Sunday, September 20, 2015

Politik 2015


Aku bukanlah suka menulis tentang politik tambah-tambah lagi di era Pak Najib ini tetapi aku perlu memberitahu kepada diri aku sendiri di masa hadapan tentang apa yang terjadi di era beliau di sini.

Seperti yang sedia maklum, kita tahu tentang betapa pemerintahan UMNO Barisan Nasional telah korup sejak sekian lama bermula dari tahun 1998 sehinggalah zaman sekarang. Cuma, melalui era Najib Razak yang telah memerintah sejak 2008 sehingga kini, ia semakin terang dan jelas bahawa pemerintahan parti yang kononnya dikatakan keramat untuk bangsa Melayu ini telah korup dan berbau begitu hanyir sekali. 



Tahun 2015 menyaksikan pelbagai keperitan yang terpaksa rata-rata rakyat kita alami dengan pengenalan cukai GST, peningkatan kos sara hidup saban tahun, kenaikan tambang pengangkutan awam, isu 1MDB, derma RM2.6 billion serta isu perkauman yang masih ingin terus didendangkan oleh parti keramat ini. Tambah menyedihkan apabila pakatan pembangkang juga berkubur dan berpecah dengan pergeseran besar antara parti PAS dan parti DAP serta kewujudan parti serpihan PAS iaitu Parti Amanah Negara (PAN). Orang kata ia akan memecahkan lagi undi Melayu tetapi bagi aku, jika ia bagus untuk menumbangkan BN dalam PRU akan datang, aku akan terus beri sokongan.

Berbalik kepada pengenalan GST tersebut, banyak syarikat telah mula gulung tikar antaranya kilang JVC yang ditutup, kilang Panasonic yang telah dikecilkan skopnya, kilang NAZA dan beberapa lagi. Cuma, ia tidak mendapat liputan bahawa kesan penutupan itu adalah daripada pengenalan cukai GST ini. Ketika aku servis kereta di KIA Jalan Chan Sow Lin beberapa minggu lepas juga, mereka sudah tidak menjual kereta di situ lagi bagi mengecilkan skop bisnes mereka dek tidak dapat menampung peningkatan kos pengeluaran. Jadi, di Jalan Chan Sow Lin itu, mereka hanya buat servis sahaja. Jadi, apa yang Pak Najib kata ekonomi Malaysia bagus?

Satu lagi adalah isu perkauman yang menebal dalam hati orang-orang UMNO. Lanjutan daripada Bersih 4.0 yang tujuannya hanya untuk meminta Najib berundur dan menjawab persoalan 1MDB, tiba-tiba pula muncul Himpunan Baju Merah atau Himpunan Melayu Bersatu yang dikatakan ingin memberi maklumbalas kepada kaum Cina (DAP) supaya tidak merendah-rendahkan bangsa Melayu. Yang peliknya, semasa himpunan tersebut, terdapa bunting atau banner yang menulis 'Kekalkan Najib', 'Hapuskan SJKC' dan lain-lain kata-kata yang tidak masuk akal. Bukan Malaysia diperintah oleh DAP pun selama ini sehingga menampakkan bahawa bangsa Melayu tergugat. Mengapa seakan-akan Melayu yang menjadi majoriti di negara ini berasa terancam dan tergugat?


Suka aku simpulkan bahawa himpunan itu lebih kepada himpunan UMNO atau himpunan menjaga 'bontot' UMNO. Menggunakan alasan atas nama bangsa adalah tindakan yang tidak bermaruah langsung, malah makcik dan pakcik di kampung dan Felda juga dikatakan telah tertipu dengan penganjur yang katanya mahu menyambut Hari Malaysia di KL. Tambah parah, gelandangan yang terdiri daripada pelbagai bangsa juga turut sama 'dikerah' ke himpunan tersebut dengan dijanjikan makanan dan t-shirt. Nak kata apa lagi? Benda bukti dan video telah bersepah di internet. 



Yang memilukan aku adalah pengguna FB di beberapa laman page (pro-BN) memuji himpunan tersebut dan mencerca kaum Cina sebagai pendatang, makan babi dan sebagainya yang kelakar. Agaknya selama ini Perdana Menteri kita terdiri daripada seorang berbangsa Cinakah? Jika aku mahu kaitkan dengan sejarah silam, pastinya akan terpacul bagaimana orang Cina boleh hidup aman damai bahkan boleh mendapat tanah besar di gunung di Pahang. Itu bawah pemerintahan siapa? Dapat sekali lagi aku simpulkan bahawa mereka yang datang dan menyokong himpunan tersebut adalah terdiri daripada Melayu yang tidak cerdik, dijajah minda oleh UMNO, terpedaya dengan propaganda anti-DAP, tidak dapat membezakan kebenaran dan kebatilan. 



Akhir sekali, aku juga menerima komen daripada FB bila aku tanyakan Melayu korup seperti Pak Najib tu macamana pula? Pengguna FB berkenaan berkata,

"Itu dosa dia antara Tuhan. Biarlah Tuhan menilainya. Kita ni orang Melayu kenalah jaga bangsa kita dari dipijak Cina..."

Sungguh tenat Melayu UMNO...

No comments:

 
Google Analytics Alternative