Friday, August 20, 2010

Jumaat Yang Ngantuk



Seringkali semasa saya solat Jumaat, saya dapati ramai insan-insan berjantina lelaki mengantuk dan sering terlelap semasa khutbah disampaikan. Maka, tak menjadilah dakwah dan nasihat-nasihat melalui khutbah itu  untuk sampai ke halwa telinga lalu menusuk ke sanubari. Lalu, saya terfikir satu solusi yang mungkin agak berat untuk dilaksanakan di sesetengah tempat. 

Ya, kita perlu cuti hari Jumaat. Bukan saja Khamis malam itu adalah malam sunat tapi supaya kita lebih bertenaga mendengar khutbah pada hari Jumaat. Tidak mengantuk dan pasti segar setelah mendapat tidur yang mencukupi sebelum masuknya waktu Zuhur. Maka, khutbah yang disampaikan oleh khatib pasti akan sampai terus ke dalam hati. Sayangnya, di beberapa tempat cutinya jatuh hari Ahad yakni bersamaan dengan hari kaum Kristian pergi ke gereja. Bukan maksud saya mahu mencurah minyak ke dalam api tapi adalah lebih baik cuti hujung minggu di Malaysia jatuh pada hari Jumaat dan Sabtu. Mudah untuk kita mendengar khutbah. 

Lagi satu yang telah menjadi amalan setiap masjid kini, selalu sangat tabung derma ditolak ke setiap saf di dalam masjid sewaktu khutbah disampaikan. Jika tidak menolak tabung derma, akan ada budak kebiasaannya memegang bakul untuk jemaah Jumaat bersedekah. Ini satu kesalahan kerana fiqh awlawiyat di sini adalah mendengar khutbah bukannya bersedekah. Sedangkan sewaktu jemaah sibuk menolak tabung derma atau ada kanak-kanak lalu di setiap saf mengutip derma akan menyebabkan fokus para jemaah pada isi khutbah akan terganggu. Ini boleh menyebabkan pahala dan keberkatan Jumaat hilang kerana mendengar khutbah adalah antara rukun solat Jumaat. Jika terkurang satu, amatlah rugi Jumaatnya hari itu. Tidaklah salah untuk menderma tapi bukannya sewaktu khatib sedang berkhutbah, kerana adalah lebih baik dilakukan sebelum atau selepas solat Jumaat tersebut. Wallahualam..





Sekian, disampaikan oleh budak surau Kampung Melayu Majidee. Bukan Ejai. Selamat berpuasa!


No comments:

 
Google Analytics Alternative