Monday, December 17, 2012

Ambil Masa dan Hati




Kebanyakan orang mengambil mudah dari segi menjaga hati dan perasaan orang lain walaupun kita tidak mengenali mereka. Ini adalah silap kerana jika diimbau perjalanan hidup Rasulullah S.A.W, kita dapat melihat betapa kekasih agung Allah ini sentiasa melayani kaum yang datang kepadanya dengan adil dan saksama.

Tidak perlulah saya huraikan mengenai sirah Rasulullah tersebut kerana saya yakin ramai daripada kita hari ini sudah sedia maklum mengenai kisah tersebut. Apa yang saya nak tekankan di sini adalah perlunya ada rasa kehambaan sepertimana yang diamalkan oleh baginda Rasulullah.

Contoh paling mudah dan dekat adalah apabila kita makan di restoran. Katakan datang seorang pemuda atau pemudi menjual benda. Ada di antara kita pasti akan mencebikkan muka dan dengan segera menghalau penjual tersebut yang kadangkala menjual buku agama. Ini sebenarnya tidak betul tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Apa salahnya kita ambil masa sekejap untuk mendengar penerangan mereka dan kemudian barulah buat keputusan untuk tidak beli. Bukankah kita menghancurkan perasaan mereka jika kita terus menghalau tanpa sempat mereka menghulur salam? Bagaimana pula jika kita berada di tempat mereka? Pasti ada sedikit rasa terkilan bukan?

Satu lagi adalah ketika penjual bertandang dari satu rumah ke rumah. Amalan menyorok di dalam rumah sambil mematikan bunyi TV adalah sangat tidak beretika. Ini salah sama sekali. Bukankah lebih elok jika kita keluar dan ambil masa sedikit untuk melayani mereka yang pastinya penat menjaja barangan dari satu rumah ke rumah. Saya sedih melihat layanan orang berumah besar dan berkereta besar ini terhadap orang yang hanya mahu mencari sesuap nasi. Beli atau tidak itu cerita lain. Penjual menipu atau tidak, itupun cerita lain.

Tidak akan rugi jika kita mengambil masa sedikit untuk sekurang-kurangnya menceriakan hidup orang lain dan menjaga hati orang sekeliling. Hidup ini bukannya lama. Kongsikan nikmat kita bersama mereka yang lain sambil kita mengikut sunnah manusia agung, Nabi Muhammad. Insyaallah.

No comments:

 
Google Analytics Alternative