Thursday, November 21, 2013

Tanggungjawab Pendidikan


Bila kita masuk universiti untuk belajar, kita akan apply untuk PTPTN. Kebiasaannyalah. Jadi, aku pun termasuk sekali. Susah kalau takde PTPTN. Kang nak beli buku, takkan nak curi kat kedai buku pulak.

Itu hari, aku sembang dengan bos bahagian elektrikal syarikat aku. Dia cakap memberi pendidikan ni tanggungjawab ibubapa. Jadi, apa perlunya awak bayar pinjaman PTPTN tu bulan-bulan? Serahkanlah tanggungjawab itu pada ibubapa awak.

Aku rasa macam ada betul jugak apa yang beliau cakapkan ni. Hehe.

Wednesday, November 20, 2013

Piala Asia 2015


Tadi aku tengok Malaysia lawan Qatar.

Bermain agak baik tetapi tewas 1-0. Keputusan yang aku sudah jangkakan. Apa lagi yang boleh kita harapkan daripada skuad Rajagobal?

Cuma aku hairan Ultras Malaya masih terus berdiri menyokong benda yang salah.

Pencen

Hari ni Rabu 20 November 2013.

Ayah aku yang baru pencen awal tahun ni dah bawak teksi.

Dia baru balik lebih kurang jam 10 malam tadi. Dan tidak lupa untuk membelikan makanan.

Ayah belikan nasi goreng. Jadi, aku makan sekitar jam 11 lebih tadi.

Sekarang ni setiap hari beliau akan bawak teksi termasuklah hujung minggu.

..............

Orang cakap,

"Kadang-kadang kita harus lepaskan sesuatu untuk dapatkan sesuatu."

Ujang


Kecil-kecil dulu aku suka baca Ujang. Lepas tu muncul pulak Apo? Yang tu best jugak.

Sekarang pun aku suka jugak baca. Cuma belek-belek di kedai majalah jela. Kalau dapat download, lagi senang.

Nampak tak betapa pantasnya teknologi?

Cuma yang tak berapa pantasnya adalah tangga gaji.

Thursday, November 14, 2013

Jenayah dan Legoland


Impressive art by Ernest Zacharevic.

Location : JB, Home of Legoland


Monday, November 11, 2013

Hartanah


Melihat kepada gagalnya sebuah kerajaan dalam mengawal harga hartanah adalah satu tamparan hebat kepada generasi kini dan mendatang. Jika peraturan dan undang-undang digubal bagi mengekang mereka dan pihak kapitalis daripada membeli lebih daripada dua buah rumah, sewajarnya, generasi hari ini tidak perlu bimbang tentang memiliki rumah idaman. Selain itu, pihak pemaju juga mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap harga hartanah yang mereka ingin tawarkan kepada pembeli kerana mereka sudah mengeluarkan modal bagi membeli dan menaikkan kawasan tersebut.

Dua kesilapan kerajaan di sini yang kita boleh lihat. Pertama, tiada kawalan serta peraturan bagi mengawal orang ramai daripada membeli sebanyak mana rumah yang mereka mampu. Seandainya mereka jutawan dan mempunyai banyak modal, mereka mampu membeli dan memiliki sehingga 23 hartanah untuk dijadikan pelaburan. Bukan sahaja nikmat keuntungan jangka panjang, bahkan mereka mampu goyang kaki tanpa bekerja. Inilah kesilapan kerajaan kerana tiada lagi peraturan bagi mengekang gejala yang kian menjadi-jadi ni. Mereka yang tamak ini sebenarnya telah menyekat peluang orang lain terutamanya golongan pertengahan untuk membeli dan memiliki rumah sendiri. Bagaimana dengan masa depan mereka dan anak-anak?

Kedua, pihak pemaju sewenang-wenangnya meletakkan harga rumah bersandarkan kepada kos pembinaan dan tahap serta nilai komersil sesuatu tapak itu. Selagi mana mereka mampu membayar cukai kepada kerajaan, selagi itulah pihak kerajaan tidak akan mendengar nasib dan rintihan golongan pertengahan. Sungguh tidak masuk akal jika rumah di pinggir bandar berharga hampir RM1 juta! Alasan dikemukakan adalah nilai komersil di mana melibatkan pembinaan MRT di situ. MRT dijangka siap pada 2017 (atau mungkin lebih), tetapi puak kapitalis (baca:pemaju) ini sudah awal-awal lagi meletakkan harga tidak masuk akal. Nampak tidak permainan mereka?

Seharusnya, jika kerajaan ditadbir oleh orang yang telus dan asal daripada rakyat, mereka tahu denyut nadi rakyat. Tidak mungkin akan terjadi kerajaan yang dungu sebegini rupa.

Saturday, November 02, 2013

Hujung Minggu Yang Rosak


Adalah menjadi satu kesilapan bagi setiap ibubapa apabila mereka menggunakan cuti hujung minggu atau cuti sekolah untuk membawa anak-anak ke tempat yang tidak menyihatkan badan serta dapat merosakkan anak-anak. Antara tempat kegemaran dan paling ramai dilawati oleh ibubapa apabila tiba musim cuti adalah pusat beli-belah.

Bukan tidak boleh, tetapi jika ia berlaku saban minggu, itu akan membantutkan tumbesaran dan merosakkan anak-anak. Selain daripada mereka menghabiskan banyak duit, mereka pastinya akan menjadikan restoran makanan segera sebagai satu kebiasaan tempat mengisi perut. Sudahlah duit habis banyak, makan pula benda yang tidak sihat selalu.

Amat jarang sekali aku melihat ibubapa membawa anak-anak mereka ke tempat yang boleh mendapat manfaat dan beroleh ilmu. Selain itu, apalah salahnya bawa mereka ke tempat keindahan alam ciptaan Tuhan sambil terangkan kepada mereka siapa Pencipta alam ini dan menerangkan tentang kebesaran Allah.

Tidak rugi pun bawa anak-anak ke Pusat Sains Negara, Planetarium Negara, Muzium Kefahaman Islam, Memorial Tunku Abdul Rahman, Petrosains KLCC atau ke sungai-sungai yang banyak ada di sini. Jadilah ibubapa yang akan membawa anak ke syurga dan bukannya membawa kepada perkara sia-sia.

Sunday, October 20, 2013

Penjual Putu Piring yang Setia


Lebih kurang 18 tahun lepas, aku masih ingat kalau ikut Ayah ke pasar malam, aku akan berjumpa dengan seorang makcik penjual putu piring. Kebiasaannya memang Ayah akan beli sebab putu piringnya memang sedap. Ketika itu makcik tu meniaga di Bandar Tun Razak dan kadangkala ditemani suaminya.

Semalam, hampir 18 tahun, makcik dan suaminya itu masih lagi menjual putu piring. Cuma lokasinya berlainan. Aku tahu yang dia memang sudah berpindah lokasi, namun semalam aku terdetik hati untuk membeli putu piringnya. Dengan RM3, aku dapat membeli lima biji putu piring dia dan ternyata, rasanya masih sama dan asli seperti 18 tahun lepas.

Apa yang membuatkan aku terfikir sejenak adalah bagaimana mereka berdua boleh kekal istiqamah dalam menjalankan perniagaan putu piring. Gerainya tidaklah besar dan tidaklah juga kecil. Dan aku percaya, mereka memang mempunyai pelanggan yang setia bersama selama beberapa tahun. Ketika orang lain, mungkin sudah bertukar bidang pekerjaan atau perniagaan, mungkin sudah berehat di rumah bersama anak cucu, tetapi mereka berdua tetap yang dulu menjual putu piring.

Mereka sangat tabah.


Rasa putu piring yang asli dan penuh tradisi


Thursday, October 17, 2013

Kalimah


Isu kalimah Allah sekali lagi didendangkan tatkala Mahkamah memutuskan bahawa The Herald tidak dibenarkan menggunakan kalimah tersebut. Walaubagaimanapun, kalimah tersebut boleh digunapakai di Sabah dan Sarawak atas alasan masyarakat di sana berbilang agama dan majmuk.

Nampak aneh bukan?

Umat Islam sendiri makin keliru. Dikelirukan sendiri oleh umat Islam.

Maka, aku rasa benarlah petikan ayat Al-Quran yang mengatakan lebih kurang pada akhir zaman nanti, orang jahil akan menjadi pemimpin.

Aku tidaklah arif mengenai isu ini tetapi nampaknya banyak perdebatan di laman internet dan facebook mengenai isu ini sekaligus ia memberi jutaan persepsi. Sehinggakan tergamak mufti mengatakan sesiapa yang menentang keputusan mahkamah ini, boleh jatuh murtad.

Hmm. Apa masalah umat Islam sekarang?

Jawapannya wang.

Saturday, October 05, 2013

Imajin




 Ketenangan kota Frankfurt



Kadang-kadang kita tidak perlu terbang tinggi untuk berimaginasi, cukup hanya sekadar bertenang dan ikhlas dalam melakukan segalanya. Tenang adalah kunci kejayaan.

Thursday, October 03, 2013

Satu Perbincangan Hal Ehwal Negara Ketika Menikmati Sarapan Pagi di Shanghai




Masa aku ke Shanghai sekitar awal tahun ini, aku sempat berborak dengan seorang kontraktor cina pada ketinggian lebih kurang 200 kaki semasa sedang menikmati sarapan pagi. Dia kata anaknya susah nak dapat peluang belajar di universiti awam di dalam negara. Jadi, beliau memutuskan supaya anaknya mendaftar di kolej swasta dan seterusnya menyambung pengajian di luar negara.

Asal ada duit, semua boleh jalan. Tapi itulah nasib dia di bumi Malaysia ni. Dia sanggup keluarkan semua wang simpanannya bagi memastikan anaknya berjaya mendapatkan pendidikan yang bagus. Kata-katanya itu dibuktikan apabila beliau menghantar anak sulungnya ke luar negara bagi melanjutkan pengajian. Dia kata kat aku, walaupun anaknya skor dengan cemerlang dalam SPM, tetap masih susah mendapatkan tempat di dalam universiti awam dalam negara. Begitu juga dengan biasiswa. 

Maka, tidak hairanlah ramai cerdik pandai tidak kira apa bangsa, semuanya belajar di luar negara dan lebih rela bekerja di luar negara. Mereka tidak rela pulang ke tanahair. Kerana apa? Aku buat-buat tanya pada dia. Katanya, buat apa bekerja di dalam negara sendiri yang tidak menjamin pendapatan lumayan dan kos sara hidup yang tinggi.

Aku yakin, selain daripada alasan yang dia kemukakan itu, satu lagi alasan lain adalah, mereka 'berdendam' dengan kerajaan yang tidak mengurniakan peluang pendidikan kepada bangsa mereka. Jadi, oleh sebab itu, adalah lebih baik mereka belajar dan bekerja di luar negara. Itu lebih baik. Bagi aku, kerajaan yang bagus, tidak akan mengkastakan pendidikan. Mereka juga rakyat Malaysia. Mereka perlu beroleh hak yang sama sepertimana kaum bumiputera. Ini yang orang Melayu harus kerja kuat dan perlunya bersaing dengan mereka. Aku sendiri tidaklah sehebat mana tetapi selagi orang Melayu terus berasa selesa dengan 'kuota' istimewa yang mereka ada, selagi itulah kita akan terus menikmati video-video murah dan lucah anak remaja Melayu.

Dan tidak hairan, kita mempunyai menteri-menteri yang berfikiran seperti budak sekolah. Lantas, urustadbir negara menjadi kucar-kacir dan tiris sana sini. Yang penting, harta rakyatlah yang disapu. Maka, sarapan pagi aku hari tersebut menjadi sedikit tawar mengenangkan betapa 'buruk'nya sistem yang kita ada ini.

Tuesday, September 17, 2013

Perginya Lelaki Komunis


Tanggal 16 September lalu telah merakamkan sambutan Hari Malaysia yang ke-50 diadakan dan juga satu berita mengenai kematian Bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng. Namun, aku lebih berminat untuk membicarakan hal yang kedua.




Jika buka balik buku Sejarah Tingkatan Empat, pasti aku dan kamu akan teringat kisah Chin Peng serta kekejaman yang dimomokkan buku teks kerajaan itu. Antara kisah Chin Peng yang aku masih ingat ialah peristiwa Sir Henry Gurney diserang sepasukan komunis pimpinan Chin Peng dalam perjalanan ke Bukit Fraser (jika tak silap aku) dan peristiwa Rundingan Baling di antara Tunku Abdul Rahman dan Chin Peng sendiri. 

Bila bukak suratkhabar bertarikh 17 September 2013, terpaparlah berita yang mengatakan bahawa kerajaan tidak membenarkan abu mayat beliau dibawa pulang dan disemadikan di Perak. Beserta amaran oleh PDRM yang akan memperketatkan pintu masuk sempadan bagi menghalang kemasukan abu mayat beliau daripada Thailand.

Lalu, aku terfikir sejenak. Kebodohan dan kegilaan apakah ini? Sudah tidak ada kerja lainkah PDRM? Di dalam giatnya kes tembak-menembak dan kongsi gelap yang berlaku kini, elok sahajalah mereka menumpukan kerja-kerja menghalang penyeludupan senjata api daripada dibawa masuk dari Sungai Golok di Kelantan berbanding membuat perkara sia-sia begini. Aku katakan sia-sia kerana apa? Kerana kerajaan hanya memikirkan sentimen keluarga yang terkorban akibat 'tangan-tangan' Chin Peng?

Jadi, mari kita huraikan sedikit sikap 'double standard' yang diamalkan kerajaan. Mengapa kita boleh menyertai Sukan Komanwel walhal British juga terlibat dalam membunuh ribuan malah mungkin jutaan pejuang Tanah Melayu seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Rentap, Dato Bahaman, Seputum sehinggakan Dato' Maharaja Lela dibuang negeri ketika merencanakan pembunuhan termahsyur residen British, JWW Birch. Persoalan di sini, mengapa kita masih menjalin persahabatan dengan British yang suatu ketika dahulu pernah 'melukai' kita? Mengapa jika komunis melakukan perkara sama, kita tidak boleh pula menjalin persahabatan dengan ahli komunis?

Mengapa kita menerapkan Dasar Pandang ke Timur ketika era Dr. Mahathir walhal kita semua tahu Jepun telah memenggal kepala nenek moyang kita semasa pendudukan Jepun dahulu? Jika kita menggunapakai alasan yang diberikan Dato Najib dan rakan-rakan iaitu menghormati balu dan waris yang berjuang menentang komunis dahulu, maka, apakah kita tidak perlu menghormati balu dan waris pejuang yang menentang Jepun dahulu? Mana keadilannya di sini?

Sama-sama kita renungkan apa agenda sebenar di sebalik semua ini. Dan walaupun Chin Peng tidak layak kita iktiraf sebagai pejuang, namun, sumbangan besar beliau dalam melumpuhkan anasir-anasir British tidak harus kita pandang enteng. Hanya kerana beliau berhaluan kiri (sama seperti Shamsiah Fakeh, Dr. Burhanuddin Helmy, Ahmad Boestamam, dan lain-lain), maka, apakah mereka tidak layak mendapat pengiktirafan di atas keringat dan tulus hati ingin membebaskan negara daripada penjajah?


*Aku bukan mengiktiraf prinsip perjuangan komunis, cuma aku risau jika generasi 'kemudian' bertanya tentang ke mana perginya keadilan dalam memberikan hak sama rata, kita perlu bersiap sedia dengan jawapan.
 
Google Analytics Alternative