Beberapa bulan kebelakangan ini, aku lihat beberapa situasi dan keadaan di negeri Perak yang seakan mengesahkan bahawa Perak sewajarnya diletakkan di tempat kedua negeri termiskin. Oleh itu, aku akan gariskan beberapa kesimpulan awal yang mungkin kamu boleh tidak bersetuju dengannya, terpulang.
Kesimpulan pertama adalah mengenai projek pembangunan di dalam negeri Perak:
1. Seri Iskandar Wholesale Centre
Tempat ini dicanang-canang akan memberikan alternatif kepada Nilai 3 di Negeri Sembilan. Promosi pada awalnya cukup bagus dan meluas. Terdapat lambakan kedai-kedai menjual pakaian dan aksesori pengantin yang sudah mula dibuka di sekitar pekan Seri Iskandar lewat tahun 2014 (jika tidak silap). Maka, akan adalah alternatif kepada pengunjung belah utara bagi yang mencari aksesori pengantin dan perkahwinan daripada bertandang hingga ke Nilai.
Masuk tahun ketiga yakni, tahun 2016, tidak ada sebarang ciri-ciri bahawa Seri Iskandar ini akan berubah landskap menjadi Nilai. Bahkan, kedai mula kosong dan tutup. Tidak ada pertambahan kedai-kedai baharu walaupun pembangunan rumah kedai rancak dilakukan. Maka, apakah projek pembangunan SIWC ini akan menjadi gajah putih?
2. RTC Gopeng
Aku kurang ingat bila RTC Gopeng ini mula beroperasi. Tetapi, ia sudah agak lama di Gopeng ini. Terdapat pasar basah, pasar awam, Mydin Mall, kedai-kedai kecil dan tentunya pusat sehenti untuk urusan-urusan melibatkan agensi-agensi kerajaan. Aku bertandang bulan lepas ke sana. Apa yang memeranjatkan adalah banyak kedai telah ditutup. Pasar awam yang besar itu juga telah ditutup. Yang tinggal beroperasi hanyalah Mydin Mall dan kedai-kedai kecil di dalam itu yang aku ibaratkan sudah nyawa-nyawa ikan barangkali. Orang ke sini mungkin hanya untuk urusan melibatkan di RTC sahaja.
3. Marina Island Lumut
Lumut adalah satu pekan yang sudah lama muncul sebagai salah satu tempat pelancongan di Perak. Namun, dengan tiadanya tarikan baharu di Lumut, ia seakan sudah tidak menjadi destinasi wajib kunjung jika ke Perak. Aku ke sana baru-baru ini. Rupanya ada satu pembangunan Marina Island di Lumut di mana ia mengandungi perumahan (barangkali ekslusif), hotel tepi laut, pulau buatan manusia dan taman tema. Apa yang memeranjatkan adalah Marina Island ini tidak begitu menyerlah dan menarik baik malam mahupun siang. Taman tema pun belum dibuka (mungkin belum siap, namun tiada langsung kerja-kerja pembinaan dijalankan), siar kaki lengang dan lampu jalan lebih banyak daripada manusia. Apakah pemaju silap perancangan atau memang pembangunnya lambat?
Daripada pemerhatian aku terhadap tiga kawasan atau tempat ini, maka, izinkan aku membuat hipotesis awal. Jika tidak bersetuju, maka, terserahlah.
A. Faktor geografi.
Siapa yang mahu ke Seri Iskandar semata-mata hendak membeli kelengkapan perkahwinan yang perjalanannya dari Kuala Lumpur memakan masa dua jam lebih? Atau dari Alor Setar ke Seri Iskandar yang lebih kurang 3 jam perjalanan? Maka, faktor geografi menjadi punca bahawa SIWC ini tidak mendapat pengunjung yang sepatutnya. Masyarakat tempatan tidaklah setiap hari membeli barang-barang sebegini.
B. Ekonomi setempat
Taraf ekonomi penduduk setempat bukanlah baik sebagaimana di bandar besar seperti Ipoh dan Kampar. Maka, barangkali penduduk tidak berbelanja besar atau mengunjungi Mydin Mall hari-hari. Bahkan, lebih baik mereka membeli di pasararaya kecil dan kedai runcit berdekatan rumah mereka. Keadaan ekonomi yang rata-ratanya isi rumah di bawah RM1000 (mengikut kajian Khazanah Research Institute) tidak memungkinkan populasi penduduk di Gopeng berbelanja lebih. Begitu juga di Lumut. Berapa ramai sahaja pendapatan isi rumah mereka melebih RM3000 di sana? Peluang terhad menjadikan keadaan ekonomi setempat juga terhad.
Ini adalah analisa awal berdasarkan pemerhatian sahaja. Mungkin ada analisa yang lebih baik daripada pemain hartanah, pemaju atau cendekiawan di Perak. Tetapi, inilah realiti yang terjadi. Aku sedang menunggu Movie Animation Park untuk disiapkan di Ipoh bagi melihat sejauh mana pembangunan yang dirancang mencapai sasaran sekaligus mungkin dapat menamatkan riwayat Perak menduduki tangga kedua negeri termiskin.
No comments:
Post a Comment