, terpulang.

Kesimpulan pertama adalah mengenai projek pembangunan di dalam negeri Perak:

1. Seri Iskandar Wholesale Centre

Tempat ini dicanang-canang akan memberikan alternatif kepada Nilai 3 di Negeri Sembilan. Promosi pada awalnya cukup bagus dan meluas. Terdapat lambakan kedai-kedai menjual pakaian dan aksesori pengantin yang sudah mula dibuka di sekitar pekan Seri Iskandar lewat tahun 2014 (jika tidak silap). Maka, akan adalah alternatif kepada pengunjung belah utara bagi yang mencari aksesori pengantin dan perkahwinan daripada bertandang hingga ke Nilai.

Masuk tahun ketiga yakni, tahun 2016, tidak ada sebarang ciri-ciri bahawa Seri Iskandar ini akan berubah landskap menjadi Nilai. Bahkan, kedai mula kosong dan tutup. Tidak ada pertambahan kedai-kedai baharu walaupun pembangunan rumah kedai rancak dilakukan. Maka, apakah projek pembangunan SIWC ini akan menjadi gajah putih?

2. RTC Gopeng

Aku kurang ingat bila RTC Gopeng ini mula beroperasi. Tetapi, ia sudah agak lama di Gopeng ini. Terdapat pasar basah, pasar awam, Mydin Mall, kedai-kedai kecil dan tentunya pusat sehenti untuk urusan-urusan melibatkan agensi-agensi kerajaan. Aku bertandang bulan lepas ke sana. Apa yang memeranjatkan adalah banyak kedai telah ditutup. Pasar awam yang besar itu juga telah ditutup. Yang tinggal beroperasi hanyalah Mydin Mall dan kedai-kedai kecil di dalam itu yang aku ibaratkan sudah nyawa-nyawa ikan barangkali. Orang ke sini mungkin hanya untuk urusan melibatkan di RTC sahaja.

3. Marina Island Lumut

Lumut adalah satu pekan yang sudah lama muncul sebagai salah satu tempat pelancongan di Perak. Namun, dengan tiadanya tarikan baharu di Lumut, ia seakan sudah tidak menjadi destinasi wajib kunjung jika ke Perak. Aku ke sana baru-baru ini. Rupanya ada satu pembangunan Marina Island di Lumut di mana ia mengandungi perumahan (barangkali ekslusif), hotel tepi laut, pulau buatan manusia dan taman tema. Apa yang memeranjatkan adalah Marina Island ini tidak begitu menyerlah dan menarik baik malam mahupun siang. Taman tema pun belum dibuka (mungkin belum siap, namun tiada langsung kerja-kerja pembinaan dijalankan), siar kaki lengang dan lampu jalan lebih banyak daripada manusia. Apakah pemaju silap perancangan atau memang pembangunnya lambat?

Daripada pemerhatian aku terhadap tiga kawasan atau tempat ini, maka, izinkan aku membuat hipotesis awal. Jika tidak bersetuju, maka, terserahlah.

A. Faktor geografi.

Siapa yang mahu ke Seri Iskandar semata-mata hendak membeli kelengkapan perkahwinan yang perjalanannya dari Kuala Lumpur memakan masa dua jam lebih? Atau dari Alor Setar ke Seri Iskandar yang lebih kurang 3 jam perjalanan? Maka, faktor geografi menjadi punca bahawa SIWC ini tidak mendapat pengunjung yang sepatutnya. Masyarakat tempatan tidaklah setiap hari membeli barang-barang sebegini.

B. Ekonomi setempat

Taraf ekonomi penduduk setempat bukanlah baik sebagaimana di bandar besar seperti Ipoh dan Kampar. Maka, barangkali penduduk tidak berbelanja besar atau mengunjungi Mydin Mall hari-hari. Bahkan, lebih baik mereka membeli di pasararaya kecil dan kedai runcit berdekatan rumah mereka. Keadaan ekonomi yang rata-ratanya isi rumah di bawah RM1000 (mengikut kajian Khazanah Research Institute) tidak memungkinkan populasi penduduk di Gopeng berbelanja lebih. Begitu juga di Lumut. Berapa ramai sahaja pendapatan isi rumah mereka melebih RM3000 di sana? Peluang terhad menjadikan keadaan ekonomi setempat juga terhad.

Ini adalah analisa awal berdasarkan pemerhatian sahaja. Mungkin ada analisa yang lebih baik daripada pemain hartanah, pemaju atau cendekiawan di Perak. Tetapi, inilah realiti yang terjadi. Aku sedang menunggu Movie Animation Park untuk disiapkan di Ipoh bagi melihat sejauh mana pembangunan yang dirancang mencapai sasaran sekaligus mungkin dapat menamatkan riwayat Perak menduduki tangga kedua negeri termiskin.

Mendatangkan Roh Islam


Takziah diucapkan di atas pemergian murabbi agung Ustaz Haron Din setelah perginya Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Pemergiannya seakan mengulangi episod sama sebagaimana arwah tuan guru apabila tidak terkecuali dicaci kata nista dan kata-kata jelik. Tambah panas, ia diucapkan oleh salah seorang pemimpin pembangkang.

Apa yang aku nampak di sini adalah salah dan silap orang Melayu itu sendiri. Jika mereka didatangkan dengan perasaan kuatnya Islam, kaum bukan Islam akan lebih menghormati agama Islam. Siapa yang tidak lupa ketika perginya arwah Nik Aziz, betapa ramai melayu yang mengucapkan kata-kata kurang ajar dan biadap terhadapnya. Ini termasuklah kata-kata kurang ajar bekas Ketua Polis Negara sehingga menggelarnya kafir.

Tidak terkecuali kes mendiang Karpal Singh yang dihina oleh berapa ramai orang Melayu dalam media sosial? Jadi, menjengah ke media sosial, ramai melayu mengambil peluang untuk menghentam parti DAP walaupun yang terlibat itu adalah individu, bukannya organisasi. Aku tanyakan diri aku kembali.

Apakah mereka ini benar-benar mengambil berat tentang arwah Ustaz Haron Din?

Atau sekadar pengucapan yang diambil kesempatan untuk kepentingan diri?

Ada antara mereka yang sanggup screenshot beberapa petikan FB dari kaum lain sambil membuat caption 'supaya aku tidak terlupa setiap tahun'. Ini satu lagi tindakan bodoh kebudak-budakan. Apa gunanya engkau membuat perkara sedemikian yang tidak menguntungkan sesiapa? Orang bijak tidak akan berhujah dengan si jahil. Orang genius juga tidak menjadikan pengucapan orang dungu sebagai modal ketika menulis. Maka, apa gunanya sehingga nak kumpul screenshot kata-kata jelik itu lantas untuk diingatkan setiap tahun? Bukankah bagus jika kita umat Islam membuat ucapan doa dan kata-kata yang baik untuk arwah lalu dapat diingatkan kata-kata yang baik ini setiap tahun? Lepas tu, engkau terpekik terlolong bila arwah dihina atas perbuatan buruk kamu itu.

Ini akibat dari kerosakan sistem moral masyarakat Melayu hari ini. Atas didikan apa yang menyebabkan kerosakan sebegini hari ini? Siapa yang menjulang sekularisme dalam pendidikan dari zaman British sehingga ke saat ini? Siapa kalau bukan pemerintah yang sudah berkuasa 59 tahun kita merdeka ini?

Bak kata arwah Nik Aziz, cara terbaik menyatukan kesemua kaum di dalam Malaysia ini adalah dengan membuang 'kebangsaan' masing-masing. Tinggalkan 'pakaian' Melayu kamu, 'pakaian' Cina kamu, 'pakaian' India kamu dan lain-lain. Sebaik-baik penyatuan adalah menerusi agama.

Namun, sayang, UMNO tidak suka akan idea ini. Hasilnya, lihatlah Melayu hari ini....
 
Google Analytics Alternative