Sekawan burung-burung turun terbang ke dunia.
Berharap memperolehi sesuatu.
Dilintasinya satu benua. Dilihatnya penduduk-penduduk di situ semuanya melarat. Mereka tidak cukup makan. Tidak cukup pakai. Dan ada yang kebuluran. Resah menanti ajal.
Diteruskan terbangannya ke bahagian lain dunia.
Di satu sudut dilihatnya sekumpulan kanak-kanak berlari. Berlari sambil memegang batu. Belum sempat batu dilemparkan, segerombolan tentera melepaskan beberapa das tembakan dan dalam sekelip mata, tubuh-tubuh berlari tadi terbujur kaku. Tidak bergerak.
Burung-burung itu terbang membawa hati yang hiba. Memikirkan betapa mudahnya mereka mencabut nyawa mereka yang lain.
Hinggap ia di suatu benua. Keadaannya kacau-bilau. Bising dengan letupan. Bising dengan tangisan. Bising dengan bunyi tembakan. Sepastinya, keadaannya sama seperti sebelumnya. Cuma kali ini, lawan bertemu buku dengan ruas. Masing-masing punya kekuatan yang sama. Entah apa yang direbutkan, mereka tidak punya jawapan.
Terbanglah sekawan ini ke tempat lain. Kali ini aman. Tiada bunyi-bunyi gempita.
Tetapi di sudut lain, sekumpulan pemuda berlainan warna kulit sedang berentap. Bergelut sehingga tubuh mereka mengalirkan darah. Di sudut lain juga, seorang gadis dirosakkan kehormatannya oleh beberapa lelaki.
Burung-burung tersebut kecewa lalu terbang. Walaupun aman namun masih ada kekacauan sana-sini.
Setibanya di benua yang terakhir, dilihat keadaannya aman seperti sebelumnya. Jika adapun berlaku kekacauan,ia tidaklah sebanyak sebelumnya.
Burung-burung itu melihat lagi. Mereka ternampak pemerintah kumpulan ini bercakaran sesama mereka. Masing-masing berebutkan kuasa. Mengejar pangkat dan harta kekayaan fikirnya. Mereka terus menindas yang di bawah. Yang di bawah itu juga terseksa. Walau mereka seperti nampak selesa tetapi mereka seakan terhimpit. Dan mereka akan terus terhimpit selagi pemerintah itu terus-terusan berlaga sesama mereka.
Sekawan burung-burung itu menghabiskan sebuah perjalanan panjang mereka. Kembali semula ke atas di tempat asal mereka.
Ya, mereka memperolehi sesuatu.
Pengajaran yang amat berguna. Untuk diceritakan kepada cucu cicit mereka bahawa alam yang baru mereka lintasi sungguh indah. Berwarna-warni. Cuma, ia didiami mereka yang bernama manusia. Mereka berperang sesama sendiri walau mereka sama saja fizikalnya. Walau mereka punya banyak persamaan, mereka tetap mempertentangkan sebahagian kecil perbedaan.
Mereka selitkan dalam sanubari mereka. Untuk diekspresikan nanti.
Manifestasi sebuah alam.