Monday, December 31, 2012

Dalam Konteks Besar



Isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible ni sebenarnya isu lama. Hanya kerana Lim Guan Eng yang melontarkannya, maka puak parti pemerintah mula memainkan isu ni sehinggakan Perkasa sendiri turut berdemo membantah kebiadapan Lim Guan Eng. Walhal, saya dapati pada demo tersebut, kaum wanitanya juga bukanlah sempurna dari segi auratnya. Jadi, siapa yang menghina Islam di sini?

Saya terbaca tulisan Dr. Zaharuddin di media perdana. Isu ni tidak patut diperbesarkan katanya. Ini akan menyebabkan penganut Kristian merasakan umat Islam sebagai angkuh dan sombong. Ya, memang benar tulisan Dr. Zaharuddin tersebut. Saya bersetuju. Mereka yang menentang Lim Guan Eng ini hanya akan menjadikan agama Islam dianggap sebagai agama yang sombong. Ini sangatlah patut dielakkan. Jika mereka hendak membantah, bukan dengan menulis di dada akhbar dan berdemonstrasi bagai. Mereka sepatutnya menulis kepada beliau. 

Umat Islam berdakwah bukan dengan cara mencaci dan maki hamun. Tiadalah salah sebenarnya isu penggunaan kalimah tersebut. Jika isu ini dianggap sebagai melemahkan dan menjerumuskan umat Islam ke arah murtad, bagaimana pula dengan konsert K-pop yang dianjurkan? Bagaimana pula dengan sambutan tahun baru di I-City yang dijangka dibarisi dengan artis Bollywood dan nyanyian melalaikan?

Kita sebagai umat Islam hari ni gagal memahami agama dalam konteks yang lebih luas. Dan juga dalam konteks yang tersirat. Mereka hanya bangkit menentang apabila kaum bukan Islam mengambil hak mereka. Walhal kita sendiri gagal menarik diri kita kepada agama Islam itu sendiri. Sedangkan kita pun gagal memahami agama kita, bagaimana pula mahu berdakwah kepada bukan Islam?

Seperti yang diterangkan pasal konteks tadi, kita mungkin tidak mempunyai Bible di rumah. Namun, ingatlah kita mempunyai televisyen dan internet di rumah di mana jika salah penggunaannya akan menjerumuskan kita kepada kerosakan akidah yang kita sendiri tidak sedar. Marilah memperkasakan akidah umat Islam sendiri daripada hanya membuang masa membantah penggunaan kalimah Allah digunakan orang bukan Islam. Itu lebih wajib kita lakukan. Inilah jadinya apabila politik dijadikan pegangan nombor wahid.


Sekadar gambar hiasan barangkali


No comments:

 
Google Analytics Alternative