Tuesday, May 28, 2013

Motor Elektrik


Motor kepunyaan tuan kedai jual barangan kulit

Semasa berkunjung ke China tempoh hari, suatu perkara yang terkesan dalam kotak fikiran aku adalah mengenai motor elektrik yang digunakan oleh penduduk Shanghai. Di Malaysia, ia pernah menjadi kegilaan dan ikutan ramai di mana mereka yang menggunakannya nampak cool dan hebat. Entah di mana silapnya, kegilaan itu terhenti dan tidak bertahan lama. Barangkali kekangan undang-undang dan minat orang Malaysia yang bermusim.

Motor elektrik di kiri gambar


Jika di Shanghai, motor elektrik adalah suatu pengangkutan yang digunakan kebanyakan orang di sini. Berbanding motor yang menggunakan petrol, mungkin adalah 1 dalam 1000 saja kebarangkalian terjumpa. Walaupun tidaklah begitu laju, tetapi motor berkuasa elektrik ni sangat senyap. Kadangkala amat bahaya jika kita hendak melintas di jalan-jalan kecil kerana tiba-tiba sahaja ada motor ini berdesup di belakang. Jadi, kalau melintas tu, pastikan anda toleh sehabis-habisnya sebab kalau dah kena langgar, takde siapa nak tolong dah (seperti kebanyakan cerita yang kita dengar tentang kemalangan di China).

Siap ada sarung tangan musim sejuk lagi


Lagi satu,penunggang motor di sini tidak dikenakan peraturan memakai helmet ketika menunggang. Adakah kerana motor ini dikategorikan sebagai 'basikal' yang tidak memerlukan pemakaian helmet, aku tidaklah pasti. Apapun, jika ada motor elektrik, pastilah ada kedai menjual bateri. Tidak sukar untuk mendapatkan bateri kerana di mana-mana pun ada kedai yang menjual bateri motor ni. 

Bolehkah kita kembali kepada penggunaan motor berkuasa elektrik jika ditakdirkan minyak semakin mahal suatu hari nanti?

Saturday, May 18, 2013

Betapa Mudahnya Pengangkutan Awam di Jerman


Pepatah ada menyebut,

" Negara maju bukan diukur dari segi banyaknya bilangan kereta di jalanraya. Sebaliknya, ia diukur daripada cekapnya pengangkutan awam negara tersebut".

Semasa kunjungan saya ke Jerman lalu, saya merasakan pepatah ini tersangatlah benar. Ketika saya di sana selama lebih kurang seminggu, terdapat satu hari di mana saya terasa bosan duduk di hotel sorang-sorang di Frankfurt. Disebabkan saya mempunyai kad percuma pengangkutan awam yang didatangkan sekali dengan pakej penginapan hotel, saya memutuskan untuk berjalan-jalan di sekitar Frankfurt.

Pada mulanya, saya hanya berjalan di sekitar Stesen Utama Frankfurt yang berdekatan dengan hotel. Kemudian, saya memutuskan untuk ke Romer kerana di sana banyak bangunan-bangunan lama dan bercirikan tradisional Eropah. Dengan mengikuti segala papan tanda arah dan peta laluan keretapi bawah tanah yang sangat mudah difahami, saya berjaya sampai ke Romer dalam masa 10 minit.

Apa yang nak ditekankan di sini adalah kemudahan pengangkutan awam di Jerman (khususnya di Frankfurt yang saya lawati), sangat mudah untuk dipelajari. Kita boleh ke sana ke mari tanpa rasa takut hilang atau diragut orang. Polis ada di mana-mana dan ramai orang yang akan sedia memberikan pertolongan. Pengangkutan awam yang ada termasuklah bas, tren darat antara bandar, keretapi bawah tanah dan teksi. Jika tidak mampu, boleh saja gunakan pengangkutan selain teksi. Rasanya jika tidak naik teksi pun, kita mudah untuk sampai ke mana-mana kerana memang tren dan keretapi pergi hampir kesemua ceruk.


Ruang dalaman tren yang melalui jalanraya

 Saya amat berharap apabila kerajaan dapat membersihkan pentadbiran daripada korupsi dan kroni, kita akan mampu setanding negara hebat di Eropah yang lebih mementingkan infrastruktur buat rakyat. Bukannya bermegah dengan mempunyai menara berkembar yang tidak nampak apa manfaatnya kepada kebanyakan rakyat.

Oh ya, setelah berpusing-pusing dan mengambil gambar di sekitar Romer dalam setengah jam, saya selamat pulang ke hotel dengan menaiki keretapi bawah tanah. Tidak perlu menunggu lama, tren banyak dan suasana dalam tren pun langsung tidak padat. Tabik kepada pemerintah Jerman!


 Suasana stesen keretapi bawah tanah Frankfurt

Tuesday, May 14, 2013

Abadi


Saya bukanlah seorang pendakwah hebat dan murabbi agung. Namun, saya sedih melihat kelakuan saya dan manusia lainnya. Apakah tujuan hidup ini kita tidak halakan kepada keagungan Allah? Misalnya, kita bekerja atas niat apa? Adakah kerana ingin mendapat duit banyak? Atau mahu membeli susu anak-anak? Itu semua adalah niat dan konsep yang salah.

Konsep yang benar adalah kita berjalan, bekerja hatta tidur di atas muka bumi ini adalah kerana Allah. Jika bukan Allah yang mengurniakan pekerjaan, sudah pasti kita tidak akan memperolehi susu untuk diberikan kepada anak-anak. Makan minum, pakaian dan tempat tinggal siapa punya kalau bukan daripada Allah? Ramai manusia silap termasuk saya sendiri. Ramai anak-anak muda hari ini hanya mahu pergi kerja dan cukup bulan dapat gaji, beli barang-barang kegemaran. Tetapi, mereka lupa kepada sang Pencipta abadi mereka. Mereka hanya bekerja siang dan malam tanpa mahu bersyukur atas nikmat Allah dan mendekatkan diri ke masjid serta beriktikaf mengenang kebesaran Allah yang menciptakan alam yang tiada tara ini.

Sedih. Sungguh sedih manusia Islam hari ini.

#Marilah kita berdoa supaya Ustaz Azizan Abdul Razak sentiasa sihat dan dapat menyambung semula kerja-kerja dakwah yang tertinggal. Nasihat saya, jangan dengar cakap orang kalau kita tidak kenal rapat dengan beliau. Allahurabbi....

Monday, May 13, 2013

Melintas di Jerman


Semasa di Jerman, selain daripada terpukau dengan keindahan dan teknologi pesat yang ada di Frankfurt itu, saya juga tertarik dengan disiplin warga Eropah ini. Saya bagi contoh mudah saja.

Warga Jerman yang memandu akan memberikan anda (pejalan kaki) melintas tidak kira di mana pun. Mereka akan memberhentikan kereta sebaik saja terlihat pejalan kaki di bahu jalan. Melainkan jika lampu isyarat hijau bagi kereta bergerak, sememangnya kita tidak perlu takut untuk melintas jalan di mana-mana di Jerman. Waima kita berhenti di bahu jalan ketika ternampak kereta meluncur sekalipun, mereka akan cepat-cepat memberhentikan kenderaan dan memberi isyarat supaya kita melintas.

Inilah signifikan sebuah negara yang bertamadun. Di dalamnya bukan saja mempunyai bangunan canggih-canggih tetapi penghuninya juga bermentaliti canggih juga. Sesuatu yang masih jauh kita ketinggalan.



Saturday, May 11, 2013

Album Pasca PRU-13


Agak tidak adil aku membiarkan segala gambar yang ditangkap pasca PRU 13 lepas tersimpan di dalam memori komputer tanpa korang berpeluang atau aku sendiri menatapnya nanti. Gambar-gambar diambil sekitar Jalan Pahang, Titiwangsa, Keramat dan Jalan Tun Razak. Selamat melihat!















Friday, May 10, 2013

Legasi 22 Tahun Tok Guru


Mendengar berita persaraan Tuan Guru Nik Aziz daripada jawatan Menteri Besar Kelantan membuatkan saya sebak. Tambah sebak apabila menonton video tribute yang dikompilasikan oleh peminat atau penyokongnya. 22 tahun bukan tempoh yang sekejap. Saya akui, saya tidaklah mengenali Nik Aziz selama tempoh itu. Tapi cukup saya katakan, beliau membawa pengaruh yang besar kepada gerakan Islam di dalam negara sehinggakan boleh saya katakan PAS itu adalah Nik Aziz. Nik Aziz itu adalah PAS.

Tiada siapa yang boleh nafikan segala jasa dan sumbangan besar beliau dalam politik Islam. Terlalu banyak dan besar sumbangannya dalam mencakna rakyat Kelantan khususnya dan Malaysia amnya. Namun, lumrah alam, tidak semua akan memuji. Sejak kebangkitan rakyat 1998, semakin banyak lontaran makian dan cemuhan daripada mereka yang kononnya mengaku Islam tetapi sebenarnya bersekongkol dengan golongan penolak Islam. Kadang-kadang saya berasa sedih terhadap mereka yang menghina Tok Guru tanpa mereka sedar, siapalah mereka jika hendak dibandingkan dengan Tok Guru.

Pernahkah golongan pencaci ini terfikir. Mampukah mereka menghafal Quran? Mampukah mereka melakukan tahnik? Mampukah mereka berkhutbah? Mampukah mereka memberi kuliah selepas solat? Mereka tidak fikir ini semua akibat terlampau taksub kepada parti yang mereka suka.

Saya mengucapkan terima kasih di atas jasa Tok Guru Nik Aziz sepanjang legasi 22 tahun yang penuh hebat itu. Insyallah, moga ada ramai lagi pelapis yang akan tumbuh bak cendawan yang akan terus-terusan menyebarkan syiar Islam supaya ia sentiasa mekar di bawah panjinya. Terima kasih Tok Guru dan berehatlah sebaiknya namun jangan berhenti memimpin kami di jalan ini.


Terima kasih Tok Guru!

Monday, May 06, 2013

Pasca PRU 13


Aku taknak ulas panjang-panjang pasca PRU 13. Persaingan kali ni memang sengit. Tahniah kepada pemenang jika mereka selayaknya mendapat undian itu. Kepada yang tewas, teruskan usaha dan jangan putus asa. Insyaallah, Tuhan akan beri jalan nanti. Jalan perjuangan masih panjang. Tak semestinya tewas sekarang, akan tewas selamanya. Sesungguhnya, Allah-lah sebaik-baik perancang.

Kepada yang menang, laksanakanlah amanah dan buatlah perubahan yang lebih baik. Kotakanlah janji yang telah dibuat. Moga PRU14 nanti berlangsung tanpa sebarang unsur tidak adil.

Sunday, May 05, 2013

Sehari Sebelum PRU-13


4 Mei 2013

Aku sempat ke Pandan lepas balik dari Pesta Buku KL bagi melihat suasana sebelum hari pengundian besok. Lalu depan menara MPAJ ke apa entah namanya tu, terjumpa pulak Rafizi Ramli, calon Pandan. Tengah santai petang katanya. Petugas dia pun sempat bagi aku bihun goreng sampai lapan bungkus. Tapi ni bukan rasuah. Sebab aku pun bukan mengundi tempat dia.

 Bihun Rafizi



Lepas tu sempat ke Putrajaya kejap. Bajet nak jumpa Husam macam hari tu. Tapi dia kat Kelantan uruskan jenazah ibunya. Mohon sedekahkan al-fatihah ye.

~Al-Fatihah ~

Tak jumpa Husam. Aku jumpa budak-budak buat flashmob. Sempat le aku kabor ke dorang,

"INI KALILAH!!"



Parlimen Putrajaya


Selamat mengundi kepada semua. Moga pilihanraya berjalan dengan lancar dan aman. Pilihlah pemimpin berwibawa dan hapuskan pendatang asing!
 
Google Analytics Alternative