Sunday, November 27, 2016

Kisah Di Sebalik Dewan Seri Kasih


Tahun 2014, semasa aku berada di syarikat lama, aku telah ditugaskan untuk merekabentuk sistem mekanikal bagi sebuah dewan untuk kegunaan majlis kahwin dan acara-acara berkaitan. Tuan pemiliknya bernama Haji Ayub. Punyalah banyak duit Haji Ayub ni buat bisnes katering dan restoran sampai dia boleh labur berjuta ringgit untuk bina sebuah dewan untuk kenduri kahwin. Bila asyik menyewa khemah pada orang, dah tentulah kita rasa nak buat dewan untuk kenduri kahwin pulak kan. Bukan macam itu ke sistem kapitalis berfungsi? Eh, maaf Haji Ayub. Saya cakap pasal orang lain.

Berbalik kepada tahun 2014 tu, bila aku tengok kena buat rekabentuk sistem pendingin hawa yang dipanggil sistem pendingin hawa berpusat atau 'centralised air-conditioning system', aku tak tahu macamana nak mula. Aku dahlah tak pernah buat sistem aircond luar biasa ni. Setakat suruh aku rekabentuk aircond yang untuk dalam rumah kau tu, aku tahulah. Centralised aircond ni bukan kerja kecil anak. Banyak parameter dan kriteria kena ambil kira.

Aku selaku jurutera yang perlu berfikir di luar kotak memulakan langkah pertama dengan menelefon pengedar aircond. Orang engineering panggil, supplier. Aku telefon Panasonic buat presentation. Panasonic bentangkan sistem aircond dia. Tak banyak membantu. Aku telefon pula York atau sekarang lebih dikenali dengan Daikin. Mr. Mark ni banyak bantu aku. Dia rekabentuk sekali kapasiti aircond dia. Siap bagi ductulator. Apa tu ductulator? Itulah kalkulator untuk mengira saiz ducting yang diperlukan dari outdoor unit kepada outlet grille aircond. Punyalah power dan bagus Mr. Mark ni sampai aku dapat ilmu baru yang tak ternilai hasil tunjuk ajar dia. Semenjak dari tu jugak, aku berkawan baik dengan dia sampai setiap seminar Daikin, dia jemput. Daikin launch product baru kat Hotel Sunway pun dia jemput aku. Daikin keluar diari dan kalendar baru pun dia bagi aku. Alhamdulillah.

Ada satu lagi supplier aku panggil iaitu Acson. Acson sekarang ni kira satu jenama teguh juga lepas dia rebranding dan masuk bawah company Group HSL (aku tak pasti betul ke tak) bersama-sama dengan Daikin. Cuma skop dah lain-lain. Acson pun banyak bantu aku dalam design aircond dewan Haji Ayub ni. Dan, sama macam Daikin, lepas tu aku diajak ke seminar percuma dan pelancaran produk dan kalendar baru. Inilah bukti jika kita berbuat baik pada orang, orang akan bantu kita.

Setelah aku membanding-banding beberapa sistem yang aku terima dari supplier-supplier ini, aku pilih sistem dicadangkan supplier Daikin kerana lebih reliable, murah dan jimat ruang. Cuma sekarang yang mendatangkan masalah pada aku ialah bagaimana nak rekabentuk sistem ducting aircond ni. Yang ni bukan bawah skop Daikin. Jadi, aku kena perah idea bagaimana untuk design ducting dia. Tak dinafikan, ductulator yang dihadiakan Daikin tu banyak membantu aku tetapi untuk mengesahkan rekabentuk tu, entah siapa yang boleh lakukan.

Aku pun survey dan terjumpa nama Prudentaire. Mr. Evan dari Prudentaire ni salah satu bentuk pertolongan Allah yang dijelmakan dalam rupa manusia (jika tak keterlaluan). Kerana apa aku berkata begitu? Dia ini membantu aku dari A sampailah ke Z. Walaupun dia tak keluarkan ducting, tetapi dia berusaha membantu aku sehabis baik terutama sekali melibatkan rekabentuk diffuser. Oh, Prudentaire ni keluarkan grille, diffuser ataupun hasil akhir dalam sistem aircond yang engkorang nampak di dewan-dewan atau mana-mana bangunan. Untuk dewan Haji Ayub ni, aku pilih linear slot diffuser. Ala, aircond dia ni macam line tu. Jadi, kalau ada kesempatan, aku nak berjumpa dengan Mr. Evan ni kerana ilmu yang dia curahkan secara percuma kepada aku tu memang tak ternilai. Dan sebagaimana yang lain, aku masih berhubungan dengan Mr. Evan sehingga hari ini.

Tetapi, isu ducting masih tergantung juga sebenarnya. Hahaha.

Maka, aku pun merujuk kepada rakan-rakan aku yang ada. Alhamdulillah, aku ketemu dengan seorang sahabat baik semenjak zaman UiTM bernama Farhan. Dia ni kerja konsultan M&E dan boleh dikatakan agak biasa dengan design aircond. Dia boleh bantu aku design ducting aircond ni dengan bantuan seorang kawan dia yang boleh siap lukiskan sekali.

Cuma masalah dia, kena bayar rakan dia ni. Setelah aku beristikharah dan memohon petunjuk Allah, aku keluarkan duit sendiri RM250 untuk bayar kepada rakan dia supaya dia bantu aku design ducting dewan Haji Ayub ni. Aku tak minta duit bos dan aku tidak bagitahu sesiapa pun pasal outsource ni. Projek sudah nak tender, maka, aku kira, inilah jalan terbaik yang aku ada. Aku bayangkan kalau aku jumpa bos dan minta duit syarikat, nescaya aku akan disuruh cari jalan untuk design ducting tu. Ducting aircond ni bagi aku adalah bahagian terpenting sekali dalam rekabentuk sesebuah aircond. Jika silap perkiraan, maka, tidak mustahil dewan tu nanti akan jadi samada terlampau sejuk ataupun tak sejuk. Yang kedua tu yang menakutkan aku. Maka, perlukan seseorang yang expert untuk mengesahkan design ni.

Kini, pada 26 November lepas, aku dijemput untuk ke majlis perasmian Dewan Seri Kasih oleh ex-boss aku sebagaimana dia jemput aku ke majlis penyerahan SMKA Kuala Lipis. Aku tolak kerana aku tidak boleh hadir atas kapasiti aku yang tidak lagi berada dalam projek tersebut. Sayang sekali kerana aku tidak berpeluang merasa hasil lelah aku (dan juga rakan Farhan) tu setelah projek siap. Semoga aku ada rezeki untuk masuk ke dalam dewan tu satu hari nanti.

Buatlah kenduri kahwin korang kat sini. Aku boleh kawtim harga dia. Hehe...


Nota kaki - Aku pernah terserempak dengan Haji Ayub semasa aku nak hantar baju di kedai dobi yang terletak betul-betul di sebelah dewan dia yang masa itu sedang dalam pembinaan. Dia kata "design mekanikal ok, cuma ada sikit-sikit sahaja yang ada masalah. Tapi boleh setel. Yang tak setelnya, design C&S (civil & structure). Teruk sangatlah...". Dia mengadu kat aku. Aku cuma berkata, "takpelah Haji Ayub, semoga semuanya berjalan baik nanti".

Haji Ayub macam terpaksa senyum dan dia minta izin berlalu pergi.


No comments:

 
Google Analytics Alternative